21 Kesilapan Biasa yang Paling Merugikan Dilakukan oleh Pelabur

William J. O’ Neil menulis buku bestseller berjudul How to Make Money in Stocks. Dalam buku ini beliau menjelaskan formula CAN SLIM yang boleh digunakan oleh pelabur dalam membuat keputusan tentang pelaburan khususnya dalam pelaburan saham.

Guru saya, Tuan Haji Asri ada menerangkan tentang formula CAN SLIM ini. CAN SLIM adalah ringkasan kepada perkara berikut:

  • C – Current Quarterly Earnings and Sales (Keuntungan dan Jualan Suku Tahun Semasa)
  • A – Annual Earnings Increase (Peningkatan Keuntungan Tahunan)
  • N – New Products, New Management, New Highs (Produk Baharu, Pengurusan Baharu)
  • S – Supply and Demand (Jumlah Saham di Pasaran dan Permintaan)
  • L – Leader or Laggard (Syarikat yang Mengetuai Pasaran dalam Industri)
  • I – Institutional Sponsorship (Pelabur Institusi)
  • M – Market Direction (Arah Pasaran)

Saya akan terangkan tentang CAN SLIM dalam entri akan datang. Kali ini saya ingin berkongsi 21 kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelabur. O’Neil menyatakan kesilapan ini menyebabkan kerugian besar kepada pelabur.

  1. Bertahan dengan kerugian yang ada walaupun kerugian itu adalah kecil. Pelabur masih berharap sehingga kerugian bertambah besar dan akhirnya terpaksa menjual saham berkenaan. O’ Neil mencadangkan supaya pelabur menjual saham apabila ia jatuh 7%-8% daripada harga belian.
  2. Membeli saham dengan harga yang menurun dan mengakibatkan pulangan yang teruk. Pelabur menyangka harga saham yang rendah adalah diskaun sedangkan harga saham itu sedang menurun. Akhirnya harga saham tidak menaik selepas itu.
  3. Tidak melakukan pembelian saham tambahan dengan harga lebih tinggi (averaging up) sebaliknya membeli saham tambahan dengan harga yang lebih rendah (averaging down).
  4. Tidak mempelajari carta saham dan takut untuk membeli saham apabila ia mencapai harga tertinggi yang baru pada carta walaupun ia mempunyai asas yang kukuh.
  5. Tidak keluar daripada syarikat walaupun kriteria pilihan saham tidak bagus. Tidak tahu ciri syarikat yang berjaya.
  6. Tidak mempunyai peraturan pasaran yang khusus untuk mengenal pasti permulaan pembetulan dalam pasaran atau pasaran sedang menurun.
  7. Tidak mengikuti rancangan belian dan jualan menyebabkan pelabur melakukan banyak kesilapan.
  8. Pelabur fokus dalam memilih saham yang mahu dibeli. Apabila keputusan untuk membeli saham sudah dibuat, pelabur tidak memahami masa atau keadaan saham mesti dijual.
  9. Gagal memahami kepenting membeli syarikat yang berkualiti tinggi dan mempunyai pelabur institusi. Pelabur juga tidak memahami kepentingan mempelajari penggunaan carta untuk memilih saham dan masa yang sesuai.
  10. Membeli banyak saham berharga murah berbanding hanya beberapa saham berharga tinggi. Saham berharga murah lebih berisiko tinggi.
  11.  Membeli berdasarkan tip, khabar angin, berita dan cerita atau pendapat daripada orang lain.
  12. Memilih saham kurang berkualiti kerana dividen atau nisbah P/E yang rendah. Ia tidak begitu penting berbanding EPS (earnings per share). Biasanya, syarikat yang memberi banyak dividen semakin lemah.
  13. Ingin membuat keuntungan yang cepat dan mudah.
  14. Membeli saham syarikat yang biasa pelabur dengar namanya.
  15. Tidak mampu mengenal pasti dan mengikuti maklumat yang baik.
  16. Menjual saham dengan keuntungan yang sedikit sedangkan pelabur masih memegang saham yang rugi.
  17. Terlalu risau tentang cukai dan komisen.
  18. Terlibat dengan spekulasi dalam opsyen dan futures kerana pelabur melihat instrumen ini boleh memberi keuntungan yang cepat.
  19. Tidak melakukan transaksi semasa dalam pasaran. Pelabur hanya menetapkan had harga pada pesanan beli dan jual.
  20. Tidak mampu membuat keputusan apabila tiba masanya.
  21. Tidak melihat saham secara objektif.

Sebagai orang yang melabur dalam saham, saya juga pernah melakukan beberapa kesilapan yang dinyatakan oleh O’ Neil. Namun semua ini adalah proses belajar dan saya mesti berusaha lebih kuat untuk memperbaiki pemahaman saya tentang dunia saham.

Buku ini boleh didapati di Kinokuniya.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *