Categories
Blog

Si Rajawali

Marak pawaka panas hawanya
Senang merebak tatkala tuarang
Usah berkata tanpa fikirnya
Susah kelak membawa malang.

Kelemayar senja di kaki langit
Terbias teja di muka segara
Usah teruja usah membingit
Kelak kecewa tambah merana.

Si rajawali terbang tinggi
Selebu membadai janganlah taufan
Sang penguasa yang lupa diri
Usah bingai nanti dilawan.

10 Jan 2020
Johor Bahru.

#writingpromptjanuary2020

Please follow and like us:
Categories
Blog

Si Puspa

Puspa berputik dihembus pawana
Unggas berkicau pemecah sunyi
Setiap detik rasa terpana
Pabila dikau berada di sisi.

Awan mendung jentayu bersahutan
Hujan turun menyejuk bumi
Hati dirundung sayu merindukan
Jauh di mata dekat di hati.

Pohon cendana kukuh berdiri
Kayunya utuh jadi pilihan
Entahkan cinta entahkan benci
Dalam hati semakin rawan.

Johor Bahru.
6 Januari 2020

#writingpromptsjanuary

Please follow and like us:
Categories
Blog

31 Pencetus Idea Menulis di Blog Januari 2020

Selamat datang tahun baru. Dekad yang baru. Masa kanak-kanak, tak terfikir yang saya akan berada pada tahun 2020. Tapi ya, sekarang kita masih ada di sini. Di saat ini.

Apa nak tulis untuk tahun ini? Sahabat blogger kongsi kosa kata Melayu bagi unsur alam. Saya baca senarai 35 perkataan itu yang ditwit oleh @nrhanishh. Indah belaka. Kalau dapat kita jadikan puisi atau pantun atau cerita pendek, mungkin menarik. Selain itu, mempopularkan semula kosa kata Melayu yang jarang digunakan.

Apabila saya lihat semua kosa kata Melayu itu, nampak kaya bahasa kita dengan perkataan yang indah. Cuma sahaja, ia tidak lagi biasa dalam kalangan generasi milenium.

Berikut adalah senarai kosa kata Melayu unsur alam:

  1. Bianglala = Pelangi
  2. Cakraya = Burung
  3. Cemara = Ru, Casuarina
  4. Cendana = Pohon harum kayunya
  5. Cendera = Bulan, Dewa
  6. Gandasuli = Pokok harum bunganya
  7. Jaran = Kuda
  8. Jentayu = Burung berseru meminta hujan
  9. Kelemayar = Cahaya
  10. Kuda semberani = Kuda sakti (bersayap) boleh terbang
  11. Madukara = Lebah
  12. Malai = Untaian bunga-bunga
  13. Mandung = Ayam jantan
  14. Menjangan = Rusa
  15. Mergastua = Binatang liar
  16. Nundi = Monyet
  17. Nyiur nangkawati = Kelapa
  18. Paksi = Burung
  19. Pawaka = Api
  20. Pawana = Angin
  21. Pawitera = Air suci
  22. Petaka = Bencana
  23. Prahara = Taufan
  24. Pendapa = Ranting muda
  25. Puspa = Bunga
  26. Rajawali = Helang
  27. Segara = Lautan
  28. Selebu = Ombak besar
  29. Semendarasa wilis = Cempaka biru
  30. Serayu = Bunga
  31. Tagar = Guruh
  32. Taptibau = Burung malam
  33. Tuarang = Kemarau
  34. Unggas pergam = Burung merpati besar
  35. Wilmana = burung besar sebagai pengangkutan
Tangkap layar twit @nrhanishh

Boleh pilih 31 kota kasa yang mahu dijadikan pencetus idea untuk menulis di bulan Januari ini.

Selamat menulis. Jom meriahkan blog tahun 2020.

Please follow and like us:
Categories
Blog

Kerana Semangkuk Soto

Saya datang lagi ke Perpustakaan Awam Johor. Kali ini berjanji dengan seorang kenalan penerbit. Dia selalu berada di sini untuk menyiapkan tugasan. Katanya suasana tenang dan tempat makan pun disediakan.

Kami berbual-bual hal buku. Sesekali bagus juga ada kenalan dalam bidang yang sama. Bersemangat mendengar tentang projek buku yang akan dihasilkan. Jadi, saya juga mesti bersungguh-sungguh menyiapkan kerja penerbitan yang sudah dirancang.

Azan berkumandang. Sememangnya saya rancang mahu balik awal. Saya sempat siapkan satu entri blog sebelum menutup komputer riba. Kenalan saya mengajak makan tengah hari di Ilmu@Kafe. Kedai makan yang dibina menggunakan kabin kontena 20 kaki.

Tahun lepas saya datang ke Perpustakaan, ia masih dalam proses binaan. Sudah beroperasi dengan baik rupanya. Kami keluar melalui pintu belakang Perpustakaan.

Ringkas dan bersih. Lokasi: Perpustakaan Awam Johor Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.

Lanskap tanaman herba dibuat di tepi laluan pejalan kaki untuk ke Ilmu@Kafe. Ada daun kesom dan beberapa lagi jenis herba masakan. Bagus juga ideanya.

Kenalan saya ini memang selalu makan di sini. Lauknya sedap dan tidak sama setiap hari. Saya nampak lauk ikan pari masak asam pedas. Oh … sedapnya. Beberapa mangkuk soto nasi dan mihun yang belum dituang kuah elok bersusun dan ditutup dengan plastic wrap.

Dah lama tak makan soto. Langsung terbayang soto yang dimakan oleh Mimi Salleh di sebuah restoran mewah. Walaupun kuah soto perlu saya cedok sendiri daripada tong termos, saya pasti ia masih hangat tidak seperti kuah yang dituang daripada kendi leher panjang yang diceritakannya itu.

Baiklah. Saya nak makan soto nasi. Cukup untuk makan tengah hari. Tiba-tiba saya teringat ketika memasukkan komputer ke dalam beg tote yang dihadiahkan Yan. Entah-entah saya tidak bawa dompet. Oh… punah harapanku mahu menikmati semangkuk soto nasi. Nasib baik kaunter bayaran di dalam dan saya belum menuang kuah soto ke dalam mangkuk.

Hendak buat macam mana. Saya duduk menunggu sahabat saya tadi.

“Eh, nak makan apa?”

Wah, dia dah beri soalan cepu emas. Haha… Ya Allah. Malu betul. Saya terpaksa mengaku yang saya lupa bawa dompet. Hanya temankan dia makan.

“Pergilah ambil soto tu. Sedap.” Katanya sambil menghulur wang sepuluh ringgit.

Saya beriya-iya menolak. Dia beriya-iya suruh saya beli semangkuk soto. Kalau boleh masa itu juga saya nak balik. Tapi macam tak seronok pula, tiba-tiba mahu balik. Padahal muka saya dah panas dan rasa nak tutup muka sahaja. Kalau dari awal saya dah perasan tak bawa dompet, sudah tentu saya balik secepat mungkin. Hehe…

Sudahnya, saya mengalah. Saya ambil juga semangkuk soto dan membayar harganya. Begitulah cerita makan tengah hari saya. Terima kasih Azie sudi belanja saya hari ini.

Pengajaran: Selepas ini saya perlu pastikan dompet ada dalam beg sebelum ke tempat makan. Aduhai… harapnya kejadian ini tak berulang lagi. Segan.

Pernahkah anda mengalami situasi begini?

Prompt: Makan tengah hari
Boleh baca cabaran Fotoblog September dan entri lain dalam cabaran menulis di blog.

Please follow and like us:
Categories
Blog

Fotoblog – Jalan dan Orang yang Tidak Dikenali

Cabaran bulan ini ialah ambil gambar dan tulis entri di blog. Dua kemahiran digabungkan iaitu fotografi dan menulis. Kita namakan cabaran ini cabaran Fotoblog.

Sekarang ini mudah sahaja dengan adanya fungsi kamera di telefon. Hanya perlu snap gambar mengikut prompt yang diberikan. Nak menulis di blog pun senang. Muat turun aplikasi WordPress atau Blogspot di telefon pintar anda. Tulis on-the-go.

Cabaran kali ini dicadangkan oleh rakan blogger, En Sharulnizam yang mempunyai minat dalam bidang fotografi. Lihat sahaja gambar yang beliau ambil seperti gambar Tambi dan daun yang cantik. Jeles. Suatu hari nanti saya mahu belajar fotografi. (Dah berapa kali ulang ni 🙂

Baiklah. Untuk entri pertama dalam cabaran fotoblog saya memilih ‘jalan’ dan ‘orang yang tidak dikenali’.

Semalam saya pergi ke Perpustakaan Awam Johor di Jalan Yahya Awal untuk memulangkan buku. Pejabat kerajaan dan sekolah sudah mula dibuka dan tiada cuti ganti untuk Awal Muharram seperti negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

Perpustakaan ini bersebelahan dengan Sekolah Agama Bandar Jalan Yahya Awal. Beberapa kali saya datang ke sini, memang saya perhatikan ramai anak-anak yang ‘lepak’ dengan kawan-kawan mereka di perpustakaan. Bagus betul lokasinya. Perpustakaan ini pula ada ruang khas untuk kanak-kanak. Satu budaya yang baik membiasakan anak-anak dengan buku. Mungkin sahaja anak-anak ini hanya mahu mengisi masa lapang sementara menunggu masa pulang ke rumah. Tentulah lebih baik berada di perpustakaan berbanding berpeleseran di tempat lain.

Duduk dalam perpustakaan ini lebih selamat. Sekolah dan perpustakaan terletak di Jalan Yahya Awal yang boleh tahan sibuk juga apabila tiba waktu makan tengah hari dan petang.

Gambar ini saya ambil dari tempat letak kereta. Saya hendak pulang dan mengenangkan tugasan fotoblog ini, saya buka fungsi kamera dan ambil beberapa keping gambar.

Sebenarnya saya terdengar adik berbaju hijau itu teresak-esak. Oleh sebab saya hanya melihat dari belakang, saya tidak pasti adakah dia betul-betul menangis. Ah… budak pun ada masalah. Bukan orang dewasa sahaja. Entah siapa yang menyakitkan hatinya atau apa yang membuatkan dia sedih sehingga menangis. Itu yang terdetik dalam hati saya.

Saya harap ada kawan yang akan memujuk dirinya. Jika tidak, kau harus kuat dik. Dalam dunia ini, panjang lagi perjalanan kau. Yang penting kau harus belajar mengenali kawan dan lawan. Bijak mengawal emosi. Mungkin hari ini kau menangis hal-hal yang pada pandangan mu besar, ketahuilah pada masa depan nanti kau akan melalui hal-hal yang lebih besar. Semoga kau temui ketenangan dalam perpustakaan ini (walaupun buat sementara).

Prompt: Jalan dan Orang yang Tidak Dikenali
Boleh baca cabaran Fotoblog September dan entri lain dalam cabaran menulis di blog.

Please follow and like us: