Blog

Apa yang Saya Lakukan Apabila Marah

Perasaan marah adalah normal. Yang tidak normal ialah marah secara berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kecederaan dan membangkitkan dendam. Banyak hal terjadi kerana rasa marah yang keterlaluan sehingga menjejaskan hubungan.

Filem Inside Out menjadikan watak ‘Anger’ sebagai satu perasaan yang penting. Tanpa rasa marah, manusia mungkin akan jadi murung kerana terpaksa menerima sahaja perbuatan orang lain yang mengambil kesempatan misalnya.

Saya seboleh mungkin mengelakkan rasa marah yang melampau. Saya juga akan cuba sebaiknya untuk mengelakkan konflik dan fokus kepada jalan penyelesaian. Tapi ada juga keadaan yang kita tak akan mencapai kata sepakat dan meninggalkan pergaduhan adalah lebih baik.

Baru-baru ini saya ada meminta bantuan seseorang. Tapi dia tidak langsung mahu berusaha untuk mengambil tindakan, malahan memberi alasan. Memang saya marah. Apa yang saya lakukan ialah mencari orang lain yang boleh dipercayai untuk melaksanakan tugas ini.

Perasaan marah membuatkan saya tidak selesa. Biasanya saya akan mengambil sedikit masa untuk memikirkan respon yang sesuai tentang situasi yang tidak menyenangkan ini.

Marah bukan sahaja terjadi dalam persekitaran yang kecil seperti dalam keluarga atau lingkungan sahabat. Pernah juga saya berasa marah apabila membaca kenyataan atau status di media sosial yang tidak masuk akal.

Saya percaya, emosi seperti marah yang timbul dalam media sosial ini menyebabkan satu-satu peristiwa atau berita menjadi viral. Selain emosi sedih, emosi marah juga tidak kurang hebatnya. Seperti baru-baru ini, entah kenapa disebabkan pelajaran menulis jawi yang tidak sampai sepuluh halaman juga diperdebatkan dengan hebat.

Apabila melihat satu isu yang saya tidak persetujui di media sosial, saya jarang sekali mahu menyatakan komen. Saya berpegang pada pendirian tidak semua hal atau perkara kita memahami kedudukan yang sebenar. Ini tidak bermaksud saya tidak mempunyai pendapat sendiri.

Pernah beberapa kali saya mendapat respon yang menyedihkan apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat saya. Tapi saya jarang melayan sangat kerana saya tahu apabila saya menulis di media sosial sebagai respon saya terhadap sesuatu isu, saya sudah memikirkannya dahulu.

Banyak hal yang tidak dapat diluahkan di laman media sosial. Namun, saya mempunyai ramai sahabat baik yang sanggup mendengar pendapat saya. Dia tidak semestinya bersetuju dengan saya. Tapi cukup jika dia menghormati pandangan saya. Kami boleh berbincang dan selalu sahaja saya akan mendapati pemahaman yang baru dan menyegarkan.

Saya membaca tentang pengurusan marah. Rasa marah mungkin berpunca daripada penyakit mental. Perubahan mood yang ketara pada pesakit yang mengalami penyakit mental ini boleh menyebabkan golongan ini rasa marah tanpa punca. Marah kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

Oleh sebab itu, sekiranya kita atau orang sekeliling menyedari yang timbul perasaan marah yang tidak bersebab dan menjadi keterlaluan sebaiknya dapatkan nasihat doktor. Cuba bertenang dan buat perkara yang dapat meredakan kemarahan.

Duduk. Tarik nafas. Minum air kosong. Telefon rakan atau ahli keluarga yang dipercayai. Kemudian, jika boleh berbincang dengan pihak yang terlibat, cuba bincang. Jika pihak itu tidak berkepentingan dalam hidup anda. Tinggalkan. Why not? Kita tidak bertanggungjawab atas perasaan orang lain.

Perasaan kecewa juga boleh menjadi punca kita berasa marah. Saya suka baca lima cara yang dikongsikan oleh Mimi Salleh untuk mengatasi rasa kecewa.

Cuba kawal perasaan marah kita jika mampu. Dapatkan bantuan apabila perlu. Usah marah berpanjangan, pilih untuk gembira dan bahagia.

Apakah yang anda lakukan apabila marah?

Writing prompt Ogos 2019: Apa yang saya lakukan apabila marah
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial