Saham

Adakah Saya Perlu Hadir Ke Annual General Meeting?

Dua sampul surat bersaiz A4 dihantar Abang Posmen semalam. Tertera di sampulnya kod saham syarikat yang saya pegang. Kod ini dicetak di atas nama dan alamat saya. Saya buka sampul surat. Isi surat ini ialah notis Annual General Meeting atau Mesyuarat Agung Tahunan.

Dua notis AGM daripada dua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Sebagai pemegang saham yang sah, saya layak untuk hadir ke AGM dan mengundi bagi sebarang keputusan yang dibincangkan. Namun begitu, saya mestilah disahkan masih lagi memegang saham pada satu tarikh yang ditetapkan.

Senarai pemegang saham akan disemak semula pada satu tarikh, iaitu seminggu sebelum tarikh AGM. Sekiranya pada tarikh itu saya belum menjual pegangan saham saya dalam dua syarikat ini, maka saya layak hadir. Saya juga boleh mewakilkan kehadiran dengan mengisi Borang Proksi (Proxy Form) yang disediakan.

Pegangan saya dalam dua syarikat ini kurang dari 12 bulan. Saya belum membuat keputusan untuk menjual saham ini. Syarikat pertama ialah Fronken Corporation Berhad (FRONTKN) yang termasuk dalam sektor teknologi. Syarikat kedua ialah Kelington Group Berhad (KGB) dalam sektor produk industri.

FRONTKN melaporkan prestasi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2019 yang memberangsangkan. Peningkatan keuntungan bersih sebanyak 144% berbanding suku tahun sebelumnya. Harga saham turut mencatatkan kenaikan dan semalam ditutup pada harga RM1.44. Harga tertinggi (52W High) setakat ini ialah RM1.46. RHB Research meletakkan sasaran harga (Target Price) pada RM1.50 / RM1.60.

KGB belum mengeluarkan laporan suku tahunan. Kemungkinan laporan ini akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Nampaknya pelabur menunggu hasil laporan tidak lama lagi. Harga saham ditutup pada RM1.27 semalam. Saham KGB pernah mencecah harga tertinggi, iaitu RM1.41 pada 25 April 2019. Kemudian, ia mengalami kejatuhan. Jumlah dagangan saham ini juga menurun. Apabila tiada momentum dagangan yang menunjukkan wujudnya minat belian/jualan, harga turun sehingga ke paras RM1.19. Apatah lagi, Bursa Malaysia turut mengalami kesan akibat Trade War US-China awal minggu ini. Jadi, saya masih lagi memerhati pergerakan harga saham ini.

Dua syarikat yang mempunyai asas bisnes yang bagus (fundamental). Namun, harga saham tetap bergerak mengikut sentimen pasaran dan minat dagangan dalam sektor yang terlibat.

Kembali kepada soalan ini: Adakah saya perlu hadir ke Annual General Meeting?

Saya belum memutuskan lagi. Bagi seorang pelabur jangka panjang, sebaiknya hadir supaya anda dapat melihat sendiri perjalanan mesyuarat dan bagaimana keputusan dibuat. Semenjak mula melabur saham tiga tahun lalu, saya belum pernah menghadiri sebarang AGM. Kebanyakan saham yang saya pegang sebelum ini, dijual dalam jangka masa yang pendek.

Kebiasaannya AGM turut dibuat untuk mengesahkan laporan tahunan syarikat. Kebanyakan syarikat mempunyai tahun berakhir pada 31 Disember. Laporan ini dikeluarkan sebelum 31 Mac. FRONTKN dan KGB mempunyai tahun berakhir 31 Disember. Oleh sebab itu, tarikh AGM syarikat ini selang dua minggu sahaja. Saya rasa kebanyakan syarikat akan menjalankan AGM dalam tempoh ini.

Lokasi mesyuarat di Kuala Lumpur. Jika saya ingin hadir, maka saya perlu ke sana atau melantik Proksi sebagai wakil saya.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial