Inspirasi usahawan

Berniaga hingga ke peringkat antarabangsa walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris

Tok Ya - Gambar

“I speak broken English”

Sementara menunggu rakan saya tamat mesyuarat, saya berlegar-legar di kawasan hadapan lobi Jeti Tg Kukup, saya ditegur lelaki ini.

“Datang dengan siapa?” Beliau menyapa.

“Dengan Fz, saya tunggu dia.”

“Kita ada dua feri. Sekali perjalanan ke Tg Balai ambil masa 45 minit … bla … bla …” Beliau galak bercerita.

Kemudian, membawa saya ke bahagian pelepasan penumpang dan menunjukkan feri Tuah 1. Tempat duduk lebih luas berbanding tempat duduk penerbangan tambang murah. Dek tiga tingkat dilengkapi penghawa dingin supaya penumpang berasa selesa.

Terdapat bahagian VIP di dek paling atas berhampiran ‘kokpit’ pemanduan feri. Apabila saya berdiri di bahagian luar feri, saya dapat melihat Taman Negara Pulau Kukup di seberang sana.

Lelaki ini atau lebih dikenali dengan panggilan mesranya Tok Ya adalah pemilik Tuah 1 dan pengusaha Jeti Kukup.

“Saya satu-satunya pemilik jeti Melayu di Malaysia.” Katanya dengan nada yang sederhana. Saya faham. Gembira dan kecewa bersulam sama. Gembira kerana beliau berada pada tahap ini. Kecewa kerana tidak ramai anak sebangsa yang bersamanya.

“Nak berjaya, jiwa kena kental, mesti jujur, jangan mudah putus asa selain daripada keimanan kepada Tuhan,” titipan beliau semasa kami di atas feri.

Menarik. Saya ingin tahu lebih banyak tentang beliau.

Gambar yang digantung pada dinding bilik mesyuarat menarik perhatian saya. Tok Ya berjabat tangan dengan seorang lelaki Cina. Beliau ialah Mr Robert Kuok, antara lelaki terkaya di Malaysia.

Menurut Tok Ya, apabila rakan bisnes khususnya yang berbangsa Cina melihat gambar ini secara tidak langsung ia meningkatkan kepercayaan mereka. Membina kepercayaan amat penting untuk reputasi bisnes.

Mengimbau kembali detik mula beliau memasuki alam pekerjaan. Pegawai yang menemuduga bertanya tentang kebolehan berbahasa Inggeris.

“I speak broken English.”

Beliau diterima bekerja. Menyedari tentang kelemahan dalam bahasa, proses belajar diteruskan. Bergaul dengan bangsa asing pada masa tu walaupun sukar, selagi mesej dapat disampaikan, maka tugasan dapat diselesaikan.

Sehingga suatu hari, seorang pegawai berkulit putih berkata kepada beliau. Dan kata-kata ‘keramat’ atau sebenarnya sindiran itu memberi kekuatan yang luar biasa kepada dirinya.

“Orang Melayu bukan bodoh, tetapi malas.”

Suatu pernyataan yang memeritkan. Selepas lebih 30 tahun, ternyata usaha yang berterusan dengan semangat luar biasa membuktikan beliau bukanlah seperti yang dikatakan pegawai itu.

Apa bulan yang baik untuk bersedekah? 

Sesekali dapat soalan cepu emas, terpinga-pinga saya.

“Bulan Ramadhan?” Saya menjawab dengan teragak-agak.

“Bulan maulud. Banyak masjid atau sekolah buat majlis Maulidur rasul. Jadi saya akan beri beras, biar mereka masak untuk agihkan kepada orang yang hadir.” Tok Ya menjelaskan.

Beliau menyambung lagi,

“Ada juga saya beri kambing. Kenapa kita sedekah beras dengan kambing? Beras tu muai. Macam rezeki, biar ia muai macam beras yang dimasak menjadi nasi.

Kenapa kambing? Nabi kita kan pernah mengembala kambing. Kambing akan membiak. Biar hasil niaga kita pun sama, berkembang biak macam ternakan kambing.”

Tidak pernah akan berkurang harta kita apabila dikongsi dengan orang lain melalui sedekah. Janji Allah itu pasti. Daripada satu biji benih, menerbitkan tujuh tangkai dan setiap tangkai ada 100 biji.

Kejujuran paling penting

Jeti Tg Kukup menjadi penghubung dua negara melalui Tg Kukup, Pontian dan Tg Balai, Pulau Karimun.

Menurut En Zaini, salah seorang staf di sini jeti ini sibuk setiap hari menguruskan pelepasan dan kemasukan penumpang. Pada musim perayaan (Hari Raya Puasa), ramai warga Indonesia akan pulang ke Pulau Karimun.

Kaunter tiket tambahan akan dibuka dan perjalanan feri tidak mengikut jadual. Feri akan berlepas apabila semua tempat duduk telah dipenuhi.

Selepas Tok Ya menunjukkan saya bahagian luar dan dalam feri Tuah 1, saya mengikut En Zaini ke bahagian hujung jeti. Feri yang sampai akan berlabuh di bahagian ini.

Pada masa itu, saya nampak air sudah mulai pasang. Tidak jauh dari jeti, sebuah feri bergerak dengan perlahan dan bersedia untuk berlabuh. Ocean Indoma, sebuah feri yang diperoleh daripada syarikat milik Indonesia.

Ratusan ribu penumpang telah melalui jeti yang dibangunkan sejak tahun 2005. Dalam tempoh ini jua Tok Ya menghadapi banyak dugaan dan cabaran. Pada suatu ketika jeti ini terpaksa dihentikan operasinya selama dua tahun.

“Kejujuran paling penting.” Tok Ya mengulangi pesanan ini berkali-kali. Bisnes tidak akan bertahan lama jika tidak jujur dalam segala urusan. Pelanggan, kawan mahupun musuh boleh datang dan pergi.

Pernah sekali, beliau terpaksa berunding dengan pihak berkuasa Indonesia untuk melepaskan ferinya pulang ke Tg Kukup. Dengan keberanian dan kejujuran, akhirnya dia berjaya dalam rundingan.

Bangunan ini adalah bukti kegigihan beliau. Tempat yang bersih dan selesa memudahkan penumpang berurusan. Pihak Imigresen, polis dan wakil jabatan kesihatan juga dapat bertugas dan memantau aktiviti di sini dengan lancar.

Prinsip lima dalam bisnes

Tahun ini genap umurnya 63 tahun.

“Dah sama umur Nabi,” beliau berseloroh. Waima, mengingatkan diri tentang saat-saat kehidupan yang dipinjamkan Ilahi. Bermula dengan makan gaji hinggalah membangunkan perniagaan sendiri, beliau belum ingin berhenti.

Bisnes jeti dibantu 45 orang pekerja dan ada diantaranya telah bersama Tok Ya sejak awal penubuhan syarikatnya. Selain bisnes ini, Tok Ya mempunyai bisnes dalam bidang minyak dan gas di Sabah.

“Bila berbisnes, saya gunakan prinsip lima. Orang Cina begitu. Ada lima cawangan, ada lima lokasi, ada lima bisnes. Bila satu bisnes tak menjadi, atau lumpuh, ada empat lagi bisnes yang menampung kerugian bisnes yang satu itu. Kemudian, bangunkan lagi bisnes.” Kongsinya lagi.

“Buat lah bisnes,” beliau memberi galakan.

Saya tersenyum.

Laman web: Terminal Feri Antarabangsa Kukup

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *