Blog,  Penulisan

Cara Aktifkan Blog atau Mulakan Blog Baharu

Sebelum media sosial seperti Facebook dan Twitter menjadi popular, blog lebih dahulu digunakan sebagai platform berkongsi cerita. Malahan ramai blogger menjadi ikutan kerana kandungan blog yang bagus dan menarik.

Sehingga hari ini blog masih digunakan secara meluas walaupun media sosial menjadi tempat orang ‘berkumpul’. Laman web tular dan hiburan masih lagi menggunakan format blog yang mudah dikongsi dalam media sosial dan mudah dicari dalam enjin carian Google.

Suatu ketika dulu (macam lama sangat ya), saya suka membaca blog masakan seperti Azlita Masam Manis, blog travel, blog sahabat yang menulis tentang hari-hari mereka seperti diari. Blog Ben Ashaari misalnya, popular di kalangan blogger. Vivy Yusof, sebelum terkenal dengan Fashion Valet ialah seorang blogger fesyen.

Saya pernah mendaftar beberapa blog menggunakan platform Blogger dan WordPress. Setiap blog ada tujuan yang berbeza seperti untuk catatan umum, travel, kewangan, blog untuk buku dan luahan rasa. Sampaikan saya tak dapat kemas kini semua dan ada blog yang saya dah lupa langsung kewujudannya.

Apabila saya mulakan cabaran 31 hari menulis blog, saya tak letak sebarang jangkaan. Saya mahu melatih semula menulis dengan konsisten di blog ini. Saya tak mahu terikat dengan sebarang niche. Saya hanya mahu bebas menulis. Saya tahu, satu blog yang berkesan mesti ada niche. Tapi saya tak nak fikirkan tu sangat. Jika pembaca lihat post saya sebelum ini, banyak entri berkenaan harta pusaka, kewangan dan pelaburan. Entri yang saya tulis dua tiga tahun lepas masih dibaca dan dicari.

Beberapa orang rakan bertanya saya, jika tiada blog boleh ke nak sertai. Sudah tentu boleh. Gunakan sahaja Facebook. Blog hanya salah satu medium penulisan. Ada banyak lagi tempat untuk kita menulis dan berlatih menulis.

Ada juga yang komen, katanya blog dah lama bersawang, berhabuk dan sebagainya. Maksudnya tu dah lama tak dikemas kini. Ada yang lagi ‘kritikal’, dah lupa terus kunci masuk letak mana. Jangan risau, anda tak keseorangan. Kan saya beritahu tadi, blog saya pun ada yang saya dah lupa pernah wujud. Hal ini biasa terjadi apabila kita gunakan platform percuma.

Selepas buku pertama terbit, saya beli domain norsaadah.com di Exabytes. Ketika itu ada promosi. Tak silap saya harganya kurang RM100 untuk domain dan hosting. Berkobar-kobar dan gembira selepas berjaya daftar. Kemudian, bermula fasa menyediakan templat blog supaya mesra pembaca.

Saya pun dah tak ingat berapa kali saya tukar layout blog ini. Kemungkinan besar setiap tahun selepas saya memperbaharui yuran untuk domain dan hosting. Oleh sebab blog ini berbayar, jadi saya mesti rajin mengemas kini dengan konten baharu. (Itu pun selepas membayar yuran lebih RM200 bulan lepas).

Saya nak kongsi cara untuk anda memulakan blog jika tak pernah buat atau kunci sudah hilang. Ada dua cara iaitu menggunakan platform blog percuma atau membeli domain dan hosting.

1. Menggunakan platform blog percuma

Anda tak perlu membeli domain seperti saya. Boleh sahaja gunakan platform blogging percuma. Kemudian pilih layout yang disukai dan mula menulis.

Saya kongsi beberapa platform percuma yang anda boleh gunakan:

1. WordPress

2. Blogspot

3. Wix

4. Tumblr

5. Medium

Saya pernah membuka akaun dengan WordPress. Kemudian, menggunakan Blogger untuk blog peribadi dan travel. Saya tak pernah menggunakan Wix dan Tumblr. Tapi ada akaun Medium.

WORDPRESS

A. Pergi ke laman web mereka dan klik Sign Up.

B. Anda akan ditanya nama blog yang mahu digunakan.
Pilih nama yang mudah diingati. Paling senang guna nama sendiri. Jika nama anda unik, kemungkinan besar tiada orang menggunakannya lagi. Contoh: norsaadahahmad.wordpress.com 

C. Pilih layout yang anda mahukan.
Gunakan templat yang disediakan dan pilih yang anda suka. Ada yang ringkas dan bersih, tiada column, dua column atau tiga column. Ada juga yang format seperti majalah.

D. Taip entri pertama dan klik Publish.

BLOGGER

A. Pergi ke Blogger.com dan Sign In dengan akaun Gmail anda. Blogger dimiliki oleh Google, jadi anda boleh Sign In dengan akaun Gmail yang anda.

B. Pilih nama untuk blog anda.

C. Pilih templat yang anda suka.

D. Tulis entri pertama anda.

MEDIUM

A. Sign Up untuk akaun Medium di Medium.com.

B. Mula tulis entri pertama anda.

Medium ialah platform yang ringkas dan memudahkan penulis berkongsi konten. Selain menulis, kita boleh membaca pelbagai konten yang dikongsi penulis lain di Medium. Saya dapati banyak konten yang bagus dan berkualiti. Cuma, anda perlu menjadi ahli dengan yuran sebanyak USD5/sebulan untuk membaca konten di Medium.

WordPress dan Blogger ialah platform percuma. Anda tidak perlu membayar sebarang yuran. Namun begitu, jika anda mahukan layout yang lebih advance boleh dapatkan template design yang dijual oleh ramai pereka profesional.

2. Menggunakan domain dan hosting berbayar.

Blog norsaadah.com menggunakan domain dan hosting yang saya beli daripada Exabytes. Ada beberapa langkah yang anda perlu lakukan untuk mengaktifkan domain dan hosting. Kemudian, mula menulis blog.

A. Beli domain dan hosting.
Anda akan menerima e-mel daripada syarikat berkenaan dan langkah demi langkah untuk mengaktifkan akaun. Anda perlu login menggunakan cPanel. Pastikan anda simpan e-mel pengaktifan ini. Jangan lupa login dan password.

B. Perlu install WordPress dalam cPanel untuk anda mula menyusun laman web dan blog.

C. Laman web berbayar sangat fleksibel kerana anda boleh jadikan laman profil dan blog sekaligus.

D. Masuk ke WP Admin untuk mula menulis entri pertama dan menyusun layout yang anda mahukan.

E. Buat sedikit demi sedikit untuk mencantikkan laman web anda. Ini yang saya lakukan kerana saya tidak perlu rekaan yang advance atau e-commerce untuk blog norsaadah.com. Bagi tujuan e-commerce saya menggunakan Shopify untuk duapenulis.com.

F. Anda juga boleh mengupah designer yang mahir dalam menghasilkan blog profesional.

Dah ada idea cara nak mulakan blog? Ramai kawan-kawan saya ada menulis buku dan melukis. Boleh jadikan blog sebagai platform untuk berkongsi buku yang ditulis dan hasil lukisan misalnya.

Antara kelebihan blog ialah:

1 – Kandungan boleh disusun mengikut kategori dan tag.
2 – Boleh letak pautan kepada entri yang berkaitan.
3 – Boleh bina laman khas seperti tentang penulis, buku dan perkhidmatan yang anda sediakan.
4 – Boleh kumpul e-mel pengikut.
5 – Dengan keyword yang betul, entri anda akan muncul dalam carian Google.
6 – Kandungan boleh dikembangkan menjadi buku. Daripada blog menjadi buku.
7 – Boleh letakkan pautan ke media sosial anda seperti Twitter, Instagram dan Facebook.

Dah bersedia untuk ikut cabaran 31 hari blogging?

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial