Umum

Adakah Bazar Ramadan tahun ini?

Masuk hari ke-17 PKP. Bagaimana keadaan anda setakat ini? Sudah boleh menyesuaikan diri dengan rutin baharu berada di rumah? Saya harap kita dapat terus bertahan dan mengelakkan keluar sekiranya tiada keperluan.

Insya Allah, 21 hari lagi kita akan bertemu Ramadan. Bulan yang mulia dan semestinya Bazar Ramadan mungkin tidak sama lagi seperti tahun-tahun yang lalu. Wabak COVID-19 ini belum lagi nampak tanda-tanda akan reda. Malahan KKM menjangkakan ramai yang akan dikesan positif COVID-19 apabila langkah aktif dibuat oleh Kementerian Kesihatan.

Buat masa ini, kita perlu bersedia dan berlapang dada dengan kemungkinan tiada Bazar Ramadan seperti selalu. Kita mesti membiasakan diri dengan menyediakan makanan sendiri di rumah. Ikut kemampuan masing-masing dan bahan yang ada. Percayalah, dengan bahan yang sedikit dan penyediaan yang ringkas pun boleh menjadi hidangan yang mengenyangkan.

Misalnya, masak asam pedas Mak Usu yang dikongsi oleh Puan Rahmah Saad. Hanya menggunakan lima bahan asas. Voila. Dah siap pes asam pedas yang boleh disimpan dan digunakan bila perlu. Boleh masukkan bahan protein yang disukai seperti ayam, ikan atau daging tetel.

Selama dua minggu PKP ini, saya ada membeli barang makanan seperti berikut:

  1. Bawang besar
  2. Bawang kecil
  3. Bawang putih
  4. Beras
  5. Kentang
  6. Serbuk kari
  7. Telur
  8. Tauhu
  9. Tempe
  10. Santan kotak
  11. Serbuk kunyit
  12. Nuget ayam
  13. Sosej
  14. Bebola ikan
  15. Pasta
  16. Mihun
  17. Marjerin
  18. Tepung
  19. Cili padi
  20. Tomato

Bila disenaraikan begini, banyak juga bahan yang ada di rumah. Kita boleh berkreatif dalam menyediakan makanan yang berkhasiat dan sesuai keperluan isi rumah kita. Kalau tak pandai memasak, You Tube kan ada.

Saya agak dengan bahan yang ada setakat ini, saya tidak perlu keluar rumah sehingga minggu hadapan. Habiskan dulu bahan mentah seperti sayur-sayuran yang mudah rosak supaya tidak berlaku pembaziran.

Sekarang ini, semua bahan makanan sangat berharga sehinggalah belacan yang baru-baru ini saya jumpa di rak makanan kering saya. Kerana sudah berbulan-bulan tidak menggunakannya. Jadi semalam dapat saya nikmati kangkung goreng belacan yang sedap mengikut selera saya.

Semoga selamat semua kawan-kawan. Yang penting #stayathome dan jika mampu hulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Pastikan jarak anda dan gunakan kemudahan teknologi seperti online untuk menyalurkan bantuan.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial