Blog

Adakah Saya Suka Kucing?

Dua ekor anak kucing yang berwarna putih bertompok oren elok terlentang di dalam sangkar. Kecil lagi. Baru lepas makan dan minum susu. Susu kambing. Baru saya tahu yang kucing suka minum susu kambing berbanding susu lembu.

Saya tidak memelihara kucing. Dua anak kucing ini dibela oleh keluarga kakak saya. Anak saudara saya bukan main suka. Setiap seorang pegang seekor dan diletak di riba. Mengelus bulu kucing yang nampaknya manja. Saya tengok sahaja.

Kucing memang comel. Tapi cukuplah saya tengok dari jauh sahaja. Setakat ini belum terlintas mahu membela kucing. Orang kata, jika ada kucing di rumah cicak dan segala macam serangga akan berkurangan.

Renyah juga saya lihat penjagaan kucing ini. Adakah saya boleh sabar melayan ‘kemanjaan’ kucing? Tak tahu. Sebabnya mahu pegang kucing pun saya masih teragak-agak lagi.

Orang kata lagi siapa yang suka kucing ini orang yang penyayang. Ramai kawan saya yang suka kucing dan membela kucing. Ah… saya di kelilingi orang yang penyayang. Syukur.

Kucing ini kalau kita tak berapa nak usik-usik dia, dia pula yang datang dekat dengan kita. Aduhai… maafkan acik si kucing comel. Acik bukan tak suka awak, tapi acik memang tak nak pegang awak. Jangan awak kecewa. Ramai orang yang sayangkan awak.

Saya sebenarnya kagum dengan kesabaran orang yang membela kucing. Belikan kucing kesayangan makanan, mandikan, sediakan tempat yang bersih dan sangkar untuk si anak kucing. Belanja untuk menjaga kucing pun boleh tahan banyak. Tapi kalau dah sayang, tidaklah berkira sangat. Rezeki sentiasa ada untuk dikongsi dengan haiwan kesayangan.

Beberapa orang kenalan saya memang menjaga kucing. Malahan ada yang menjadi penyelamat kucing seperti Arina. Arina salah seorang penulis Projek Lavender yang menceritakan kisah kucingnya yang kena kanser. Saya tidak pernah tahu yang kucing juga menghidap kanser. Sekarang, Pastel sudah tiada. Tapi Arina tetap menjaga dan menyelamatkan banyak kucing jalanan.

Baru-baru ini saya dapat tahu Hazwah mula jatuh cinta pada kucing. Eh… macam mana tu? Agaknya dulu dia seperti saya yang tidak gemarkan kucing. Saya nak tahu juga macam mana dia boleh jatuh cinta dengan kucing.Buat pencinta kucing, mesti suka merakam aksi kucing yang comel, garang, malas, tidur dan lain-lain. Tetaplah comel.

Di mana-mana pun tak susah nak jumpa kucing. Saya pernah ke Tioman. Bukan main gebu bulu kucing yang berkeliaran di pantai. Agaknya mereka dapat sumber makanan yang segar dan sihat. Sebab itu gemuk dan gebu. Boleh tahan sombong juga. Orang nak mendekat, dia bangun dan lari ke tempat lain.

Buat masa ini, saya belum berniat mahu membela kucing. Akan datang tidak tahulah… Selamat berhujung minggu.

Writing prompt Ogos 2019: Adakah anda memelihara kucing?
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial