Gaya Hidup

Bahana Pengganti Gula

Saya masih lagi membaca buku The Obesity Code oleh Dr Jason Fung. Buku ini meleraikan satu persatu sebab utama masalah obesiti semakin teruk sejak 1977. Penulis menggunakan data dan kajian yang digunakan di AS dan beberapa tempat lain.

Buat pertama kali persoalan tentang kenapa saya tak berjaya kurus walaupun cuba mengira kalori yang dimakan terjawab.

Sebabnya ialah kalori bukan penyebab berat badan meningkat. Selepas beberapa bab dalam buku ini menceritakan kesilapan dalam kaedah diet seperti kurangkan kalori, lebihkan senaman dan diet Atkins barulah saya faham.

Berat badan kita berhubung kait dengan hormon, iaitu insulin. Badan kita juga mempunyai tetapan berat badan yang berubah. Bab ini saya faham, cuma tak dapat nak menulisnya semula di sini. Nanti saya buat dalam posting lain.

Berbalik pada tajuk posting ini. Salah satu bab menerangkan tentang penggunaan pengganti gula seperti aspartam dan stevia.

Pengganti gula mempunyai kadar kemanisan yang berkali ganda lebih tinggi. Ia juga berjaya dijual kerana tidak mempunyai kalori. Berbanding gula biasa yang mempunyai kalori, pengganti gula nampaknya satu pilihan yang lebih baik.

Hakikatnya adalah sebaliknya. Pengambilan gula ganti tidak menurunkan berat badan, malahan boleh mengundang risiko obesiti dan penyakit lain.

Menurut Dr Jason, apabila kita mengambil pengganti gula tanpa kalori, badan kita akan memprosesnya tapi kerana tiada tenaga yang terhasil maka otak akan mentafsirkan seolah-olah anda tidak puas dan kenyang. Ini secara tidak langsung mendorong anda untuk makan atau minum dengan lebih banyak.

Akibatnya, berat tidak turun malahan boleh bertambah kerana pemakanan yang berlebihan. Bagi pesakit kencing manis, ia lebih memudaratkan.

Kesimpulannya, pengganti gula membawa bahana. Cara yang lebih selamat ialah kurangkan gula atau elakkan gula dalam makanan anda.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial