Aktiviti,  Buku

Cara Menerbitkan Buku Digital di E-Sentral.com Melalui Platform ORBIT (Otomasi Penerbitan)

Saya menghadiri majlis pelancaran ORBIT (Otomasi Penerbitan) pada Khamis lalu, 11 Julai 2019. Majlis dianjurkan oleh Xentral Methods yang mengendalikan laman web buku digital E-sentral.com. Sebagai penerbit buku, ini satu peluang yang baik untuk mendapatkan maklumat tentang dunia buku digital.

Saya suka dengan nama ORBIT. Catchy dan mudah diingat, akronim daripada perkataan bahasa Melayu. ORBIT ialah platform untuk penerbit dan penulis yang mahu menerbitkan buku digital atau ebook. Buku atau manuskrip akan ditukar ke format yang mesra digital seperti epub supaya mudah dibaca oleh pelanggan di peranti mereka seperti telefon pintar dan tablet.

Saya datang ke Mayor’s Courtyard, KL Tourism Bureau di No 11, Jalan Tangsi Kuala Lumpur. Lokasi ini bersebelahan dengan Bangunan Warisan Rumah Loke Chow Kit. Bangunan ini menjadi pusat sekretariat Ibu Kota Buku Kuala Lumpur 2020 (Kuala Lumpur World Book Capital 2020). Sudah tentu saya tidak melepaskan peluang bergambar dengan latar bangunan kuning yang klasik dan cantik ini.

Majlis bermula pukul 2.30 petang dengan ucapan oleh Tuan Faiz Al Shahab, Pengarah Urusan Xentral Methods dan diikuti Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed. Saya kongsikan maklumat tentang ORBIT dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh E-Sentral.

e-Sentral.com, stor e-buku Malaysia telah melancarkan ORBIT. ORBIT, singkatan untuk Otomasi Penerbitan, direka khas untuk mempercepat penerbitan buku elektronik untuk para penulis. ORBIT diperlengkapkan dengan kemudahan permohonan ISBN dalam talian melalui kerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia.

ORBIT menjanjikan sepantas tiga hari untuk penulis memasarkan buku elektroniknya daripada sebuah manuskrip yang sudah siap. Memandangkan jualan e-buku yang memberangsangkan dua tahun kebelakangan ini, e-Sentral mengambil peluang atas kesuburan pasaranini dengan memperkenalkan ORBIT untuk memangkinkan lagi pembekalan karya.

Kini e-Sentral mempunyai 300 ribu pengguna berdaftar dan lebih daripada 10 ribu pelawat sehari. ORBIT menyediakan sesuatu untuk semua jenis penulis.

Selain daripada platform penerbitan elektronik yang ekspres ini, ORBIT juga menyediakan komponen khusus untuk gaya penulisan yang lain dalam bentuk ORBIT-X dan ORBIT-J. ORBIT-X memberi fokus kepada pembangunan buku teks digital interaktif untuk sektor pendidikan tinggi dengan menyediakan sebuah platform untuk para pensyarah dan pendidik melontarkan idea dan manuskrip bagi pertimbangan untuk dijadikan sebuah buku teks digital yang berinteraktif.

E-Sentral melihatkan sektor buku teks digital interaktif dalam pendidikan tinggi sebagai satu pasaran yang baru dan belum dipelopori, dan oleh yang demikian E-Sentral berhajat untuk melabur dengan membangunkan buku teks digital interaktif untuk pendidikan tinggi secara agresif bersama penulis-penulis bertauliah bagi pasaran masa hadapan.

ORBIT-X diilhamkan ekoran kejayaan e-Sentral dan Perbadanan Kota Buku dalam pengelolaan NDTP (Platform Buku Teks Digital Kebangsaan), sebuah platform untuk membantu penerbit membangunkan fasa pertama buku teks digital interaktif untuk Kementerian Pendidikan Malaysia.

ORBIT-J pula, merupakan kemudahan untuk kewartawanan komuniti. ORBIT-J menapis permohonan untuk menjadi wartawan kepada platform komuniti ini supaya kredibiliti dan kesahihan berita dalam platform ini boleh dijamin dengan baik. Selain itu, ORBIT-J merupakan platform teknologi sahaja dan tidak mengambil bahagian dalam menyusun berita yang dikeluarkan. Hajat ORBIT-J adalah untuk menghidupkan semangat kewartawanan di Malaysia dengan menyediakan satu saluran berita yang bebas komersil.

Saya akan mencuba ORBIT untuk menerbitkan beberapa buku terbitan Dua Penulis dalam format digital. Peluang yang baik ini memberi ruang untuk kami memasarkan buku kepada kelompok yang gemar membaca buku digital dan mahu mengurangkan pembelian buku fizikal. Langkah ini sangat sesuai dengan tagline ‘Go Green and Read eBook’ yang diletakkan pada kotak set straw stainless steel yang kami terima sebagai tetamu pada majlis ini.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial