Blog

Baju Tradisional

Arashiyama, Kyoto, Jepun. 2017. Musim luruh. Kami menaiki keretapi dari Osaka menuju ke Kyoto. Sebuah bandar lama dan mahu melihat hutan buluh yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Turun di stesen kereta api dan berjalan kaki ke Arashiyama. Hari yang cerah. Kami menyeberang jambatan dan berhenti sekali sekala mengambil gambar.

Orang ramai mula memenuhi kali lima deretan kedai yang panjang. Kelihatan gadis dan jejaka memakai pakaian tradisional Jepun. Kimono dan yukata. Sememangnya ada di antara kami yang mahu menggayakan kimono dan sudah menyediakan bajet untuk sewa sepasang kimono yang cantik.

Saya? Antara mahu dengan tidak. Akhirnya saya hanya menemankan mereka memilih kimono yang disukai. Saya dibenarkan masuk ke ruang persalinan. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar bagi melindungi privasi pelanggan. Lagi pula seorang pakar kimono yang akan membantu rakan saya mengenakan setiap lapisan pakaian tradisional ini dengan betul.

Saya tak sangka agak rumit juga hendak memakai kimono. Lapisan baju dalam, stokin, kain dalam, tali pinggang dan jubah kimono. Sedikit demi sedikit saya dapat menghargai sepasang pakaian tradisional yang melambangkan kesopanan dan falsafah bangsa.

Pelancong dari Eropah juga tidak melepaskan peluang menggayakan kimono dan berjalan santai di Arashiyama. Semasa tiba di hutan buluh, memang kami bergambar sakan dengan tiga orang rakan kami yang berkimono. Gadis Melayu bertudung dengan klip bunga sebagai hiasan.

Cukup 2 jam, kami berjalan semula ke deretan kedai dan mula mencari snek halal yang ada dijual tidak jauh dari kedai kimono. Satu pengalaman yang menarik melihat pelancong dan generasi muda warga Jepun memperaga pakaian tradisional orang Jepun.

Mungkin satu hari nanti saya akan cuba menggayakan pakaian tradisional orang Korea, iaitu Hanbok. Bagaimana caranya? Perlulah merancang ke Korea Selatan.

Saya juga terfikir, bagus juga jika ada perkhidmatan menyewa pakaian tradisional Melayu, Cina dan India di negara kita. Contohnya, di Melaka. Sudah adakah kedai yang menawarkan perkhidmatan ini?

Ketika saya kecil, ramai pengantin Melayu mengambil peluang menggayakan pakaian tradisional daripada pelbagai bangsa dan budaya. Buat bergambar dan foto kenangan. Berpasang-pasang pakaian yang disewa. Masa sekarang sudah jarang pasangan pengantin merakam gambar dengan pakaian yang unik.

Writing prompt Ogos 2019: Pakaian tradisional
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

2 Comments

    • Norsa'adah Ahmad

      Wah.. Kak Emila jalan-jalan dengan yukata di mana? Kawan-kawan ajak pakai kimono, tapi macam leceh pula kena jalan langkah kecil-kecil. Lagipun ambil masa dekat 30 minit juga mereka pakaikan kimono tu. Hehe…

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial