Categories
Media

Cara Mengatasi Ketakutan dan Persediaan untuk Siaran Langsung di Televisyen Nasional

Ketakutan untuk bercakap di hadapan kamera bukan sesuatu yang asing. Ramai yang menghadapi isu ini. Bagaimana mahu mengatasi ketakutan dan berani melalui pengalaman buat kali pertama?

Saya pernah dijemput untuk membicarakan buku GST pada tahun 2015. Saya menulis dua buah buku berkenaan GST. Kerajaan pada waktu itu mengumumkan pelaksanaan GST pada 1 April 2015. Buku baharu siap dicetak pada bulan Januari dan saya menghantar satu salinan kepada hos rancangan Resensi buku TV1 iaitu Tuan Sayed Munawar.

Buku GST pada masa itu memang sangat relevan kerana GST ialah sistem cukai baharu yang akan menggantikan SST. Jadi, tidak lama selepas saya menghantar buku, saya menerima jemputan daripada TV1.

Semestinya saya berdebar-debar dan mempersoal diri sama ada mahu menerima atau tidak. Sudahlah saya tidak mempunyai sebarang pengalaman, sesi ini pula akan dibuat secara langsung. Ini bermaksud tiada rakaman dan saya mesti selesaikan dalam tempoh 10 minit sahaja.

Jadi saya membuat persediaan untuk siaran langsung itu. Saya hanya ada dua minggu sebelum sesi buku yang dijadualkan berlangsung. Saya kongsikan beberapa langkah yang saya ambil untuk mengatasi ketakutan saya. Semua tip ini saya tulis selepas berakhirnya siaran langsung berkenaan. Saya pernah berkongsi dengan beberapa orang rakan penulis.

15 PANDUAN MENGATASI KETAKUTAN MUNCUL DI MEDIA

Tip #1
Jangan terburu-buru kata ya. Fikirkan sama ada anda memang mahir topik itu atau pun tidak. Walaupun anda dah nak meloncat dan jemputan ini adalah salah satu impian anda.

Saya catatkan matlamat untuk muncul dalam rancangan TV untuk mempromosi buku tapi tak sangka begitu cepat Allah berikan peluang ini. Apabila saya fikir balik, Allah mengikut sangkaan hamba-Nya. Saya sangka baik matlamat ini boleh dicapai.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah di Radio Ikim berkata, “Kita mahu cepat, Allah tahu masa yang tepat.” Kadang kala saya mengeluh juga masa menunggu buku pertama terbit (Mudahnya Mengurus Kekayaan dalam Islam). Saya katakan kepada diri supaya sabar kerana ini apa yang saya mahukan. Buku pertama tak dapat ulasan di TV tapi buku kedua menarik perhatian media.

Tip #2
Hubungi rakan baik anda atau dapatkan pandangan ibu, bapa atau pasangan anda. Berbincang dengan mereka dan jawab Ya kepada media. Orang yang rapat dengan anda faham perjuangan anda. Tahu apa yang anda mahukan. Ibu bapa khususnya, pasti gembira memberi restu.

Anda bukan nak masuk pertandingan menyanyi. Anda ingin berkongsi perkara yang baik dengan khalayak. Apatah lagi, ini siaran di TV Nasional.

Syaratnya tahan diri untuk berkongsi di media sosial selagi belum benar-benar pasti tentang jemputan ini. Hubungi beberapa orang yang benar-benar rapat dengan anda. Dalam kes saya, empat orang sahaja sahabat yang saya hubungi. Saya percayakan mereka dan saya perlukan mereka untuk meredakan ketakutan saya. Menyokong saya seadanya. Mendengar keresahan saya.

Tip #3
Senaraikan soalan dan rangka jawapan.

Hos saya ialah Tuan Sayed Munawar, seorang pengacara dengan pengalaman luas. Saya bertanya jika ada soalan persediaan sebelum siaran langsung. Beliau mengatakan kita sembang sahaja.

Walaupun begitu, saya tetap membuat persediaan. Saya bayangkan isi penting yang saya mahu sampaikan. Mesej yang ringkas tapi padat. Saya hanya diberi 10 minit. Jika rasa terlalu banyak maklumat yang hendak dikongsi, catatkan dahulu dan buat senarai pendek. Ulang baca senarai.

Saya menonton rancangan Resensi buku di YouTube sebagai panduan. Saya tonton video tempatan. Tak sempat menonton video penulis antarabangsa. Video tempatan lebih relevan. Supaya anda dapat membayangkan anda berada di tempat penulis itu.

Lagi bagus, cari video yang dihoskan oleh hos program itu. Dalam kes saya, hosnya Tuan Sayed Munawar. Dua minggu lepas, beliau menjemput tiga orang doktor yang menulis buku Diagnosis 2. Saya tonton berulangkali.

Tip #4
Latih bersama rakan yang anda percaya
. Sahabat anda akan menyokong apa yang anda lakukan. Saya berjumpa sahabat saya di Johor Bahru. Dia mengajukan soalan menarik untuk menguji saya. Oleh sebab saya selesa bersamanya, maka agak mudah saya memberi respon kepadanya.

Tampil secara natural. Anda harus lakukan secara natural. Sudah tentu saya berdebar-debar dan rasa takut. Saya belum pernah bercakap di depan kamera, secara langsung pula tu.

Cuba fikirkan manfaat yang akan diterima oleh penonton dengan kemunculan anda sebagai penulis. Jika ya, tanamkan keyakinan yang anda melakukan perkara yang betul.

Tip #5
Jadikan ia tanggungjawab anda sebagai penulis
. Apabila saya memikirkan tanggungjawab ini, akal logik saya mula seimbangkan bahan kimia dalam otak saya. Perlahan-lahan perasaan gementar berkurangan.

Saya letakkan harapan tinggi untuk melunaskan tanggungjawab ini. Jika anda menghadapi ketakutan untuk melakukan sesuatu yang baru dalam hidup anda, berbalik semula kepada niat. Jika ia sesuatu yang mesti dilakukan, hadapi ketakutan itu dengan penuh harapan.

Tip #6
Cuba tampil kemas dan sopan.
Saya nak pakai baju apa masa bersiaran?
Pening kepala. Saya cari panduan untuk pemakaian yang sesuai di internet. Kebanyakan menyarankan warna pakaian yang neutral.

Tip #7
Yakin dengan penampilan anda
. Penampilan yang kemas memberi keyakinan pada diri dan mengurangkan ketakutan. Secara tidak langsung, emosi menjadi lebih stabil dan terkawal.

Penampilan juga mempengaruhi penonton anda. Kebanyakan manusia adalah visual. Pandangan pertama akan menentukan adakah mereka akan terus menonton siaran itu atau tukar saluran lain.

Tip #8
Pilih warna dan pakaian yang sesuai
. Saya pakai gaya yang selamat dan ringkas. Pilih warna yang natural seperti pastel, warna tanah atau biru.
Elakkan warna putih kerana ia melampias cahaya. Elakkan warna hitam kerana ia menyerap cahaya dan menyebabkan tiada garis pada pakaian. So, kemungkinan anda nampak gemuk. Elakkan corak belang, corak yang menonjol dan corak bercampur. Corak ini akan terpantul pada skrin TV. Elakkan warna merah.

Semak dengan penerbit atau hos tentang lokasi penggambaran. Mungkin anda dijemput untuk sesi temubual di studio dan formatnya formal. Maka, sesuaikan pemilihan pakaian.

Tip #9
Promosi kemunculan anda kepada umum
. Anda sudah pasti akan muncul dalam satu program secara langsung. Beritahu tentang program tersebut. Mengumumkan kemunculan anda bermaksud anda tidak boleh berundur lagi.

Tadi sudah pasang niat bukan? Menjadikan ia suatu komitmen. Rakan-rakan anda menantikan slot tersebut. Mereka memberi kata-kata perangsang. Mereka tahu ini pertama kali untuk anda. Kalau anda rasa sebahagian rakan-rakan atau keluarga ada yang bersikap judgmental, biarkan sahaja. Diamkan sahaja.

Berjaya atau tidak bukan ukuran. Pada peringkat ini fokus pada persediaan. Ramai rakan-rakan yang baik hati akan mendoakan anda. Hantar mesej kepada kenalan rapat selain daripada tiga atau empat orang yang tahu lebih awal tadi. Mereka ini akan jadi cheerleader anda.

Tip #10
Beritahu lagi sehingga sampai hari kejadian
. Promosi caranya berulang-ulang. Agar orang tidak lupa. Takpe la kalau mereka tak tengok pun. Yang penting mereka tahu anda akan muncul secara langsung.

Tip #11
Hadir dengan senyuman
. Pihak penerbit dan krew TV1 sangat membantu. Saya dapat rasakan mereka itu tidak mahu menyusahkan kita. Mereka mahu program berjalan lancar. Beritahu pegawai yang bertemu anda ini adalah pertama kali untuk anda.

Tip #12
Ikut cakap penerbit.
Macam mana cantik atau handsome sekalipun anda, untuk siaran TV memang perlu touch up. Mereka ada jurusolek. Mudahkan kerja mereka. Jangan bersikap diva. Pencahayaan akan mempengaruhi paparan di skrin. Mereka lebih pakar. Anda mahu tampil meyakinkan bukan?

Tip #13
Percaya pada hos anda
. Saya beruntung dapat hos seperti Tuan Sayed yang berpengalaman luas. Petah berkata-kata. Luas ilmunya. Memang tahap pro. Beliau sudah menemuramah ramai orang dan tokoh terkenal.

Saya agak tertekan kerana tiada soalan. Tapi saya percayakan beliau. Beliau tidak akan ‘membuli’ saya. Beliau tidak mahu saya gagal. Sekurang-kurangnya itu yang dapat saya rasakan semasa berbual ringkas di bilik menunggu.

Kenapa tiada soalan?

“You will learn something.” Itu katanya. Beliau menambah lagi.
“Kalau saya beri soalan terlebih dahulu, bila lari tajuk sikit lagi awak menggelabah.” Oh okey! So, I believe what he said.

Semak latar belakang hos anda. Tonton program mereka sebelum ini. Mungkin anda akan menghadapi hos lain dengan cara yang berbeza. Sesuaikan keadaan. Anda ingin mengatasi ketakutan. Jadi, maklumat sebegini akan membantu anda lebih bersedia dan tenang.

Tip #14
Duduk dengan selesa di set penggambaran
. Slot saya dibuat di luar studio. Ikut arahan krew. Seorang pegawai memasang mic kecil di tudung saya. Ternyata saya hanya perlu bercakap seperti biasa. Abaikan mic itu.

Tip #15
Fokus pada slot anda
. Hanya fokus pada slot anda. Peralatan kamera dan krew di sekeliling anda mungkin menggangu tumpuan anda. Tetapi saya memang tidak fokus pada mereka. Saya hanya tenangkan diri.

Hos bersedia untuk bersiaran dengan cue daripada krew penerbitan.
5 minit…
3 minit…
1 minit…
50 saat… (Saya: Oh…phew… Tarik nafas perlahan)
40 saat…
10 saat…

Hos memulakan bicara dan saya menjawab seperti biasa. 10 minit pun berlalu. Tamatlah slot ulasan buku saya yang pertama secara langsung.

Selepas tamat siaran langsung, kawan-kawan beri maklum balas yang positif. Seorang kenalan yang saya hormati hantar mesej di Whatsapp
“You looked and sounded very professional on TV – well done.” Rakan lain pula berkata, “Okla, tak gagap dan gugup pun.”

Ketakutan atau keberanian itu bermula daripada mindset. Pasakkan niat. Ketakutan akan berganti dengan keyakinan dan keberanian.

PENGALAMAN LAIN BERKAITAN MEDIA

Selain muncul secara langsung untuk Resensi buku, saya pernah di temu bual oleh BERNAMA Youth. Saya membicarakan buku yang sudah diterbitkan. Sesi itu ialah sesi rakaman selama 30 – 40 minit.

Tahun lepas, TV Al-Hijrah menjemput saya untuk membicarakan tentang GST dan SST bagi siaran program Analisis Hijrah. Hosnya ialah Puan Hajah Finaz Yunus. Saya dihubungi pegawai TV Al-Hijrah lanjutan daripada posting saya di Facebook dan Twitter yang viral. Dalam posting itu, saya menunjukkan cara pengiraan GST dan SST yang betul.

Saya sepatutnya bertolak ke Kota Kinabalu. Namun, saya membatalkan agenda dan menerima jemputan pihak penerbit. Program dirakam pada waktu siang. Bagi program ini, saya sudah ada senarai soalan dan bersedia dengan jawapan.

Program dirakam selama 40 minit. Puan Hajah Finaz ada mengutarakan soalan tambahan bagi memenuhi masa yang ditetapkan. Saya bersyukur kerana tidak perlu mengulang semula rakaman. Semua berjalan dengan baik. Hos juga membantu saya supaya dapat menjawab soalan beliau dengan baik.

Rakaman itu tidak dapat disiarkan. Salah satu tip yang saya berikan di atas ialah pastikan jemputan itu betul dan tarikh siarannya. Kemudian, baru hebahkan kepada rakan-rakan.

Saya hanya memaklumkan tentang siaran Analisis Hijrah selepas saya selesai rakaman. Namun, pihak penerbit menghubungi saya sehari sebelum tarikh siaran. Program itu tidak dapat diteruskan kerana ia isu yang sensitif ketika itu.

Walau bagaimanapun, saya tidak akan melupakan pengalaman hadir dalam sesi siaran langsung dan rakaman seperti ini. Saya berjaya mengatasi ketakutan dan cuba sehabis baik untuk menyampaikan mesej yang betul.

Semasa GST dan SST hangat diperkatakan tahun lepas, ada pihak TV internet yang mahu menemubual saya secara langsung. Saya tidak menerima jemputan ini. Saya tinggal di Johor Bahru. Sukar untuk saya hadir dengan notis yang pendek. Lagi pula saya tidak mahu bercakap hal yang boleh menimbulkan kecaman orang awam. Ini pendirian saya. Sekiranya topik atau subjek perbincangan itu boleh membawa perdebatan yang tak berkesudahan, lebih baik saya tidak meneruskan atau menerima jemputan begini.

KESIMPULAN

Media berkembang dengan pesat sekali. Sekarang penonton tidak hanya menonton televisyen. TV di internet yang menggunakan Youtube bersiaran tanpa had. Penyedia konten boleh jadi satu pasukan penerbitan profesional atau individu yang gemar berkongsi konten menarik dalam bentuk video.

Vlog satu format berkongsi konten dengan video. Sekiranya anda mempunyai rasa takut untuk menghasilkan vlog, mungkin boleh gunakan beberapa tip ringkas di atas. Gunakan panduan yang sesuai untuk tampil yakin dan bercakap di hadapan kamera.

Selamat maju jaya.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *