Gaya Hidup

Cara Konsisten Berjalan 5km Setiap Hari

Sudah lama memasang hasrat untuk menjalani gaya hidup lebih aktif. Tetapi selalu sahaja terhalang atau sebenarnya beralasan. Sehinggalah pada awal Julai lalu, saya tekad memulakan rutin yang baharu, berjalan 5km setiap hari.

Semenjak PKP mula dilonggarkan, kita juga sudah dibolehkan keluar ke taman rekreasi untuk beriadah. Oleh itu, saya ‘memaksa’ diri untuk berjalan kaki sekurang-kurangnya 5km setiap hari. Saya mulakan dengan berjalan pada waktu pagi di taman rekreasi berhampiran dengan rumah.

Satu hal yang mendorong saya melakukan rutin baharu ini ialah untuk melatih diri berjalan dalam jarak yang jauh dan konsisten. Pada saya, 5km adalah jarak yang realistik untuk saya bermula. Sebelum ini, saya hanya berjalan dalam 30 minit dan kurang 5km. Itupun sudah rasa penat dan akhirnya pulang ke rumah.

Kali ini saya menggunakan aplikasi di telefon pintar untuk mengesan jarak perjalanan. Sememangnya pada minggu pertama sangat mencabar bagi saya. Perkara yang paling mencabar ialah untuk bersiap dan keluar dari rumah seawal jam 8 pagi. Selepas berjaya pada minggu pertama, saya keluar lebih awal, iaitu 7.30 pagi.

Pada hemat saya, pukul 7.30 pagi itu sudah awal. Sedangkan apabila saya tiba di taman, sudah ramai orang awam memulakan joging dan berjalan. Malahan ada kumpulan senaman yoga dan tai-chi. Pukul berapakah mereka datang?

Masuk minggu kedua dan ketiga, saya keluar lebih awal sehinggalah sekarang. Jika saya mahu berjalan pada waktu pagi, saya akan tiba di taman seawal jam 7 atau 7.10 pagi. Itu pun sudah banyak kenderaan yang memenuhi parkir. Mungkin saya patut datang pukul 6.45 pagi.

Kadang kala saya akan berjalan di sebelah petang. Pada hari-hari tertentu hujan turun pada sebelah pagi dan cuaca akan lebih baik di petang hari. Namun, saya lebih gemar berjalan pada waktu pagi kerana udara sekitar yang lebih sejuk dan tidak ramai pengunjung berbanding di waktu petang.

Bagaimana mahu konsisten berjalan setiap hari?

1. Buat sahaja tanpa perlu berfikir panjang. Berjalan kaki atau berjoging tidak memerlukan sebarang peralatan senaman. Kita hanya perlu memakai pakaian yang sesuai dan terus bergerak ke taman rekreasi yang selamat untuk kita berjalan kaki selama 1 jam.

2. Jika kita bukan berlatih untuk menyertai sebarang acara larian, kadar kelajuan tidak begitu penting. Pada awalnya, saya memerlukan masa 60 minit hingga 90 minit untuk menghabiskan 5km jarak yang ditetapkan. Kini kelajuan saya bertambah baik, iaitu 50 minit hingga 60 minit sahaja. Malahan, ada hari tertentu saya berjaya berjalan lebih 8km untuk tempoh satu jam setengah. Ini ketika saya berjalan bersama rakan saya.

3. Bagi mengurangkan kebosanan, saya mendengar lagu sepanjang berjalan kaki. Dengan cara ini, kita akan ralit dan akhirnya sudah lengkap 5km yang disasarkan.

4. Sebelum ini, saya selalu berfikir yang kita perlu makan sedikit sebelum beriadah. Bagi saya, untuk berjalan pada waktu pagi seperti yang saya lakukan, tidak perlu makan apa-apa pun masih dapat berjalan kaki dengan baik. Apa yang saya lakukan ialah saya akan minum segelas air sejuk yang dicampur cuka epal sebelum keluar rumah.

Oleh sebab aktiviti ini tidak begitu intense, anda digalakkan bawa bekalan air minuman. Pada dua minggu pertama, saya terpaksa membawa botol air sepanjang berjalan kaki. Selepas terbiasa dengan aktiviti ini, saya boleh berjalan selama sejam atau sejam setengah tanpa meminum air. Yang penting, kita tahu kemampuan diri.

5. Pernah sekali saya mencuba berjalan kaki di sebelah petang ketika saya berpuasa. Adakah saya boleh melakukannya? Ya, memang boleh. Ternyata badan kita masih mampu untuk melakukan aktiviti ringan seperti ini walaupun berpuasa.

6. Berehat sehari dalam seminggu. Apabila aktiviti ini sudah menjadi rutin, saya sangat gembira melakukannya setiap hari. Namun, ada hari tertentu yang saya pilih untuk bermalasan sahaja. Saya akan bermula lagi keesokan harinya.

7. Melakukan aktiviti fizikal seperti ini membantu saya tidur dengan lebih baik. Jika sebelum ini, saya sering kali tidur lewat dan adakalanya sukar tidur sehingga jam 3 atau 4 pagi. Sekarang saya tidur lebih awal sebelum jam 11 malam. Hasilnya, saya dapat tidur yang berkualiti dan boleh bangun lebih awal.

8. Ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan berat badan. Sebenarnya saya sangat sukar menurunkan berat badan. Salah satu sebabnya ialah saya tidak berdisiplin dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Jadi, kali ini saya cuba berjalan kaki secara konsisten dan mengawal pemakanan. Saya sudah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 3kg sejak awal Julai.

9. Selepas 40 hari berjaya melakukan rutin baharu ini dengan konsisten, saya mula menambah pergerakan lain semasa berjalan kaki. Dalam tempoh seminggu ini, saya cuba meningkatkan kelajuan berjalan dengan mengamalkan 45 saat berlari-lari anak dan 15 saat berjalan cepat.

10. Selepas ini, saya ingin mencuba senaman HIIT, iaitu High Intensity Interval Training. Sekiranya mampu dan berjaya, saya akan meneruskannya.

Bagi rakan-rakan yang mahu memulakan aktiviti berjalan kaki, usah berfikir panjang. Terus sahaja buat di lokasi kegemaran anda dan berhampiran dengan rumah. Jika kawasan perumahan anda selamat untuk aktiviti ini, anda tidak perlu ke taman rekreasi. Faedahnya jika anda pergi ke kawasan riadah, anda akan dapati ramai orang turut berjalan atau berjoging. Ini turut menjadi dorongan kepada kita untuk melakukan hal yang sama.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial