Umum

Apakah ciri orang yang berpura-pura (fake personality)?

Rakan saya kongsi satu video tentang hidup individu dengan fake personality (berpura-pura atau palsu) sepuluh tahun akan datang. Sebenarnya ia menunjukkan masyarakat yang berpura-pura. Dalam video itu, setiap orang boleh meletakkan markah pada orang lain melalui aplikasi khas.

Hari ini kita lihat sekeliling khususnya di media sosial, berapa ramai yang berpura-pura dan cuba sehabis baik untuk menonjolkan imej yang baik sahaja di mata pengikut (followers)?

Bayangkan hidup yang terlalu mahukan pengiktirafan orang lain. Individu seperti ini boleh mengalami tekanan seperti yang banyak terjadi kepada instafamous atau social influencer. Apabila cantik, elok, manis dipuji melambung. Apabila salah sedikit, habis dicanang, dikecam dan lebih buruk lagi membawa fitnah.

Tak dinafikan, golongan yang popular ini kadang kala membawa mesej yang baik. Konten yang bagus dan ilmu yang boleh dipraktikkan untuk menjalani hidup yang lebih baik. Namun, kita sebagai pengikut atau pembaca boleh membuat penilaian jika individu ini berpura-pura atau memang jujur dalam setiap perkara yang disampaikan.

Ruang media sosial ini membuka banyak peluang untuk berkenalan dengan kawan baru. Malahan saya turut mengenali rakan-rakan penulis khususnya melalui media sosial. Kemudian, ada antara mereka menjadi sahabat baik saya apabila kami bersua muka di alam realiti.

Pengalaman mengajar saya untuk menilai kawan sebenar dan individu yang berpura-pura. Kita boleh lihat personaliti orang yang berpura-pura ini, lama-kelamaan akan terserlah walaupun dia cuba menutupnya dengan cerita-cerita baik, sedangkan ia adalah palsu.

Cuba kita lihat, adakah individu dengan fake personality ini ada di sekeliling kita?

  1. Apabila memberi pendapat, dia menganggap pendapat dia sahaja yang betul. Siapa yang membangkang dianggap tidak sehaluan dan akan dilabel.
  2. Dia menunjukkan diri dan sengaja minta dipuji. Menjadi kebiasaan kita mengambil gambar sendiri (selfie) dan cuba memaparkan gambar terbaik di media sosial. Tapi tidak perlulah minta perhatian sangat dengan minta pengikut meletakkan komen yang melambung-lambung perasaan kita.
  3. Tidak menghormati orang lain. Rasa hormat ini sifat yang dipupuk daripada dalam hati. Ia berkait rapat dengan rasa rendah hati. Individu yang berpura-pura ini meminta orang menghormati dirinya, tapi kemudian dia tidak mahu menghormati orang lain.
  4. Merasa dirinya lebih hebat dan jauh lebih baik dalam perkara yang dia lakukan. Sedangkan pengetahuan dan ilmu sifatnya luas dan berkembang. Adakah dengan kejayaan yang dia telah capai itu menjadi tiket untuk dirinya memperlekehkan usaha orang lain?
  5. Orang yang berpura-pura ini sering cakap belakang. Apabila berdepan tidak mahu berbincang dengan baik. Dia cuba membawa watak yang ‘suci’ di khalayak lain. Sedangkan orang yang dikatanya itu tidak berpeluang membela diri. Buruk perangai.
  6. Hanya wujud apabila dia mahukan sesuatu daripada kita. Memang hidup kita di dunia ini memerlukan orang lain. Jika tidak hambarlah jadinya. Tapi orang yang berpura-pura ini muncul untuk mencapai matlamat dia sahaja. Selepas itu dia akan meninggalkan kita. Pada masa yang lain kita memerlukan, dia tidak pula datang dan menghulur bantuan.
  7. Orang yang berpura-pura ini sentiasa mahu menunjukkan sisi baiknya. Dialah yang paling baik hati dan minta kebaikannya dicanang-canang. Ia berbeza dengan orang yang ikhlas menyebarkan kebaikan. Dalam hal ini, mungkin akan mengambil masa sedikit untuk kita mengenali dirinya yang sebenar. Tapi lama-kelamaan akan terdedah juga sikapnya itu.

Bukan mudah nak menilai seseorang yang ikhlas atau berpura-pura. Ia bergantung kepada pengalaman dan nilai hidup kita. Saya memilih untuk berkawan dengan orang yang saya selesa bersama dengan mereka. Saya dapat berbincang hal-hal penting atau santai. Saya tidak rasa direndah-rendahkan apabila berbual atau menyatakan pendapat.

Jika kita dapat merasakan sikap orang yang berpura-pura ini, sebaiknya kita jauhkan diri. Atau jangan libatkan diri dengan mereka. Ini untuk mengelakkan kita sakit hati dan menimbulkan situasi yang tidak menyenangkan.

Buat apa buang masa dengan individu yang tidak menghargai kita. Lebih baik kita meluangkan masa dengan sahabat yang ikhlas dan sudi bersama kita dalam keadaan senang mahupun sukar. Sahabat yang tidak menghukum kita sebarangan. Sahabat yang tidak bertindak melulu tapi cuba mencari kebenaran dengan cara yang baik.

Tinggalkan orang yang berpura-pura. Kita tidak akan rugi. Fokus pada insan yang penting dalam hidup kita. Fokus pada matlamat dan hala tuju yang mahu kita capai. Supaya hidup kita lebih baik dan tenang.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial