10 Perkara yang Anda Patut Tahu Tentang Pelaburan Saham

Bagi individu yang ingin melabur dalam saham, saya senaraikan 10 perkara yang anda patut tahu:

1. KLCI / FBM KLCI
Ringkasan untuk FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur Composite Index. Index ini mengambil kira nilai 30 saham syarikat terbesar yang didagangkan di Bursa Malaysia. Antaranya Telekom, Tenaga, Digi, Petronas dan Maybank. Semua syarikat ini mempunyai kriteria yang mencukupi dan menjadi ‘indikator’ pada perkembangan pasaran saham di Malaysia.

Setiap hari kita boleh lihat pencapaian KLCI. Pergerakan KLCI juga dapat dilihat secara live di trading platform atau laman web Bursa Malaysia. Sekarang KLCI masih di paras 1760++ dan sebahagian penganalisis menjangkakan ia akan mencecah 1800. Maksudnya, pasaran saham dijangka menaik. Bila? Kita perhatikan.

2. Stock (Saham/syer)
Saham syarikat yang didagangkan di Bursa Malaysia. Tiga kategori pelabur yang melabur dalam pasaran saham ialah pelabur institusi, individu dan pelabur asing. Dalam bulan Jun, sebanyak RM42.6 bilion saham didagangkan. 45% oleh pelabur institusi dan 25% pelabur asing.

Siapa pelabur institusi? Tujuh pelabur paling besar iaitu Khazanah, PNB, Petronas, KWSP, LTAT (Angkatan Tentera), LTH dan Kerajaan Negeri. Sebenarnya individu macam kita melabur dalam saham juga jika mempunyai simpanan di KWSP, ASB dan Tabung Haji.

Syarikat dana unit amanah juga melabur di pasaran. Stock ini adalah ‘fundamental’ kepada unit amanah yang mereka uruskan.

3. Warrant (Waran)
Waran ialah instrumen yang ditawarkan oleh syarikat sebagai hak untuk membeli saham. Ia mempunyai tarikh luput. Biasanya harga waran lebih rendah daripada harga saham syarikat.

Oleh sebab nilainya rendah, ia lebih volatile (mudah berubah). Ada waran bergerak lebih kurang sama dengan saham. Namun, ada juga situasinya terbalik. Saham syarikat naik, waran turun.
Selain saham, pelabur juga boleh membeli waran di Bursa.

5. Volume
Bilangan saham yang didagangkan. saya pernah sebut tentang volume. Ia menunjukkan wujudnya permintaan dan penawaran. Tanpa volume yang kuat, harga saham boleh jadi lambat bergerak.

6. Price (Harga)
Bursa ini macam pasar yang kita boleh tawar-menawar harga. Cuma kita tak nampak siapa penjual dan siapa pembelinya. Tiga harga paling bagus untuk tawaran jual (Sell/Ask) dan beli (Buy/Bid) akan dipaparkan. Jika pelabur mahu beli atau jual pada harga lain, kena Q sehingga harga dipadankan. Ini bermaksud ada pihak yang hendak menjual/membeli pada harga tersebut.

7. Fundamental Analysis (Analisis Fundamental)
Sebelum nak melabur, kita perlu semak dahulu atau perkataan canggihnya analisis. Syarikat buat apa dan bagaimana pencapaian syarikat. Adakah syarikat ini kukuh dan berpotensi untuk berkembang?

Maklumat utama untuk kita buat analisis fundamental ini sangat mudah diperolehi. Antara maklumat yang pelabur perlu tahu adalah untung rugi syarikat (Net Profit), Earnings Per Share, Price Earning Ratio, Return on Equity (ROE) dan Net Asset Value. Maksud terma ini saya cerita lain kali.

Semak laman web Bursamarketplace dan cari nama syarikat. Semua maklumat ini akan dipaparkan. Selain itu, pelabur akan menyemak profil syarikat seperti pengurusan, projek yang dijalankan dan sebagainya.
Analisis fundamental menjawab soalan “what to buy?”

8. Technical Analysis (Analisis Teknikal)
Analisis teknikal fokus pada pergerakan harga saham dengan mengambil kira volume dan price. Tiga andaian (assumptions) dalam analisis ini adalah harga telah mengambil kira semua faktor dalam pasaran, harga bergerak mengikit trend dan sejarah biasanya berulang kembali.

Sebagai pelabur baru, analisis teknikal adalah pendedahan baru untuk saya. Salah satu indikator yang digunakan ialah ‘candlestick’. Teknik yang dipelopori oleh seorang pedagang beras di Jepun pada abad ke 18.
Analisis teknikal menjawab soalan “when to buy?”

9. Main Market (Papan utama)
Menyenaraikan 804 syarikat dengan saham yang boleh didagangkan. Syarat penyenaraian lebih ketat dan biasanya syarikat yang besar dan sudah mempunyai rekod yang kukuh akan disenaraikan di papan utama.

10. Ace Market (Papan Ace)
Dulu dikenali sebagai Mesdaq. 115 syarikat disenaraikan. Kebanyakan dalam sektor teknologi dan keperluan penyenaraian lebih longgar berbanding papan utama. Saiz syarikat biasanya lebih kecil. Oleh itu, pasaran ini lebih volatile. Namun, ada syarikat di papan Ace yang berkualiti dan berpotensi untuk berkembang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *