Nota Khutbah

Akhlak dan iman saling seiringan

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Al-Mukminun: 1-3)

Rasululllah SAW menggambarkan keadaan orang yang muflis pada hari Akhirat tidak sama dengan apa yang dikatakan muflis harta benda di dunia. Dalam hadis nabi disebutkan:

“Orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan pahala amalan solat, zakat dan puasa. Akan tetapip dia pernah menghina seseorang dan melontar tuduhan palsu ke atas yang lain, lalu memakan harta orang lain, pernah pula menumpahkan darah orang lain dan pernah menyakiti yang lain. Maka dibahagi-bahagikan pahala kebaikannya kepada orang itu. Dan apabila sudah habis kebaikannya, akan dihimpunkan kepadanya dosa-dosa orang yang menuntut, lalu dia akan dihumbankan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)

Peringatan Nabi Muhammad SAW tentang hubungan sesama manusia turut disebut dalam satu hadis lagi semasa membincangkan tentang Hari Mahsyar (hari Akhirat). Ayat 1-3 Surah Al-Mukminun memberitahu kita ciri-ciri orang yang beriman. Kemudian, dijelaskan oleh Rasulullah solat, zakat dan puasa sahaja tidak mencukupi jika akhlak kita sesama insan tidak dijaga.

Sekali lagi Rasulullah menyebutkan dalam Hadis:

“Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik di antara mereka akhlaknya.” (Riwayat Tarmidzi)

Ini menunjukkan kaitan iman dan akhlak. Iman tidak akan sempurna tanpa akhlak. Berbuat kebaikan semasa insan adalah tuntutan agama. Mereka yang mengaku beriman sesungguhnya akan menghayati kepentingan menunjukkan akhlak yang baik.

Sikap adil, sabar, syukur, bercakap benar, melaksanakan janji, tidak menyakiti orang lain adalah contoh akhlak yang mulia. Iman dan akhlak sentiasa berjalan seiringan. Bagi orang yang menuntut ilmu agama khususnya menghadapi cabaran besar. Seringkali kita melihat ilmu itu buat orang mendongak ke langit dengan sombong dan sanggup bertikam lidah mempertahankan pendapat masing-masing. Sedangkan itu bukanlah resam ilmu yang sebenar.

Ilmu apabila disandarkan kepada Allah maka membuat kita rasa rendah sebagai hamba-Nya dan tidak sekali-kali berani untuk berlaku sombong dan menyakiti hari orang lain.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hari mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Al-Anfal: 2)

Nota penulis:
Mengucapkan kata-kata yang baik adalah akhlak yang terpuji. Seseorang yang menutup auratnya dan sentiasa menjaga ucapannya membuktikan bahawa iman dan akhlak bergabung dalam dirinya.
Inilah kecantikan Islam yang dapat ditunjukkan dengan peribadi Muslim yang beriman. Orang mudah tertarik dengan kebaikan. Sudah lumrah kita rasa senang dan tenang apabila berada dengan orang yang baik-baik.
Hati kita tidak menyukai kata-kata hinaan atau ucapan yang kasar. Oleh itu, berkata-kata dengan baik itu adalah sebahagian daripada akhlak dan aurat kita sebagai orang yang beriman.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Nov 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial