Harta pusaka

Bahagian Faraid anak perempuan (Soalan Emel)

Soalan melalui emel:

Seorang ayah meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat (ibu bapa dan isterinya telah meninggal sebelumnya) meninggalkan seorang anak perempuan dan dua orang anak lelaki. Ayah meninggalkan sebidang tanah sawah, sebuah motorsikal yg baru dibeli dan wang simpanan( tunai, di bank dan tabung haji).

Semua wang diambil oleh anak lelaki kedua dan disimpan didalam akaun banknya sementara menunggu untuk dibahagikan.

Jika wang disimpan lama di bank sudah tentu ada faedah dari simpanan tersebut, adakah itu juga menjadi wang pusaka?

Bagaimanakan pembahagian pusaka mengikut faraed bagi seorang anak perempuan?
Saya mendapat berapa pendapat yg mengelirukan. Ada yg mengatakan satu pertiga dan ada yang mengatakan satu perlima dari keseluruhan nilai.

Jawapan:

Waris Faraid untuk si mati (ayah) adalah seorang anak perempuan dan dua orang anak lelaki. Dalam keadaan ini, harta pusaka dibahagikan mengikut nisbah 1 bahagian perempuan dan 2 bahagian lelaki seperti berikut:
Waris perempuan (1)
Waris lelaki pertama (2)
Waris lelaki kedua (2)

Kesimpulannya, waris perempuan mendapat 1/5 daripada keseluruhan nilai harta pusaka.
Harta pusaka merangkumi semua harta yang ditinggalkan si mati termasuk tanah, kenderaan dan wang tunai. Semua ini perlu diuruskan melalui perundangan pentadbiran harta pusaka di Malaysia dan hukum Syariah.

Wang tunai (milik si mati) yang dipegang sementara oleh anak lelaki dan disimpan di dalam akaunnya adalah hak pusaka semua waris. Segala dividen atau faedah daripada wang berkenaan yang diterima selepas kematian sehingga tarikh akhir ia diagihkan adalah hasil pusaka. Ia perlu dibahagikan mengikut Faraid juga.

Contoh:
Wang simpanan berjumlah RM50,000 adalah baki pada tarikh kematian. Disimpan dalam Tabung Haji dengan dividen 8 peratus setahun.

Wang ini tidak diagihkan sehingga dividen dibayar oleh TH. Selepas dividen diagihkan oleh Tabung Haji, jumlah baru ialah RM54,000. Maka jumlah yang perlu diagihkan ialah RM54,000.

Anak lelaki yang menyimpan wang berkenaan adalah pemegang amanah sahaja dan sebarang hasil perlu diagihkan mengikut hak waris. Tanggungjawab beliau sebagai pemegang amanah kepada wang tunai tersebut akan lupus selepas wang berkenaan diagihkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *