Jimat masa Jimat wang

Bagaimana berjimat di bulan Ramadhan

Ramadhan masuk hari ke-4. Bulan yang mulia ini menjanjikan pelbagai ganjaran kepada mereka yang berusaha meraih pahala dengan beribadat disamping menjalani kehidupan harian. Salah satu amalan yang digalakkan Islam ialah mengelakkan pembaziran. Keadaan ekonomi dan situasi semasa mempengaruhi kos sara hidup dan harga barang keperluan di pasaran.

Bagaimana untuk kita berjimat di bulan Ramadhan? Beberapa idea berikut boleh anda aplikasikan dalam mengawal perbelanjaan dan sedikit sebanyak berjimat daripada segi kewangan.

1. Meletakkan bajet apabila ingin membeli juadah di bazar Ramadhan. Tidak dinafikan, rambang mata apabila melihat pelbagai pilihan juadah untuk berbuka puasa. Makanan berat sehinggalah kuih-muih yang menambat selera. Namun begitu, hadkan perbelanjaan anda untuk satu hari. Cara ini  mengelakkan anda berbelanja berlebihan dan pembaziran apabila juadah itu tidak habis dimakan.

2. Berbuka puasa dan bersahur di rumah. Ini tentu lebih menjimatkan kerana tidak perlu berbelanja lebih berbanding berbuka puasa di hotel atau restoran mewah. Secara purata kos bufet Ramadhan 2014 di hotel adalah diantara RM70 – RM100 seorang dan ke atas. Sedangkan kos berbuka di rumah adalah lebih rendah.

3. Memasak sendiri juadah berbuka. Idea ini memerlukan sedikit kemahiran, namun ia tidaklah  sukar. Pilih menu yang mudah dan ringkas. Jika boleh, sediakan jadual menu berbuka agar lebih mudah untuk anda merancang pembelian bahan-bahan mentah.

4. Menggunakan bahan-bahan siap dimasak seperti rempah segera dan kuih-muih sejuk beku. Produk seperti ini menjimatkan masa dan tenaga semasa penyediaan. Lagi-lagi di bulan puasa ini, lebih ringkas, lebih mudah dan lebih jimat menjadi pilihan ibu-ibu yang bekerja dan suri rumah sepenuh masa.

Ok, sampai jumpa lagi dalam entri akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *