Travel

Bangkok, ibu kota penuh warna warni

Bulan depan saya akan ke Bangkok sekali lagi. Tapi sebelum itu, saya mahu kongsikan catatan dua tahun lalu. Bangkok antara tempat yang saya suka. Tahun 2016, saya pergi bersama rakan dan sempat ke Bangkok dan beberapa daerah luar seperti Kanchanaburi dan Lopburi.

Suhu turun mendadak di Bangkok. Kurang 20c pada 25 Jan 2016. Beberapa hari sebelum penerbangan saya ke bandar ini. Namun, suhu kembali seperti biasa. Hangatnya lebih kurang sama dengan cuaca di Kuala Lumpur.

Kurang dua minggu saya beli tiket ke Bangkok. Harga tiket masih murah, kurang RM150. Rancangan asal saya akan pulang menaiki bas atau tren hingga ke Pulau Pinang. Namun, saya menghabiskan lima hari di Bangkok dan pulang  dengan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Saya tiba Jumaat lepas seorang diri kerana rakan yang lain turun di Pattaya. Sementara menunggu mereka sampai, sempat saya bertemu seorang kenalan yang tinggal di Bangkok.

Saya melalui jejantas ke Stesen Keretapi Don Mueang. Kurang bernasib baik kerana keretapi seterusnya dijadualkan bergerak jam 7.50pm. Sedangkan saya berjanji dengan beliau untuk bertemu jam 8.00pm. Sempat menghantar mesej di Airport sebelum saya menaiki bas A1 ke Mochit. Kos 30baht. Dalam masa 20 minit tiba ke Mochit.

Waktu ini adalah waktu puncak warga kota pulang dari kerja. Jalan agak sesak, tetapi bas masih bergerak. Dalam 20 minit bas tiba di Mochit. Kemudian, saya menaiki MRT di Chatuchak Park ke Silom. Stesen ini terletak berhampiran stesen BTS Mochit.

Saya masuk ke Silom Complex. Tiba-tiba pengunjung berlari keluar. Berdebar-debar jika ada musibah yang berlaku. Namun, keadaan kembali reda. Selepas berjaya mendapat akses wifi percuma, saya terus menghubungi rakan. Dan beliau baru sahaja tiba.

Seterusnya kami berbual panjang sambil menikmati roti nan di sebuah restoran India Muslim dalam Silom Complex. Sampai pembantu kedai sudah mengelap meja dan mengemas. Seronok bercerita tentang penulisan. Tapi terpaksa berpisah. Walaupun hanya mesej ringkas sebagai awal perkenalan, tak menghalang kami bertemu buat pertama kali.

Di MBK Center, Bangkok. Berhampiran stesen National Stadium

Bangkok syurga membeli belah. Ada lebih 20 kompleks dalam bandar. Semuanya berhampiran stesen MRT dan BRT. Dari Hua Lamphong, kami menuju ke MBK Center di stesen National Stadium.

Laluan masuk ke Tokyu Deparment Store dibina sebagai salah satu exit. Ada 7 tingkat kedai dengan pelbagai kategori barang termasuk makanan, gajet, pakaian, tshirt, cenderamata, thai silk dan lain-lain. Harga berpatutan dan boleh tawar menawar. Sediakan duit sahaja.

Dari MBK kami berjalan kaki ke Siam Center dan Siam Paragon. Kompleks ini terletak berhampiran Siam Station. Siam Paragon pusat beli belah mewah. Kereta mewah seperti Rolls Royce, Masserati, Mclaren dan BMW ada dipamer dalam ruang khas bertutup. Kami dapat tengok dari luar sahaja.

Di sini juga kami solat. Ada surau di tingkat B1 yang selesa lengkap dengan tempat wuduk. Siapa yang hendak solat perlu daftar di bahagian luar surau. Mungkin untuk tujuan keselamatan.

Selesai di Paragon, kami menaiki BTS ke stesen Asok untuk ke Terminal21. Sekadar berjalan-jalan dan makan malam di Pier21 Food Court. Hanya satu gerai menjual makanan halal iaitu Bismillah. Kemudian, kami beransur menaiki BTS ke Stesen Sala Daeng untuk pergi ke Pat Pong Night Market.

Patpong Night Market terletak antara lorong. Yang saya nampak masa tiba ke Silom tu pasar malam Silom Road. Tiada penjaja pada Isnin malam di Silom Road. Kami masuk ke lorong Patpong. Harga tak menarik. Oleh sebab kawasan pelancong, walaupun kami bargain harga masih lagi tinggi. Menyesal pula tak beli tshirt di MBK Center.Lepas makan di Pier21, kami naik BTS ke Sala Daeng. Nak melihat-lihat Patpong Night Market.
Jumaat lalu, memang meriah kawasan ni. Saya nampak dari seberang jalan semasa menunggu rakan di Silom Complex.

Bukan tu sahaja, ada juga yang promote happy hour untuk show girl.

Patpong Night Market

Kami keluar tanpa beli apa-apa dan pulang ke hostel selepas berjalan lebih 10km sepanjang hari.

Pengangkutan dan buku

Stesen Keretapi Hua Lamphong

Bangkok bandar membangun macam Singapore, Hong Kong dan Kuala Lumpur. Sibuknya boleh tahan. Tapi tak nampak pula trafik sesak sehingga kenderaan tidak bergerak. Sistem pengangkutan termasuk MRT, BTS dan keretapi dihubungkan dengan beberapa stesen interchange dalam bandar.

Dari MRT Silom ke BTS Sala Daeng dihubungkan dengan laluan pejalan kaki berbumbung di atas jalan utama. Ciri-ciri keselamatan diutamakan. Pejalan kaki boleh jalan di kaki lima atau naik tangga untuk melalui laluan pejalan kaki. Laluan yang sama dibina di beberapa stesen lagi.

Kami beli tiket di kaunter. Kami beratur tak lama walaupun lebih 50 orang sedang menunggu giliran. Cekap dan pantas. Ambil map percuma di mana-mana stesen untuk memudahkan perjalanan.

Tuktuk dan teksi banyak dalam kawasan bandar. Saya tak menaiki tuktuk. Tapi naik teksi ke Don Mueang Airport. Teksi meter bermula dengan 35baht (RM4.50). 13km dari Stesen Lat Phroa, 130baht.

Boleh juga naik motosikal kalau seorang. Pemandu motosikal memakai vest berwarna oren. Sesuai untuk jarak dekat. Tapi saya sendiri memang tak akan naik motosikal di bandar asing.

Pink is the new black in Bangkok.

Buku 

Di MBK Center ada sebuah kedai buku. Lebih 90 peratus buku bahasa Thailand. Ada buku terjemahan daripada bahasa Jepun, Korea dan Inggeris. Banyak juga buku ilustrasi.

Ada satu rak buku Danmroon Pinkoon. Penulis yang menerbitkan buku sendiri dan bestseller. Lebih 20 buku dengan ilustrasi dan carta, warna penuh. Saya beli satu.

Di Kinokuniya, Siam Paragon, buku Thailand di letakkan pada bahagian depan pintu masuk. Lebih 40 peratus bahagian kedai. Termasuk buku terjemahan. Ada satu rak buku Haruki Murakami gang sudah diterjemah ke bahasa Thai. Ada bahagian buku Inggeris dan Cina.

Satu rak Thai Literature di bahagian belakang. Saya beli sebuah buku yang ditulis dan diterbit sendiri penulisnya. Buku beliau sudah ditandatangan.

Selain Kinokuniya dan Niiin Books, ada beberapa buah kedai buku yang saya masuk. Antaranya Asia Books dan kedai buku kecil di Siam Center. Kedai buku kecil ini tidak menjual buku dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain.

Kita dapat lihat penguasaan bahasa tempatan bila masuk ke kedai buku. Berharap sampai masa nanti rak buku bahasa Melayu mendominasi Kinokuniya Malaysia.

Sepuluh perkara menarik di Bangkok

1. Bandar besar dengan bangunan tinggi dan lebuhraya bertingkat. Sistem pengangkutan awam yang bagus. Papan tanda menunjukkan arah dan lokasi tempat-tempat menarik.

2. Buah-buahan tropika seperti mangga, jambu, nenas, tembikai dan betik banyak sekali dijual di tepi jalan dan pasar.

3. Dua jam tidak cukup untuk membeli belah atau sekadar melihat-lihat barang yang dijual di Chatuchak Market.

4. Banyak kedai Arab di kawasan Nana dan Asok. Tidak pasti adakah dimiliki orang Arab atau orang Thai. Yang pasti ia menunjukkan ramai orang Arab tinggal di Bangkok.

5. Transgender ada di mana-mana. Kita tahu itu memang bukan lagi asing di Thailand.

6. Ada kedai makanan halal di sekitar Bangkok. Di MBK Center pun ada.

7. Bangkok sesuai untuk kaki shopping.

8. Cuba makan pad thai dan som tam. Rasanya tidak terlalu asing bagi kita. Mereka banyak guna limau nipis dan sos ikan sebagai perasa.

9. Orang Thai tidak fasih bahasa Inggeris tapi ringan tulang membantu kita. Tidak ramai pekerja asing di sini. Pengawal keselamatan juga berbangsa Thai.

10. Banyak street food yang menarik dan nampak sedap. Tapi hati-hati sebelum membeli.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial