Buku

ASP Ali Batcha: Dari D9 ke Tahanan Tanpa Bicara

Penulis: Md Ali Amir Batcha
Terbitan: 2019

Buku ini ditulis oleh bekas pegawai polis yang bertugas di D9 – Cawangan Siasatan Jenayah. Penulis menceritakan penglibatan beliau dalam banyak kes jenayah di Johor dan Selangor. Pelbagai kejayaan yang dicapai sehingga menimbulkan iri hati dan fitnah. Akibat fitnah ini, beliau menjadi Tahanan Tanpa Bicara selama tiga tahun.

Saya membaca buku ini dalam masa sehari sahaja. Saya memang suka kisah yang bertema kepolisan. Selalu juga menonton drama atau siri yang menonjolkan watak detektif.

ASP Ali Batcha ialah seorang detektif yang menjalankan tugas bahaya di Johor Bahru. Beliau berdepan dengan penjenayah dan menggunakan kebijaksanaan untuk memerangkap mereka. Nama tempat yang disebut dalam buku ini sangat biasa bagi saya. Taman Johor Jaya, Skudai, Kulai dan beberapa tempat lagi sememangnya bukan asing bagi saya yang tinggal di Johor Bahru.

Peristiwa yang diceritakan berlaku sekitar tahun 1988 hingga 1993/94 di Johor. Pada waktu itu, saya masih bersekolah. Tanpa saya sedari, wujudnya penjenayah yang berbahaya ini dalam kawasan berhampiran tempat saya tinggal.

Banyak kejayaan yang dicapai oleh ASP Ali Batcha dalam kes melibatkan rompakan dan samun. Beliau dan ahli pasukan UTC (Unit Tindak Cepat) yang ditubuhkan atas ideanya menggunakan kemahiran dan sumber yang ada untuk menumpaskan penjenayah bersenjata api.

Penulis menyenaraikan kes-kes yang pernah dikendalikan. Begitu besarnya cabaran dan keberaniaan yang ditunjukkan oleh penulis. Namun sayang sekali, ada rakan sekerja malahan ketua yang tidak menghargai sumbangan beliau.

Sehingga beliau difitnah. Inilah realiti. Buku ini menyampaikan suara hati penulis yang ingin mendapatkan keadilan walaupun hal ini telah berlaku lebih sedekad yang lalu.

Saya yang membaca buku ini berasa geram dengan sikap manusia. Sememangnya, ada insan yang bekerja bersungguh-sungguh walaupun ganjaran kewangan tidak setara, sanggup mengeluarkan tenaga dan wang sendiri untuk menjalankan amanah yang diberi. Dalam masa yang sama, ada insan lain yang sambil lewa malah cuba bersubahat dengan penjenayah untuk mengumpul laba bagi kepentingan diri sendiri.

Manusia akan melakukan apa sahaja untuk ‘menyumbat’ orang lain ke tempat yang tidak sepatutnya. Menggunakan kuasa dan pengaruh supaya orang yang tidak bersalah dipenjarakan.

Bagi saya, jika kita berada di pihak yang benar usah putus asa untuk mendapatkan keadilan. Walaupun keadilan itu kelihatan samar sekali.

Bak kata Detektif Hercule Poirot:

And whatever people say, there is right, there is wrong. There is nothing in between.

Murder on the Orient Express

Tahniah kepada penulis yang berjaya menerbitkan buku ini. Boleh dikatakan semua peristiwa dan kes yang diselesaikan mempunyai rujukan nombor. Tarikhnya diberikan dengan terperinci. Nama penjenayah juga disebutkan. Amalan polis yang menggunakan diari harian banyak membantu catatan peristiwa dibuat dengan tepat (melalui catatan penulis).

Namun begitu, bacaan agak mendatar sedikit walaupun saya dapat bayangkan serba sedikit debaran yang dilalui penulis apabila berhadapan dengan penjenayah. Ia hanyalah imaginasi saya yang terhad (mungkin juga dipengaruhi drama atau siri kepolisan yang saya tonton). Ada bahagian tertentu seperti saya membaca laporan polis.

Alangkah bagusnya jika detik cemas dapat diceritakan dengan lebih terperinci dan ada unsur drama. Tapi saya dapat memahaminya kerana buku ini bukan bertujuan untuk membawa pembaca dalam dunia kepolisan dan penyiasatan. Ia lebih kepada sebuah buku untuk membela diri dan menceritakan sudut pandang penulis yang mencari keadilan.

Saya harap pengalaman dan kemahiran ASP Ali Batcha dalam membanteras jenayah dapat dibukukan dalam bentuk fiksyen satu hari nanti. Kes-kes yang pernah berlaku (yang disebutkan) dalam buku ini bukan calang-calang.

Tahniah sekali lagi. Teruskan menulis dan paling utama semoga keadilan berpihak kepada orang yang benar. Segala kesengsaraan dan kesukaran yang dilalui penulis mendapat pembelaan sewajarnya.

Boleh lihat lebih lanjut tentang buku ini di laman Facebook ini. Klik sini.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial