Categories
Blog

Surat Buat Sahabatku yang Menjadi Dhuyuf ar-Rahman

Kepada sahabatku yang menjadi tetamu Allah,

Aku ingin menyampaikan rasa gembira ini apabila aku menerima berita yang kau akan menunaikan ibadah Haji. Rukun Islam kelima yang menjadi matlamat setiap umat Islam yang beriman.

Aku kira perjalanan menuju ke Mekah menjadi ‘the ultimate journey‘ buat kita semua. Semestinya ia bukan suatu musafir yang biasa-biasa. Aku pasti dalam detik jiwamu telah meletakkan azam bagi menjalani ibadah ini dengan sempurna.

Beberapa bulan lalu aku berpeluang melawat ke Tanah Suci Mekah dan Madinah. Masih terpahat di ingatan dua kota yang dipenuhi umat Islam. Bagaimana pula keadaannya menjelang musim Haji? Sudah tentu padat dengan berjuta-juta manusia dari seluruh dunia.

Aku masih ingat ketika kami melakukan tawaf, aku melihat seorang lelaki yang menggunakan tangan untuk menolak papan tempat duduknya. Memang dia nampak kekurangan fizikal. Tapi di depan Tuhan, semua manusia sama. Aku juga masih ingat kepada seorang lelaki yang berpakaian agak lusuh tapi bersih. Mulutnya tidak henti berzikir sepanjang tawaf itu.

Bayangkan jemaah haji yang bakal berkumpul di Mekah nanti. Aku kira setiap masa perlu mengingatkan diri supaya berasa rendah hati dan menghormati insan lain. Aku kira cabaran hati adalah yang paling besar selain dugaan kesihatan dan kemampuan kewangan.

Pernah bekas majikanku menceritakan pengalamannya dengan isteri di sana. Sahabat kita juga berkongsi cabaran yang dilalui semasa menunaikan Haji bersama ibu dan abangnya. Setiap manusia mempunyai bahagian masing-masing dalam mencapai kesempurnaan menunaikan ibadah ini.

Aku juga menyimpan impian besar ini. Suatu hari nanti supaya Allah menjemputku menjadi tetamu di rumahnya. Aku memohon supaya Allah yang Maha Pemurah (ar-Rahman) dan Maha Penyayang (ar-Rahim) memberi kemudahan urusan semasa hayatku ini.

Sahabatku,

Ada antara kamu sudah menjadi sahabatku sejak kita belajar. Ada antara kamu yang aku kenali kerana kita sama-sama musafir ke negara-negara asing. Ada antara kamu yang bakal ke Kota Mekah bersama suami atau isteri. Ada antara kamu yang bakal ke Kota Mekah menjalankan tugas. Dan mungkin ada antara kamu yang menerima jemputan Allah tanpa disangka-sangka.

Aku mendoakan supaya segala urusanmu menjadi mudah dan lancar. Bagi seorang musafir, apatah lagi musafir ke tanah haram, aku mendoakan perjalananmu pergi dan kembali dengan selamat. Semoga waris dan harta yang kau tinggalkan buat sementara mendapat perlindungan sebaiknya oleh Yang Maha Melindungi.

Moga sampai masanya nanti aku pula mendapat giliran menyempurnakan this ultimate journey of my life. Moga Allah memberi rezeki, kesihatan dan kesempatan yang berharga.

Akhir sekali, moga Allah kurniakan kesabaran, kesihatan, ketenangan, kesempatan dan keberkatan serta rahmat-Nya yang maha Luas kepadamu sahabatku dan kepada semua umat Islam yang bakal menunaikan Haji.

Salam sayang,
Norsa’adah

Entri ini didedikasikan khas untuk sahabat Fatinah Tajul Ariffin, Afrohah Abd Hamid, Mohd Nasir Che Embee, Dr Wawa Is dan Dr Oshin. Selamat menunaikan Haji.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini
Doa, Nama

Please follow and like us:
Categories
Blog

Nama

Kawan sekolah rendah saya pernah mengajuk nama bapa saya A.Rahman dikaitkan dengan A.Rahman Hassan (Dato’ A.Rahman). Tahu sajalah zaman kanak-kanak mesti ada si pengacau yang menyakitkan hati.

Semasa di sekolah, saya menggunakan nama Norsa’adah Abdul Rahman. Nama bapa saya ada dua iaitu Ahmad dan Abdul Rahman. Ceritanya, dua orang yang pergi mendaftarkan nama bapa saya untuk surat beranak zaman 1930-an. Biasa tak dengar cerita seperti ini?

Lepas tamat sekolah dan pengajian tinggi, saya lebih kerap menggunakan nama Norsa’adah Ahmad. Lebih pendek. Tak perlu saya sebut dua nama sekaligus.

Sebenarnya kawan-kawan jarang yang tahu nama bapa saya ada dua. Mereka lebih kenal saya sebagai Norsa’adah Abdul Rahman.

Saya juga hanya gunakan nama Norsa’adah Ahmad untuk semua buku yang saya tulis. Pembaca mengenali saya dengan nama ini.

Kita memang tak boleh memilih nama sendiri. Syukur ibu bapa saya memilih nama yang baik seperti ini. Maksud Norsa’adah ialah ‘cahaya kebahagiaan’. Saya harap ‘I live up to this name’. Saya harap orang yang berada di sekeliling saya merasa bahagia dan gembira.

Ada satu watak dalam novel The Kite Runner namanya Sofea Akrami. Indah sekali nama ini. Pertama kali membaca novel ini, saya teringat-ingat sampai sekarang. Sofea Akrami ialah ibu kepada Amer, watak utama dalam The Kite Runner. Sofea telah meninggal dunia. Tidak banyak diceritakan tentang watak ini. Tapi saya suka namanya.

Selain menamakan anak, penulis novel boleh menamakan watak dalam cerita yang mereka tuliskan. It’s an honor to do so.

Zaira Wasim. Google sahaja. Kisah beliau sedang tular sekarang. Zaira ialah pelakon filem Dangal. Zaira kini berusia 18 tahun. Beliau mengumumkan persaraan daripada dunia lakonan.

Zaira bermaksud bunga ros dalam bahasa Arab, seperti Zahrah. Jadi, saya tuliskan nama Zaira di sini. Mungkin satu hari nanti saya berpeluang memberikan nama pada watak yang akan saya hasilkan.

Ikuti cabaran menulis 31 entri.

Boleh baca entri sebelum ini:

Doa

#julyblogpostchallenge

#julyentries

Please follow and like us:
Categories
Blog Penulisan

Doa Dalam al-Quran yang Kita Boleh Amalkan Setiap Hari

Saya mengumpul beberapa doa daripada al-Quran sepanjang Ramadan dua tahun lepas. Memori Facebook mengingatkan saya kumpulan 21 doa yang Nabi-nabi kita lafazkan dalam pelbagai keadaan.

Sahabat saya Acik, berkongsi adab-adab berdoa. Saya tuliskan di sini:

  1. Ikhlas dalam berdoa. Lakukan dengan penuh keikhlasan dan rendah hati.
  2. Mengadap kiblat, jika mampu tapi tidak wajib.
  3. Mulakan dengan memuji Allah.
  4. Meminta keberkatan Nabi Muhammad SAW.
  5. Memohon dengan menyebut nama Allah seperti Yang Maha Pengampun, Maha Mengasihani dan sebagainya.
  6. Bersungguh-sungguh merayu dengan Allah.
  7. Memohon doa dengan yakin.
  8. Meminta perkara yang paling bagus.
  9. Akhiri dengan ucapan ‘Amin’.

Mari kita amalkan doa di bawah:

al-Quran 27:19

Ini adalah doa Nabi Sulaiman AS apabila mendengar seekor semut yang menyuruh semua semut di lembah itu masuk ke sarang keranaa khuatir akan dipijak oleh Nabi Sulaiman dan tenteranya. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kelebihan memahami bahasa binatang seperti burung.

Wahai Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada orang tuaku, dan agar Engkau redai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.

An-Naml: 19

Quran 23:29

Allah mengarahkan Nabi Nuh A.S membina kapal atau disebut bahtera sebagai persediaan untuk menyelamatkan diri daripada bahaya bah. Bahtera ini digunakan untuk sebagai tempat perlindungan orang yang beriman kepada Allah. Kemudian, Allah mengajarkan Nabi Nuh doa ini.

Wahai Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat.

Al-Mu’minun: 29

al-Quran 23: 97-98

Doa ini diajarkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda berdepan dengan kaum musyrikin yang tidak mahu menerima kebenaran agama Islam.

Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu daripada hasutan syaitan-syaitan; Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.

al-Mu’minun: 97-98

al- Quran 23: 118

Doa ini diajarkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Wahai Tuhanku, ampunkanlah dan kurniakan rahmat dan sememangnya Engkau sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat.

al-Mu’minun: 118

al-Quran 25:65

Orang yang diredai Allah berdoa supaya dijauhkan daripada azab Neraka Jahannam.

Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab Neraka Jahannam daripada kami. Sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal.

al-Furqan: 65

al-Quran 25:74

Dalam surah Al-Furqan Allah menerangkan tentang ciri orang yang diredai-Nya. Ini adalah salah satu doa yang menjadi amalan mereka. 

Ayat 63 menyebut “Hamba-hamba (Allah) al-Rahman ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang kurang beradab menyapa mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang baik-baik (selamat daripada perkataan yang mengundang dosa)”.

Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin ikutan bagi orang yang bertaqwa.

al-Furqaan: 74

al-Quran 26:83

Nabi Ibrahim berdoa ketika berdebat dengan orang yang menyembah berhala. Nabi Ibrahim terkenal kerana banyak berdoa kepada Tuhan.

Wahai Tuhanku, berikanlah aku hikmah (ilmu pengetahuan mengenai agama) dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang soleh.

al-Shu’ara’: 83

al-Quran 21: 83

Nabi Ayub diserang penyakit yang sangat teruk sehingga ditinggalkan isterinya. Kemudian, Nabi Ayub berdoa lalu diperkenankan dan sembuh daripada penyakitnya.

Sesungguhnya aku ditimpa penyakit. Engkaulah sahaja Yang Maha Penyayang daripada segala yang penyayang.

al-Anbiya’: 83

Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiyai diri sendiri.

al-Anbiya’: 87

al-Quran 21: 89

Ini adalah doa Nabi Zakariya memohon dikurniakan zuriat. Nabi Zakariya sudah tua dan isterinya tidak boleh mengandung. Namun, Allah memperkenankan doanya dan memberi anak iaitu Nabi Yahya.

Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat). Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.

al-Anbiya’: 89

al-Quran 7:23

Ini adalah doa Nabi Adam dan Hawa apabila mereka telah makan buah yang dilarang Allah. Kemudian, mereka diturunkan ke bumi.

Wahai Tuhan kami, kami telah menganiyai diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami antara orang yang rugi.

al-A’raf: 23

al-Quran 7: 47

Dalam surah ini, Allah menceritakan keadaan syurga dan neraka. Ketika memandang ke neraka, golongan yang belum masuk ke syurga atau neraka membaca doa ini.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang yang zalim.

al-A’raf: 47

al-Quran 7: 126

Kumpulan ahli sihir yang melihat mukjizat Nabi Musa kemudian beriman dan berdoa kepada Allah.

Wahai Tuhan kami. limpahlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah sepenuhnya kepada-Mu).

al-A’raf: 126

al-Quran 7:151

Nabi Musa berdoa apabila mengetahui kaumnya telah berpaling daripada ajaran Tuhan.

Wahai Tuhanku, ampunilah daku dan saudaraku, serta masukkanlah kami ke dalam rahmat-Mu. Engkaulah sahaja Yang Maha Penyayang dari segala yang penyayang.

al-A’raf: 151

al-Quran 14:40

Nabi Ibrahim berdoa supaya keturunannya menjaga solat. Maka, ini adalah doa yang sangat penting supaya keturunan kita menjaga solat yang menjadi tiang agama.

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Ibrahim: 40

al-Quran 14:41

Kemudian, Nabi Ibrahim berdoa lagi untuk kedua ibu bapa. Maka, kita disarankan mengamalkan doa ini juga.

Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

Ibrahim: 41

al-Quran 17:24

Ayat 23 surah Al-Isra’ menyuruh kita berbuat baik kepada ibu bapa. Ayat 24 pula menyuruh kita menyayangi mereka dan mendoakan mereka.

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

al-Isra’: 24

al-Quran 20:25-28

Doa Nabi Musa yang seringkali kita baca dan sangat mudah untuk dihafal.

Wahai Tuhanku, lapangkan bagiku dadaku: Dan mudahkanlah bagiku tugasku; Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku; supaya mereka faham perkataanku.

Taha: 25-28

al-Quran 20:114

Ini pula doa yang diajarkan kepada Nabi Muhammad semasa Jibrail membacakan Al-Quran kepada baginda.

Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.

Taha: 114

al-Quran 18:10

Ini adalah doa pemuda Kahfi yang berlindung di dalam gua kemudian Allah menidurkan mereka untuk tempoh yang lama. Dikatakan 300 tahun. Kemudian, Allah bangunkan mereka dan persekitaran mereka sudah berubah.

Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan sera pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.

al-Kahfi: 10

al-Quran 11:47

Nabi Nuh berkata tentang anaknya yang derhaka dan tidak mahu mengikutnya menaiki bahtera. Allah kemudian memberi peringatan. Selepas mendengar peringatan Allah, Nabi Nuh menyebut ayat ini.

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak punya pengetahuan mengenainya dan jika Engkau tidak mengampuniku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya aku termasuk orang yang rugi.

Hud: 47

Semua doa ini saya sertakan terjemahannya sahaja. Boleh rujuk al-Quran untuk ayat penuh dan hafal doa ini. Tentu lebih baik lagi. Insya-Allah.

Jom sertai saya dalam cabaran menulis blog selama 31 hari. Dapatkan senarai 31 perkataan sebagai pencetus idea.

Please follow and like us:
Categories
Blog Penulisan Umum

31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Menulis Entri di Blog Anda Dalam Bulan Julai 2019

Saya mulakan cabaran menulis setiap hari di blog dalam bulan Julai ini. Bulan yang istimewa. Meraikan blog norsaadah.com yang berusia 5 tahun. Saya membeli domain dan mendaftar blog ini pada bulan Jun 2014.

Memandangkan tahun-tahun lalu saya tidak begitu konsisten menulis setiap hari, jadi saya sediakan 31 perkataan pencetus idea (writing prompts) untuk entri blog bagi bulan Julai 2019.

Buat rakan pembaca dan blogger yang ingin memulakan blog anda, atau kembali menulis blog boleh gunakan 31 cadangan perkataan ini sebagai permulaan.

Cuba tulis setiap hari. Anda bebas menggantikan perkataan yang saya berikan ini dengan perkataan lain. Yang penting anda menulis setiap hari. Format blog bebas. Anda boleh menulis puisi, lagu, reviu buku yang bertemakan perkataan yang diberi atau menulis hal yang berlawan dengan perkataan itu. Contohnya: Perkataan malam, tapi anda boleh tulis tentang siang.

Saya kongsikan 31 perkataan pencetus idea untuk anda mula menulis entri di blog. Kongsikan blog anda di ruang komen atau tag saya di media sosial.

Jika anda menulis sekurang-kurangnya 500 perkataan, anda berjaya menulis 15,500 perkataan sepanjang bulan Julai 2019. Jangan lupa kongsikan dengan saya, ada hadiah menarik untuk anda.

Gunakan #julyblogposts #july2019entries untuk kongsi link di media sosial.

Please follow and like us: