Buku

Buku pertama yang berada di pasaran ialah Mudahnya Mengurus Kekayaan dalam Islam. Buku yang diterbitkan pada bulan September 2014 mengandungi panduan pengurusan harta dan kekayaan menurut Syariah. Saya menghasilkan buku ini berdasarkan pengalaman dan ilmu yang diperolehi sepanjang bertugas sebagai perancang kewangan selama lima tahun di Shah Alam.

Setiap kali saya bertemu pelanggan, mereka berkongsi cerita dan isu yang mereka hadapi dalam pengurusan kewangan. Kesedaran tentang riba’, zakat, wasiat dan Faraid semakin meningkat. Namun, mereka tidak tahu di mana hendak bermula. Apakah ciri-ciri yang dibenarkan dalam Islam? Apakah perbezaan insurans dan Takaful? Perlukah menulis wasiat walaupun sudah ada Faraid?

Persoalan sebegini memberi inspirasi untuk saya menulis buku Mudahnya Mengurus Kekayaan dalam Islam. Selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia hub kewangan Islam antarabangsa, harapan saya buku ini dapat membantu anda untuk mengambil langkah wajar dalam sebarang keputusan berkaitan perancangan kewangan peribadi dan pengurusan harta anda.

Saya tidak berhenti dengan penerbitan buku pertama. Editor saya di True Wealth Sdn Bhd memberi peluang untuk menulis buku kedua dan ketiga dalam subjek GST yang sedang hangat diperkatakan. Tidak banyak sumber rujukan dalam Bahasa Melayu yang diterbitkan tahun lalu. Rujukan dalam Bahasa Inggeris pula lebih sesuai digunakan oleh golongan profesional seperti akauntan, peguam, CEO dan penggubal dasar.

Banyak persoalan timbul dalam kalangan peniaga dan orang awam. Peniaga ingin mengetahui keperluan GST dalam perniagaan mereka dan apakah konsep dan mekanisme cukai input dan cukai output yang sering diperkatakan. Orang awam sebagai pengguna ingin mengetahui apakah kesan GST kepada perbelanjaan mereka sehari-hari. Apakah langkah yang patut mereka ambil untuk menghadapi perubahan ini.

Saya menulis dua buah buku dalam siri GST iaitu GST untuk Bisnes dan Peniaga dan GST untuk Pengguna. Setiap buku mengandungi 40 soalan penting untuk memahami GST dan pelaksanaannya di Malaysia. Menjelang 1 April 2014, pengguna akan membayar cukai sebanyak 6 peratus untuk pembekalan bercukai. Apakah itu pembekalan bercukai? Ini adalah antara soalan yang saya jelaskan dalam buku GST.

Buku GST untuk Bisnes dan Peniaga mempunyai 9 bahagian iaitu pengenalan GST, pendaftaran GST, latihan dan insentif berkaitan GST, konsep dan kaedah pelaksanaan, formula GST, mekanisme cukai input dan cukai output, penyediaan penyata cukai, perundangan GST dan implikasi GST untuk sektor terpilih seperti pengilangan, peruncitan, perkhidmatan dan hartanah.

Buku GST untuk Pengguna mempunyai 7 bahagian iaitu pengenalan GST, konsep dan pelaksanaan GST, implikasi GST kepada harga barang dan perkhidmatan, hak pengguna, pelancong sebagai pengguna di Malaysia, pengguna dan amalan perbelanjaan dan isu semasa berkaitan GST. Bahagian 3 iaitu implikasi GST menyenaraikan 9 soalan berkaitan implikasi dalam banyak perkara seperti pengguna dan kepenggunaan, harga rumah dan hartanah, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan pendidikan.

Kedua-dua buku ini ditulis melalui perspektif berbeza. Saya memberi panduan dan penerangan tentang GST untuk golongan peniaga dalam buku GST untuk Bisnes dan Peniaga. Pemahaman tentang GST dapat membantu golongan peniaga untuk melaksanakan GST pada peringkat perniagaan dan mengelakkan mereka daripada melanggar perundangan GST yang telah ditetapkan. Peniaga berperanan sebagai ejen kutipan cukai dalam sistem GST. Oleh itu, 40 soalan yang saya pilih ini adalah soalan asas berkaitan GST yang dapat menjelaskan pelaksanaan GST di Malaysia.

Saya melihat daripada perspektif orang awam dan pengguna dalam menghasilkan buku kedua iaitu GST untuk Pengguna. Pengguna memberi sumbangan yang besar dalam GST kerana GST ialah cukai kepenggunaan. Pengguna akhir akan menanggung cukai ke atas jenis pembekalan bercukai. Pengguna berhak untuk mendapatkan pembekalan barang dan perkhidmatan yang berkualiti. Apabila pengguna memahami apa itu GST, pengguna dapat menguruskan perbelanjaan dengan bijak. Pengguna tidak mudah ditipu oleh peniaga.

Saya berpeluang mengulas buku GST untuk Bisnes dan Peniaga di Slot Resensi TV1 pada 14 Februari 2015. Anda boleh melayari sisipannya di sini.

Buku GST untuk Bisnes dan Peniaga sudah berada di pasaran pada bulan Februari 2015 dan buku GST untuk Pengguna boleh mula diedarkan pada bulan Mac 2015.

True Wealth Sdn Bhd dengan moto ‘Making you Better’ menerbitkan semua buku ini dan anda boleh dapatkan di rangkaian MPH Bookstores atau pesan di MPH Online. Bagi anda yang bekerja atau singgah ke KLCC, boleh dapatkan di Kinokuniya Bookstores.

Layari laman web Dua Penulis untuk memesan buku-buku tulisan saya daripada penerbit.

Selain daripada judul ini, saya juga menulis travelog Melbourne & Sydney dalam Sepuluh Hari, Campervan Trip dari Queenstown ke Christchurch dan Menulis Buku Pertama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *