Blog,  Buku

Buku

Saya masih ingat perasaan saya ketika berjaya menamatkan buku berjudul Sejarah Umat Islam. Buku itu tebal, lebih 400 halaman. Tulisan Hamka. Ketika itu saya tidak tahu siapa Hamka. Yang saya tahu, saya berjaya membaca setiap perkataan dalam buku itu sehingga halaman akhir.

Saya senyum puas. Saya sudah tidak ingat berapa hari dihabiskan untuk membaca buku itu. Saya juga tak ingat berapa umur saya ketika itu, mungkin 12 atau 13. Walaupun tebal, tapi rasa seronok membaca buku sejarah yang ditulis dengan menarik sekali. Buku itu masih berada dalam simpanan kami.

Itu buku pertama Hamka yang saya baca. Tahun berlalu dan saya melupakan Hamka. Entah kenapa. Hanya selepas dua dekad baru saya membaca novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wick selepas ia menjadi filem. Saya baca versi Indonesia.

Buku yang bagus merentasi zaman sifatnya. Ia ditulis dengan bahasa yang mudah dan masih boleh difahami. Bahasa Melayu, bahasa yang bernilai tinggi. Ini dibuktikan dengan Sejarah Melayu yang diakui sebagai manuskrip warisan dunia.

Daripada seorang pembaca, saya menjadi seorang penulis. Menulis buku yang dapat memberi manfaat kepada khalayak. Saya tidak berbakat menulis, namun kemahuan itu ada apabila membaca buku orang lain. Alangkah baiknya jika dapat menghasilkan buku sendiri.

Menjadi penulis buku memerlukan rasa tanggungjawab dan sifat empati dalam masyarakat. Seorang penulis buku mestilah seorang pembaca. Saya tetap akan menjadi pembaca.

Sekarang, semua orang boleh menulis. Menulis di media sosial. Status panjang di Facebook, status pendek di Twitter, kapsyen gambar dengan cerita di Instagram. Media sosial boleh menjadi medan yang baik untuk melatih penulisan. Malahan social media influencer (si orang berpengaruh) yang mempunyai puluhan ribu hingga ratusan ribu pengikut boleh menjadi penulis buku.

Buku yang dihasilkan daripada status media sosial mungkin tidak mempunyai jangka hayat yang lama apabila menggunakan bahasa pasar yang banyak, struktur ayat tunggang langgang dan tidak mementingkan disiplin penerbitan buku. Tapi tetap mendapat jualan yang memberangsangkan kerana pengikut tidak kisah asalkan dapat membeli buku orang yang diminati.

Mungkin kelihatan budaya membaca semakin berkembang. Tapi, budaya membaca bahan-bahan hiburan yang berlebihan juga tidak bagus. Kita memerlukan bahan yang membuatkan pembaca berfikir. Buku yang menggunakan laras bahasa yang baik. Mula menjadikan karya penulis dahulu sebagai rujukan.

Daripada seorang pembaca, kemudian menjadi penulis dan kini menerbitkan buku sendiri. Ia mencorakkan cara kami dalam menghasilkan buku. Belum tahap sempurna kerana proses belajar sentiasa berterusan. Namun, matlamat kami adalah memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa standard. Dengan cara ini, buku dapat bertahan lebih lama.

Buat rakan yang mahu menulis buku, tulislah. Tulis buku dengan baik, gunakan buku sebagai medium menyebarkan ilmu. Jika anda mempunyai ramai pengikut, usah memandang rendah keupayaan membaca pengikut anda. Pengikut anda boleh jadi seorang pembaca yang cerewet. Berikan pengalaman membaca yang memuaskan.

Pengalaman membaca itu yang akan diingati oleh pembaca. Seperti mana saya mengingati perasaan saya selepas tamat membaca Sejarah Umat Islam lama dahulu.

Apakah pengalaman membaca yang anda masih ingat sehingga sekarang?

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancong, Matahari

Please follow and like us:

2 Comments

  • Sharulnizam

    “Buku” yang saya baca pada peringkat awal hanyalah majalah Variasari, majalah kecil ala-ala Mastika. Di dalam buku itu ada ruangan Bercakap Dengan Jin oleh Tamar Jalis yang saya tunggu, dan juga kisah-kisah misteri. Saya dan keluarga waktu itu bukan “kaki buku”, kami hanya menumpang baca di rumah makcik sebelah rumah. Seram kalau teringatkan suasana tahun 80-an dengan kisah meremangkan bulu roma oleh Tamar Jalis.

    Sampai sekarang, buku seram tak ada dalam rak buku saya!

  • Norsa'adah Ahmad

    Saya pernah baca baca Bercakap Dengan Jin masa kecil. Tapi bila dah besar sikit memang tak baca buku seram apatah lagi menonton cerita seram. Hehe

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial