Categories
Umum

Refleksi Diri

Bertambah lagi usia, bermaksud masa juga semakin suntuk untuk hidup lebih baik. Menjadi yang lebih baik. Sekiranya dunia tidak menghadapi pandemik yang mengubah cara hidup kita, kemungkinan saya sudah berada di Madinah/Mekah untuk menyempurnakan ibadah Haji. Namun, kita menerima takdir dengan rasa syukur dan melihat kembali persediaan diri ini.

Secara peribadi, ia satu peringatan supaya saya tidak terus leka dan meningkatkan usaha untuk bersedia dari segala segi dan jika diizinkan Tuhan, dapatlah pergi tahun hadapan. Maka, kita berdoa diberikan rezeki masa, kesihatan dan kewangan pada hari-hari, bulan-bulan dan tahun-tahun yang mendatang.

Tahun 2020 menguji kita tentang ketahanan diri dan rasa bersyukur, berterima kasih dengan orang-orang yang hadir dalam hidup kita. Tidak kira selama mana mereka pernah menyentuh hati dan berada di sekeliling kita, kita belajar menghargainya.

Kadang kala kekesalan datang dalam diri apabila memikirkan beberapa keputusan dan tindakan yang dilakukan. Kesan dan akibat yang harus diterima mesti dihadapi dengan berani. Sekalipun menyakitkan. Belajar memaafkan diri sendiri sebagai langkah mengubati kelukaan.

Kita berharap sudah menjadi anak, kerabat, sahabat dan seorang Islam yang baik. Walaupun sedar diri ini masih banyak kekurangan. Itulah yang menjadikan kita manusia, yang memang tak sempurna.Semoga bahagia. Doakan kita mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Please follow and like us:
Categories
Blog

Dinner Mate (32 Episod) MBC

Dinner Mate, Kdrama yang baru sahaja tamat tayangannya di MBC pada 14 Julai 2020. Drama dengan 32 episod berdurasi 30 minit setiap episod. Saya tertarik nak menonton drama ini apabila seorang rakan berkongsi tentangnya.

Wo Do Hee, penerbit rancangan online baru berpisah dengan teman lelakinya. Peristiwa ini disaksikan oleh Kim Hae Hyung, doktor psikiatri yang berada di lokasi sama. Episod pertama dimulakan dengan menarik sekali. Saya suka. Babak Do Hee di hadapan kedai barangan kemas dan membayangkan dirinya seperti Audrey Hepburn dalam filem Breakfast at Tiffany.

Seperti tajuknya, Do Hee dan Dr Kim menjadi Dinner Mate selepas peristiwa di Jeju. Mereka tidak mengetahui nama dan maklumat peribadi yang lain. Tapi bersetuju untuk berjumpa dan makan malam bersama.

Beberapa kali pertemuan dan nampaknya mereka selesa menikmati hidangan makan malam bersama. Dan bercerita dengan ‘orang asing’ seperti pendapat masing-masing tentang cinta dan patah hati.

Sebenarnya, Do Hee ditugaskan untuk merekrut Dr Kim untuk rancangan online syarikatnya. Tapi, dia tidak mengetahui yang Dinner Mate itu adalah Dr Kim.

Watak lain dalam drama ini ialah cinta pertama Do Hee dan Dr Kim. Serta watak seperti Ayung, bos Do Hee dan Keanu, homeless man.

Drama ini membawa isu patah hati dan kekecewaan, move on daripada hubungan yang tak membahagiakan dan mendapatkan cinta yang baharu. Ada watak yang mengalami tekanan melampau dan tidak dapat menerima kenyataan yang kekasihnya sudah move on.

Ternyata untuk mendapatkan kebahagiaan bermula dengan diri sendiri dan berusaha untuk menerima kenyataan. Melepaskan orang yang disayangi supaya boleh move on dan hidup lebih baik walaupun pada mulanya menyakitkan.

Banyak babak yang saya suka. Oleh sebab saya suka makanan, saya enjoy bila menonton babak Dinner Mate. Ada juga babak semasa makan yang buatkan saya menangis. Sememangnya makanan boleh buat kita gembira dan sedih juga.

Please follow and like us:
Categories
Blog

Si Pari-pari

Seperti hari-hari yang lalu, si pari-pari terbang riang apabila teja mula menghilang di kaki awan. Matahari terbenam menandakan tugas si pari-pari bermula. Dia sukakan rutin menjengah manusia-manusia kegemarannya. Melihat wajah mereka tersenyum, menandakan hari yang bahagia.

Jika ada yang muram, si pari-pari akan melalui malam yang panjang. Tapi itu bukanlah hal yang menyusahkan. Cuma dia perlu pergi tepat jam 12 malam. Maka sebolehnya, si pari-pari akan menjadi pendengar yang setia.

Pada malam itu, si pari-pari terbang lagi dan tujuannya ialah menjenguk Jane yang kesunyian. Jane sakit. Dia tidak bersemangat lagi untuk keluar rumah dan berjumpa sahabat karibnya. Dia tidak mahu melakukan apa-apa melainkan tidur. Tapi, apabila si pari-pari datang Jane akan bercakap seperti biasa.

Walaupun si pari-pari hanya mendengar, dia harus lakukan sesuatu untuk membantu Jane. Dia tidak mahu kehilangan Jane. Matlamat si pari-pari ialah melihat Jane kembali sihat, ceria dan keluar bergembira.

Hujan yang lebat menyukarkan si pari-pari untuk sampai ke jendela rumah Jane. Si pari-pari tidak boleh berputus asa. Malam ini adalah malam penentuan. Si pari-pari terpaksa meninggalkan nota untuk ibu Jane tentang keadaannya yang semakin teruk. Dia berharap Jane tidak mengamuk.

Akhirnya si pari-pari tiba juga dan kelelahan. Jane sudah tiada lagi di katilnya seperti selalu. Adakah Jane marah? Si pari-pari menyelinap masuk dan kamar itu hanya diterangi kerlipan daripadanya sayapnya.

Si pari-pari terkesima apabila terpandang sekeping nota yang ditampal pada dinding bilik Jane.

‘Jangan datang lagi. Aku dah tak percayakan kau.’

Si pari-pari tertunduk. Nota pendek itu seperti satu bebanan di hatinya. Oh, begini rasanya pedih tersingkir. Si pari-pari tak mungkin dapat bertemu Jane lagi. Cuma dia masih berharap kemarahan Jane akan berlalu. Ketika itu, si pari-pari akan melihat Jane dari kejauhan.

#blogchallenge2020

Please follow and like us:
Categories
Buku

Memoir Iran Iraq Kurdistan, Siti Noridah A Rahman

Satu lagi buku travelog yang merakamkan perjalanan ke negara dan daerah yang jarang dijejaki pelancong. Penulis yang terkenal dengan pengembaraan luar biasa ini mencatatkan travelog ringkas ke Iran dan Iraq Kurdistan.

ET pernah ke Iran, dan kali kedua ini beliau merentas sempadan Iran untuk ke Erbil di Iraq Kurdistan. Melalui buku ini baru saya ketahui Iraq yang berpusat di Baghdad itu negara yang berbeza dengan Iraq Kurdistan.

Dua negara yang mempunyai sejarah peperangan dan mengorbankan banyak nyawa.Tahniah ET dan terima kasih menuliskan perjalanan ke dua negara ini untuk tatapan pembaca.

Please follow and like us:
Categories
Buku

Pulau Karang, R.M. Ballatyne

Buku ini ialah adaptasi novel klasik oleh R.M. Ballatyne yang berjudul The Coral Island. Serasanya sesuai untuk dibaca semasa saya ke Pulau Tenggol baru-baru ini.

Ia adalah naskah langka dalam simpanan sahabat saya. Jadi, apa kata saya cuba membacanya sepanjang percutian lalu. Buku ini menceritakan pengembaraan tiga orang anak muda, iaitu Ralph, Jack dan Peterkin.

Ralph bertemu Jack dan Peterkin dalam sebuah pelayaran. Mereka anak kapal yang berlayar merentasi lautan. Sehingga suatu ketika berlaku tragedi yang menyebabkan mereka terdampar di sebuah pulau.

Itulah Pulau Karang. Maka, bermula pengembaraan mereka di Pulau Karang. Mereka terpaksa mencari jalan untuk hidup di pulau yang sepertinya tiada manusia lain di situ.

Ballatyne menggambarkan sebuah pulau dengan keindahan pantai, pokok kelapa, terumbu karang dan gua. Agak terperinci juga dan sememangnya sesuai dengan mood saya yang berada di Pulau Tenggol.

Kemudian, berlaku peristiwa yang menyedihkan apabila Ralph terpisah dengan Jack dan Peterkin. Ralph dipaksa menjadi anak kapal dagang dengan kapten yang kejam.

Ralph menghadapi pelbagai cabaran dan hampir terkorban. Namun, dia berjaya melepaskan diri. Adakah Ralph dapat berjumpa dengan Jack dan Peterkin semula?

Novel adaptasi ini diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd pada tahun 1997 dan diadaptasi oleh Kamariah Ahamed. Sebagai sebuah novel pengembaraan klasik, saya kagum dengan cara penulis menggambarkan suasana di atas kapal, serangan lanun, manusia liar dan kehidupan di sebuah pulau.

Selain daripada kisah pengembaraan, penulis menyelitkan banyak pengajaran hidup misalnya tentang menghadapi kematian, menguji kemampuan diri dan tentang perpisahan.

Saya catatkan dua petikan yang menarik:

‘Aku menyedari bahawa seseorang manusia tidak menyedari apa yang mampu dilakukan, sehingga dia diletakkan dalam keadaan terpaksa. Sekiranya dia dipaksa melakukan sesuatu tugas; dia mungkin berasa jemu dan kecewa sehingga menyedari tahap kemampuannya. Namun demikian aku tidak seharusnya membiarkan perasaan jemu dan kecewa itu menguasai diriku walaupun aku terpaksa melakukannya, Aku juga beranggapan bahawa apa yang aku lakukan itu adalah untuk sesuatu kebaikan. Aku hanya berserah dan meminta pertolongan dari Tuhan yang Maha Esa.’ (halaman 229)

‘Perpisahaan adalah sesuatu perkara yang sudah menjadi lumrah hidup manusia. Dunia ini adalah suatu tempat pertemuan dan perpisahan. Tangan-tangan yang dijabat mesra hari ini buat kali terakhir akan dipisahkan. Segala kemesraan hari ini akan bertemu buat kali terakhir setelah tangan itu dijabat dan ditinggalkan. Saat paling akhir pertemuan itu ialah apabila kedua-dua bibir mengucapkan ‘selamat tinggal’ dengan suara yang gementar dan terketar-ketar atau suara yang terputus-putus di antara sedu-sedan tangisan dan lelehan air mata.

Beberapa ramai manusia yang kita tinggalkan di dunia ini, dan tidak mungkin bertemu lagi. Sekiranya kita menyedari betapa singkatnya pertemuan di antara kita semua, kita akan cuba melalukan sesuatu yang paling baik bagi mereka, menghadiahkan senyuman manis bermadu bagi mereka dan menunjukkan rasa kasih sayang dan simpati yang abadi terhadap mereka dalam mengharungi hidup yang sangat singkat dan penuh liku dan suka duka di alam fana ini.’ (halaman 277)

Please follow and like us: