Harta pusaka

Bahagi kerana sayang

Ustaz Pahrol dalam satu siri di radio IKIM membuat perbandingan bahawa kadangkala orang Islam rabun dekat. Hanya melihat tentang hari akhirat, tetapi mengabaikan hal dunia. Sedangkan dunia adalah jalan atau ladang untuk akhirat.

Setelah berusaha bertahun-tahun mengumpul kekayaan untuk keluarga dan masa depan, sampai masanya mulakan perancangan harta pusaka. Dalam entri terdahulu, saya ada menyatakan lebih awal membuat perancangan lebih baik kerana kematian itu rahsia Allah.

Ada yang berpendapat buat wasiat tidak perlu kerana tiada harta. Tetapi kita semua ada yang disayangi dan menyayangi. Dalam pertemuan saya dengan klien, mereka membuat wasiat kerana mereka hendak memastikan hak orang yang disayangi terbela dan yang paling utama dapat diuruskan dengan baik. 

Mereka punya tujuan yang berbeza tetapi akhirnya ia adalah bermula dengan hati dan perasaan sayang. Itu lumrah. Apa tujuan mereka:

1) Isteri dapat menguruskan anak-anak dan tiada perbalahan dengan kaum keluarga
2) Urusan pentadbiran dibuat dengan efesien dan profesional, ahli keluarga yang ditinggalkan dapat meneruskan kehidupan dengan baik
3) Memberi hadiah istimewa kepada orang yang paling disayangi
4) Melantik orang yang dipercayai untuk menyambung aktiviti kebajikan bagi tujuan waqaf
5) Menyampaikan pesanan yang baik kepada waris yang tinggal

Ini hal berkaitan emosi. Tapi ia harus diimbangkan dengan realiti. Hampir semua klien saya menyatakan tentang rasa terharu dan hiba apabila membaca draf wasiat mereka. Ia seolah kata-kata terakhir. Itu memang benar.

Sebagai orang Islam, harta yang kita miliki didunia adalah pinjaman Allah semata-mata. Tapi bukan bermakna ia perlu dibiarkan atau dibazirkan. Orang yang bijak ialah orang yang menguruskan harta di dunia untuk mengambil tuaian di akhirat.

Semoga kita membuat perancangan yang terbaik berdasarkan Syariah.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial