Aktiviti,  Blog

Belajar Buat Jurnal Kembara oleh Emila Yusof

Sesekali berjalan ke tempat orang atau melancong ke luar negara, pasti kita mahu simpan barang atau cenderahati sebagai kenangan. Apabila sampai ke rumah, kita kemas beg dan cuci pakaian. Kemudian, buka dompet pasti terselit kepingan resit, tiket kapal terbang di celah helaian passport, tiket muzium atau tiket masuk ke tempat tarikan yang kita lawati.

Sama ada kertas-kertas ini dibuang begitu sahaja atau diabadikan dalam satu jurnal kembara. Idea yang bagus bukan? Saya kagum dengan jurnal kembara yang Kak Emila Yusof hasilkan. Tahun lepas saya dapatkan dua jurnal kembara beliau yang siap dicetak. Jurnal kembara Jepun dan Itali-Swiss.

Kami berpeluang belajar dengan Kak Emila untuk menghasilkan jurnal kembara. Tidak sangka dengan aktiviti menulis blog pada bulan Julai ini, kami berjaya berkumpul sama-sama untuk belajar sesuatu yang baharu.

Pertemuan diadakan pada Sabtu, 27 Julai 2019 di pejabat Big Step Communications di Sri Gombak. Kak Mimi Salleh berbesar hati untuk menyediakan ruang pejabat beliau.

Sebelum hadir ke kelas, saya beli cat akrilik, pita washi (pita bercorak), gam, gunting dan stiker pelbagai corak. Saya bawa keratan dan resit yang masih lagi disimpan sejak pulang dari Taiwan. Saya cetak gambar di kiosk Picapica di AEON Tebrau City. Mahal juga. 10 keping gambar dicetak pada 5 keping kertas foto berharga RM20.

Kami bertemu jam 10 pagi. Saya bertolak dari Johor Bahru selepas subuh. Alhamdulilah. Sampai beberapa minit selepas pukul 10. Kak Emila dan Puan Moon sudah sampai lebih awal. Nampaknya mereka teruja berbual tentang jurnal yang akan kami hasilkan.

Aktiviti kami santai-santai sahaja sambil makan kudapan yang dibawa rakan-rakan. Ada brownies, jambu batu cicah asam, roti naik dan jus oren Twister.

Mula-mula kami lihat beberapa contoh jurnal yang siap dibuat oleh Kak Emila Yusof. Beliau menggunakan buku saiz poket, 9cm x 14cm. Boleh beli di kedai alat tulis atau buat sendiri menggunakan kertas lukisan. Gunakan stapler atau jahit seperti yang dibuat oleh Yan.

Kak Emila memberi panduan menyusun bahan jurnal kembara. Mulakan dengan mewarna latar pada setiap halaman jurnal. Warnakan sebelum pergi melancong. Selain mewarna boleh tampal keratan kertas bercorak atau origami untuk menjadikan latar halaman lebih menarik. Jadi, anda dapat siapkan jurnal on-the-go. Tak perlu tunggu balik baru nak buat. Cara ini lebih berkesan kerana anda dapat merakam terus aktiviti yang anda jalani atau perasaan anda ketika itu.

Gunakan kreativiti untuk menghasilkan jurnal kembara anda. Ia sesuatu yang unik berdasarkan pengalaman anda semasa kembara dan pilihan bahan yang digunakan.

Boleh juga baca tip Kak Emila di Facebook.

Aktiviti ringkas ini menemukan saya dengan rakan lama dan baru. Sahabat saya, Wida Ahmad yang bertugas di Melaka ialah kawan sekolah. Kami jarang bertemu. Ini peluang yang baik sekali. Rasyada, penulis buku Projek Lavender 2 turut menyertai kelas ini. Datang dari jauh.

En Sharul hadir bersama anaknya Hanis. Hanis berusia 12 tahun dan sedang menduduki peperiksaan UPSR. Selamat maju jaya Hanis. En Sharul juga minat fotografi. Nanti kita belajar fotografi pula daripada beliau.

En Sharul merakam video ringkas sepanjang aktiviti kami menghasilkan jurnal. Boleh lihat di sini.

Selain itu, Puan Moon ada menghasilkan video pendek juga menggunakan telefon pintarnya.

Terasa cepat sahaja masa berlalu. Sudah pukul 230 petang. Masing-masing perlu pulang. Semestinya semua seronok dan gembira dengan hasilnya. Perlu sambung siapkan halaman di rumah pula.

Halaman jurnal yang berjaya diwarnakan.
Penuh meja.
Close up. Hehe…

Sampai jumpa lagi untuk aktiviti bulan depan. Insya Allah kita buat aktiviti luar pula.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial