Harta pusaka

Bagaimana menghantar permohonan pentadbiran Pusaka Kecil

Pusaka kecil ditakrifkan sebagai harta si mati yang bernilai kurang RM2 juta. Semua harta sama ada harta alih atau harta tak alih dikumpulkan dan akan diagihkan kepada waris yang berhak.

Sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat dan harta pusakanya bernilai kurang RM2 juta, waris boleh menghantar permohonan ke Pejabat Pusaka Kecil. Ia diuruskan oleh Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP).

Langkah demi langkah untuk membuat permohonan pentadbiran pusaka kecil

Pertama

Kumpul semua maklumat harta si mati seperti buku akaun, penyata akaun, geran tanah atau rumah, geran kereta, akaun pelaburan seperti ASB dan unit amanah yang lain, Lembaga Tabung Haji, KWSP dan lain-lain.

Kumpul salinan kad pengenalan waris termasuk pasangan, anak-anak, ibu dan bapa.

Dapatkan salinan resit cukai harta dan cukai tanah yang terkini.

Kedua 

Semak akaun yang mempunyai penama. Contohnya, akaun KWSP dan Tabung Haji. Jika sudah mempunyai penama, pergi ke pejabat yang berkenaan dan bawa dokumen yang diperlukan untuk memohon pengeluaran.

Penama bagi si mati beragama Islam adalah pemegang amanah. Sebarang baki dalam akaun berkenaan hendaklah diagihkan mengikut syariat. Sama ada untuk menjelaskan hutang terlebih dahulu atau diagihkan mengikut Faraid.

Ketiga

Isi Borang A iaitu borang permohonan awal pentadbiran harta pusaka kecil. Borang ini boleh dimuatturun di Borang A atau laman web KPTG.

Borang ini mengandungi maklumat pemohon, waris, senarai harta alih dan harta tak alih serta hutang si mati.

Permohonan boleh dibuat oleh waris si mati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam (baitulmal) dan sebagainya.

Selain itu, pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah, pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah si mati, penghulu atau pegawai petempatan yang diarahkan oleh pentadbir tanah atau Amanah Raya Berhad.

Semua salinan dokumen seperti salinan kad pengenalan dan salinan dokumen harta hendaklah disertakan bersama permohonan.

Keempat

Simpan dokumen asal dalam fail khas untuk memudahkan rujukan. Fail ini perlu dibawa semasa perbicaraan.

Kelima

Hantar Borang A beserta dokumen sokongan ke Pejabat Pusaka Kecil berdekatan di mana harta tak alih didaftarkan. Tunggu proses permohonan oleh Bahagian Pentadbiran Pusaka dan mereka akan memanggil untuk bicara pada tarikh yang ditetapkan.

Keenam

Sementara menunggu tarikh bicara, berbincang secara muafakat tentang pentadbiran harta si mati dan cara paling baik untuk mengagihkannya kepada waris yang berhak.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial