Categories
Travel

4 Hari 3 Malam di Pulau Tenggol, Terengganu

Percutian yang dinantikan selepas berbulan-bulan tidak keluar dari daerah Johor Bahru. Situasi akibat pandemik semakin membaik dan kerajaan pun dah benarkan kita merentas negeri. Merentas negara belum lagi boleh. Sekarang ini Malaysia masih dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 31 Ogos 2020.

Nampaknya ramai yang merasa lega dengan kelonggaran diberikan. Mengambil peluang merentas negeri untuk pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga dan rakan. Ya, bercuti. Itu yang saya lakukan minggu lalu.

Saya bersama teman-teman ke Pulau Tenggol di Terengganu. Kumpulan kami seramai 6 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak. Saya memang belum pernah ke Pulau Tenggol. Seingat saya lebih sepuluh tahun dahulu saya ke Pulau Perhentian yang popular itu.

Rakan memilih Pulau Tenggol untuk melakukan aktiviti scuba diving. Saya pula hanya bersantai-santai dan memilih untuk aktiviti ringan seperti snorkeling.

Kami bertolak ke Dungun, Terengganu pada hari Khamis (25 Jun 2020) dari Kuala Lumpur. Pemanduan yang lancar dan trafik tidak sesak. Kami tiba di FBS Inn Dungun selepas pukul 11 malam. Kami bermalam di sini supaya keesokannya tidak kelewatan untuk menaiki bot.

Dungun

Dah tiba di Dungun ini, sempat juga berjumpa dan sarapan di rumah seorang sahabat. Pagi-pagi sudah dihidang dengan nasi dagang dan nasi lemak ikan yang menjadi sarapan signature orang Terengganu. Kami juga makan kuih-muih seperti kuih kayu keramat. Kayu keramat ini seperti cakoi tapi rasanya manis.

Menaiki bot dari Jeti A’King, Jalan Raja Wali pada pukul 10.30 pagi. Semua penumpang ke Pulau Tenggol mesti menepati masa, jika tidak perlu membayar charter boat sebanyak RM800.

Perjalanan dengan bot laju ke Pulau Tenggol mengambil masa hampir sejam. Laut lepas yang membiru seolah meraikan kami yang merindukan ketenangan, bebas daripada ancaman pandemik.

Tiba di Pulau Tenggol

Tenggol Coral Beach Resort, salah satu operator di sini menempatkan kami di bilik dorm dengan katil dua tingkat dan bilik air sendiri. Bilik dorm ini di bahagian hujung sekali dan nampak baru. Bilik dorm boleh memuatkan 6 orang ini selesa dan bilik airnya bersih.

Selepas meletak barang-barang di bilik, para divers mendaftar untuk dive pertama mereka selepas makan tengah hari. Makan tengah hari dihidangkan secara buffet dan meja kumpulan kami sudah ditetapkan. Bagus juga susunan begini.

Sup labu air yang panas dan menyegarkan. Lauk-lauk yang disediakan juga menambat selera. First impression kami, berpuas hati dengan makanan yang disediakan. Yati memang seronok kerana ada ketam yang manis dan segar isinya.

Sementara para divers pergi ke dive spot pertama mereka, saya pula hanya berehat di bilik melelapkan mata. Mungkin akibat perjalanan yang jauh dari Johor Bahru-Kuala Lumpur-Dungun membuatkan saya letih.

Pada sebelah petang, saya menemankan anak-anak rakan untuk bermain pasir putih dan buaian di hadapan dorm kami. Nampaknya, anak-anak ini tak penat langsung. Berkali-kali masuk ke dalam laut dan ke tepian pantai semula.

Pulau Tenggol ini tidak terlalu besar. Oleh sebab hanya ada dua operator di sini, pelanggan pun tidak ramai. Jadi, agak privasi juga. Pantainya bersih dengan pasir yang putih dan halus. Airnya biru yang jernih. Daripada pantai, kita boleh snorkeling untuk melihat batu-batu karang dan ikan yang berwarna-warni. Cantik.

Hujan malam

Terasa angin bertiup kencang pada malam pertama kami di sini. Selepas makan malam lebih kurang pukul 8, kami cepat-cepat kembali ke bilik dorm. Oh ya, di sini kami tidak mendapat capaian internet kerana hanya Celcom sahaja yang mendapat akses. Itu pun signal lemah.

Bagus juga begitu. Sesekali tidak berhubung atau melihat media sosial yang menyesakkan. Terasa lebih tenang. Kami berehat sahaja di bilik dan tidur lebih awal.

Malam itu, saya tersedar beberapa kali dan hujan lebat di luar.

Hari kedua

Sarapan bubur nasi dan mihun goreng. Ringkas tapi cukup. Pagi ini Yati, Lean, Fizah dan Nat pergi ke dua dive spot. Elyani dan saya pula hanya menunggu di pantai. Saya membaca buku berjudul Pulau Karang oleh R.M Ballatyne, sebuah novel klasik terjemahan tentang pengembaraan Ralph, Jack dan Peterkin.

Memang sesuai membaca novel ini dalam suasana pulau yang tenang dan nyaman. Di sebelah petang, saya dan rakan-rakan dibawa menaiki bot ke Turtle Point. Ia tidak jauh. Turtle Point ini popular kerana jika bernasib baik boleh jumpa penyu di sini.

Tapi, pada hari itu kami tak berapa bernasib baik. Air agak berkocak dan tidak begitu jernih. Mungkin disebabkan hujan dan angin yang kuat. Sarah, Eva dan Isaac bukan main seronok snorkeling di sini. Ana yang berumur 4 tahun, masih takut-takut lagi tapi tetapkan bermain air dengan ibunya.

Selepas kembali ke pantai, kami membersihkan diri dan mengikuti kumpulan lain untuk hiking melihat matahari terbenam. Bukit di sebelah kiri pulau ini tidaklah tinggi. Tapi, boleh buat mengah juga bagi yang jarang hiking. Dalam 15 minit sahaja yang sampai di tempat melihat matahari terbenam.

Saya jangkakan tempatnya landai. Rupanya kami berada di bahagian cenuram. Bagi orang yang cepat gayat seperti saya, tidak berani untuk duduk di batuan cenuram. Dengan kumpulan hampir 20 orang itu, saya rasa tempat ini sempit.

Jadi, jika mahu ke atas ini pastikan berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling. Langit agak berawan dan matahari terlindung di sebaliknya. Selepas bergambar di sini, kami turun semula. Boleh dikatakan hiking trail ini sangat mudah sebenarnya. Ada staf yang menemankan sehingga ke puncak. Elakkan pergi sendirian.

Hari ketiga

Para divers bersiap-siap selepas sarapan. Mereka melakukan dua dive pada pagi ini. Setakat ini, nampaknya mereka berpuas hati sehingga teruja untuk melakukan dive ketiga pada sebelah petang.

Selain aktiviti diving, tidak banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan. Bagi yang suka berkayak, boleh meminjam peralatan dan berkayak berhampiran pantai.

Pulau Tenggol ini memang sesuai untuk berehat dan menenangkan fikiran. Saya lihat ada juga pelanggan warga asing dan nampak meriah juga apabila masing-masing berkumpul di ruang makan resort. Ada juga yang membawa laptop untuk membuat kerja. Tapi santai-santai sahaja.

Dive spots di Pulau Tenggol

Selepas rakan-rakan saya kembali dari dive spot, kami sambung pula dengan snorkeling berhampiran pantai. Kali ini kami pergi ke bahagian lain dan nampak lebih banyak batu karang yang cantik-cantik.

Kalau boleh, anak-anak ini tak mahu naik ke pantai. Tapi hari sudah lewat petang. Kami balik ke bilik membersihkan diri dan kemudian ke ruang makan untuk makan malam.

Istimewanya makan malam kali ini ialah steamboat dengan pilihan makanan laut, ayam dan bebola. Sayur dan mi pun ada. Kuahnya tomyam dan sup biasa. Sedap juga dan tidak pedas. Kami boleh tambah lada dan bawang goreng dalam minyak buat penambah selera.

Sememangnya kami berpuas hati dengan menu yang dihidangkan sepanjang berada di sini.

Hari keempat

Hari terakhir di Pulau Tenggol dan kami bersiap awal untuk kembali ke Dungun. Bot dijadualkan bergerak pada pukul 8.30 pagi. Terasa sekejap sahaja berada di sini.

Kami sempat merakam gambar kumpulan sebelum menaiki bot dan pulang ke jeti. Satu percutian yang menarik. Tanpa kesibukan dan lebih menikmati keindahan pantai dan alam sekeliling.

Bagi yang mahu ke Pulau Tenggol, boleh hubungi Tenggol Coral Beach Resort dan dapatkan harga pakej mengikut keperluan. Boleh lakukan aktiviti scuba diving untuk peminat sukan ini atau snorkeling seperti saya.

Please follow and like us:
Categories
Travel

Reroute

Kejadian ni berlaku minggu lepas. Ada saya beritahu. Kapal terbang yang saya naiki tak jadi mendarat di Johor Bahru.

Teringat nak catat di sini. Bukan apa, pagi tadi baca berita lanjut tentang nahas helikopter Kobe Bryant. Dikatakan antara puncanya ialah cuaca buruk dan jarak penglihatan (visibility) yang teruk.

Minggu lalu ketika kami berlepas dari Kota Kinabalu, cuaca baik. Malahan beberapa hari saya di KK, ya Allah panasnya boleh tahan. Tapi cantik sangat. Langit biru dan awan putih kepul-kepul sikit sahaja.

Saya pun tiba di airport awal. Sempat sarapan dan terus ke boarding area. Adalah 2 jam juga di Gate 7. Kemudian, penerbangan berlepas mengikut jadual, pukul 11 lebih.

Saya dapat duduk di tepi tingkap, bahagian tengah kapal terbang. Belakang saya ada penumpang dengan kanak-kanak dan bayi.

Sebenarnya saya cuba tidur. Sekejap-sekejap terlelap, kejap tersedar akibat bayi menangis tak henti-henti. Dalam hati, cepatlah sampai JB.

Lebih kurang 2 jam macam tu, krew buat pengumuman memaklumkan yang kita hampir tiba di JB. Lega rasanya.

Tingkap sisi saya buka sepenuhnya. Nampak awan berkepul-kepul. Tapi kapal terbang steady sahaja. Tak lama lepas itu, ada pengumuman lagi.

Masa itu, kami diberitahu cuaca tak baik. Tunggu maklumat lanjut keadaan di destinasi (JB). Bayi di bahagian belakang saya masih lagi menangis. Kesian dia.

Mungkin dia restless, penumpang dewasa yang lain pun nampaknya tak sabar nak tiba di airport.

“Kita akan mendarat sebentar lagi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur…”

Eh, kenapa pula KL. Agaknya salah cakap ni kot… punyalah daku bersangka baik. Pilot bergurau ke?

Yelah, tak pernah seumur hidup naik kapal terbang nak pergi satu tempat, lepas tu mendarat di tempat lain.

Masa itu sudah dekat 3 jam dalam penerbangan. Memang betul kami mendarat di KLIA2. Dengan selamat.

Selepas itu saya dengar krew (saya tidak pasti pilot atau co-pilot) beritahu jarak penglihatan kurang 8 km di JB. Sebab itu flight reroute ke KLIA2 untuk isi minyak dan kemudian terbang semula ke JB.

Setiap penerbangan mesti mematuhi regular visual flight rules (VFR) seperti yang saya baca dalam berita tentang Kobe.

Sebenarnya situasi saya ini mungkin hal yang biasa berlaku. Keputusan reroute perlu dibuat demi keselamatan nyawa penumpang. Ini baru reroute dan saya tak rasa sangat pun gegaran. Adalah sikit-sikit saja. Tak seperti Normi yang pernah hadapi situasi lebih genting ketika ke Brunei beberapa tahun lalu.

Bayangkan kalau kapal terbang yang saya naiki itu cuba mendarat juga, bahaya.

Itulah nak cerita. Dalam pada dah selamat mendarat sebentar di KLIA2, ada juga lah yang buat perangai kiasu dia. Lapar sangat, sampai nak minta makanan free.

Adoi, makcik. Beli jelah daripada krew. Adik yang duduk depan saya, rileks je tanya pada krew makanan yang ada. Dibelinya satu kotak sandwich.

Sibuk nak keluar kapal terbang. Tak dinafikan penat duduk dekat 5 jam. But hey… you selamat lagi kot. Boleh membebel tak ingat orang lain.

Saya dapat hantar mesej pada adik dan kakak yang menunggu di JB. Rupanya hujan lebat dan cuaca memang buruk tengah hari itu.

Itu jelah nak cerita. Kadang-kadang destinasi kita lain, tapi kita terpaksa singgah di tempat lain. Demi keselamatan. Bawalah bertenang. Cuba fikir siapa lebih rugi?

Mungkin kita rugi masa, tapi sebenarnya nyawa kita lebih penting diselamatkan. Cubalah bersabar. Dan jangan pentingkan diri macam awak seorang sahaja yang lapar.

Selepas saya kongsikan di FB, ada beberapa rakan yang menceritakan pengalaman mereka. Malahan situasi mereka lebih mencabar hingga menyebabkan muntah dan sakit kepala.

Jika berlaku lagi keadaan seperti ini, apa yang boleh kita lakukan sebagai penumpang (berdasarkan kejadian yang saya lalui):
1. Cuba bertenang.
2. Dengar pengumuman penting dan arahan daripada krew.
3. Jika perlu gunakan toilet, ikut giliran.
4. Elakkan menurunkan bagasi di ruang kabin jika tiada keperluan.
5. Dapatkan pertolongan krew jika ada masalah.
6. Jangan keruhkan keadaan dengan buat aduan yang tak munasabah.
7. Pastikan kanak-kanak dan bayi ditenangkan.
8. Bertolak ansur dengan penumpang lain.
9. Ikut arahan yang diberikan.
10. Jangan ambil kesempatan untuk memarahi krew atau bertindak melulu.

Adakah anda pernah mengalami peristiwa serupa?

Please follow and like us:
Categories
Travel

Cara Cross Border Lao Cai – Hekou (Vietnam ke China) Melalui Jalan Darat

Tempoh perjalanan selama 18 hari menjadi satu detik yang penting dalam hidup saya. Selain mengembara secara solo, saya juga turut merasai debaran untuk merentasi sempadan Vietnam ke China. Kali ini menggunakan jalan darat.

Beberapa blog berbahasa Inggeris yang ditulis oleh traveler luar Malaysia memberi panduan untuk merentasi sempadan ini. Saya membaca catatan mereka dan tip yang diberikan. Ia sangat membantu saya melalui satu hari yang penuh debaran.

Selepas dua hari berada di Sapa, saya sudah bersedia untuk ke negara China. Sebuah negara yang belum pernah saya lawati. Pada malam sebelumnya saya meneliti semula nota dan panduan yang saya catatkan berdasarkan blog yang saya baca. Ini sebagai persediaan jika saya tidak mendapat akses internet apabila masuk ke negara China.

Sebelum merentasi sempadan ke negara China, pastikan Visa China telah dibuat dahulu semasa di Kuala Lumpur. Saya senaraikan secara ringkas cara memohon Visa China

Cara memohon Visa China di Kuala Lumpur

  1. Visa China boleh dibuat melalui ejen atau terus ke Visa Centre di Hampshire Place.
  2. Saya menghantar sendiri permohonan ke Visa Centre.
  3. Muat turun borang permohonan di laman web ini: https://www.visaforchina.org/KUL_EN/ . Laman ini juga mempunyai banyak maklumat dan panduan untuk membuat permohonan Visa China.
  4. Boleh isi secara online atau cetak borang kosong dan tulis tangan. Saya isi borang online dan kemudian cetak. Permohonan tidak boleh dihantar melalui laman web ini.
  5. Selepas cetak, kepilkan dengan 2 keping gambar berlatar putih. Boleh semak spesifikasi di laman web di atas. Atau katakan sahaja pada jurugambar nak ambil gambar Visa China.
  6. Bawa borang yang sudah lengkap, gambar dan passport ke Visa Centre. Jangan lupa cetak itinerari tiket kapal terbang dan tempahan hotel.
  7. Saya pilih untuk slot appointment bagi menghantar borang permohonan. Ini menjimatkan masa kerana saya tidak perlu beratur panjang semasa menghantar borang permohonan.
  8. Saya hantar borang pada hari yang ditetapkan di Tingkat 5, China Visa Centre, Hampshire Place.
  9. Pada hari keempat, boleh semak status permohonan.
  10. Visa akan ditampal dalam passport. Buat bayaran dan ambil passport di Tingkat 6, China Visa Centre. Saya bayar RM100 untuk visa sekali masuk.

Dari Sapa ke Lao Cai

Saya naik bas awam dari Sapa ke Lao Cai. Tambang bas hanya VND30,000 (RM5.55). Jika anda ke Sapa, pondok bas ini terletak tidak jauh dari gereja berhampiran dataran Sapa. Senang sahaja untuk mencarinya.

Bas mini ini boleh memuatkan tak lebih 20 penumpang. Kekerapannya bas adalah setiap 30 minit. Saya sampai di pondok bas sudah 9.35 pagi. Jadi, saya naik bas seterusnya. Jika anda bawa beg tarik seperti saya, jangan risau. Beg boleh diletakkan di ruang belakang bas. Bas ini bergerak mengikut jadual.

Bas ini akan berhenti di beberapa hentian sepanjang perjalanan ke Lao Cai. Ambil masa kira-kira 1 jam lebih. Hentian akhir ialah Stesen Kereta Api Lao Cai (Ga Lao Cai).

Jadual Bas
Bas mini Lao Cai – Sapa, Sapa – Lao Cai

Lao Cai International Border Gate Administration Center

Jarak dari Ga Lao Cai ke Lao Cai Administration dalam 2km sahaja. Boleh jalan kaki jika nak jimat. Saya panggil Grab sahaja. Tak sampai 5 minit dah sampai. Di Vietnam, mudah untuk dapatkan Grab. Gunakan sahaja aplikasi yang sama. Jika kad bank sudah dipautkan, boleh tolak daripada akaun seperti biasa. Tambang Grab VND35,000 (RM6.30).

Bangunan Lao Cai Administration Center

Lao Cai International Border Gate Administration Center dibuka pukul 7 pagi. Jadi, boleh rancang perjalanan anda jika mahu ke sempadan ini.

Proses di sini senang sahaja. Ramai juga warga Vietnam yang mahu keluar dari sempadan ini. Saya jumpa penumpang yang sama dalam bas dari Sapa. Dia juga mahu ke Kunming. Berjanji dengan rakannya di sini.

Serahkan passport untuk disemak dan saya dibenarkan keluar dari bangunan ini.

Border Gate Vietnam

Friendship Bridge

Keluar dari bangunan, saya lihat Friendship Bridge yang tersergam di depan mata. Tidaklah panjang sangat. Memang serupa dengan gambar yang saya lihat di blog. Perlu berjalan kaki untuk ke seberang dan pergi ke Bangunan Hekao, China.

Selain warga asing seperti saya, ramai ‘pedagang’ yang membawa masuk barang-barang ke Vietnam. Mereka menggunakan ‘kereta tolak’ secara manual. Ya, berjalan kaki dan menggunakan tulang empat kerat untuk menolak ‘kereta’ dengan muatan yang banyak.

Friendship Bridge

Hekou Entry and Exit Inspection Centre, P.R.C

Selepas menyeberang Friendship Bridge, saya masuk ke bangunan Hekou. Urusan imigresen perlu diselesaikan di sini. Saya beratur dalam laluan yang ditetapkan. Selain saya, ada beberapa lagi warga Vietnam. Ada juga orang putih yang mahu ke China.

Waktu di China sama dengan Malaysia. Jadi ada satu jam perbezaan dengan Vietnam. China pukul 1 petang, Vietnam pukul 12 tengah hari.

Rasa berdebar juga, tapi saya bertenang. Saya tak buat salah. Hanya seorang warga Malaysia yang mahu ke China melalui sempadan ini. Tapi saya sudah bersedia jika mereka tanyakan soalan tentang perjalanan saya.

Tiba giliran saya. Sebelum menyerahkan passport di kaunter, seorang pegawai mendekati saya dan melihat passport merah dari Malaysia. Dia menyuruh saya mengikutinya untuk ke tingkat 1.

Agak cuak juga. Tapi buat apa nak takut. Saya yakinkan diri sendiri. Sebelum saya, ada seorang warga Vietnam juga dipanggil untuk disoal. Tapi hanya di bilik bawah.

Di bilik berkenaan, saya diminta duduk berdepan dengan meja yang ada beberapa buah komputer. Pegawai itu memang tidak fasih berbahasa Inggeris. Tapi dia tanya soalan yang asas sahaja seperti berapa lama di China, pergi ke mana dan kerja apa. Saya gunakan Google Translate untuk beri jawapan.

Saya dah bersedia dengan itinerari dan salinan tempahan penginapan di China. Sekiranya mereka tanya, saya boleh tunjukkan. Selain itu, mereka masukkan maklumat tentang diri saya dalam sistem mereka.

Saya turun ke bawah. Saya diminta mengisi borang ketibaan (Arrival Card) dan passport saya disemak. Jari saya diimbas dan seterusnya dilepaskan untuk masuk ke China. Yeay, saya berjaya.

Oh ya, semua beg juga diimbas seperti mana proses biasa di Imigresen.

Selesai urusan, saya keluar dan pasang sim kad China yang saya dah beli di Kuala Lumpur. Saya dapat akses internet dan mencari jalan untuk ke Stesen Kereta Api Hekou (Hekoubei).

Hekou Entry and Exit Inspection Center, PRC

Hekou

Satu pencapaian peribadi apabila berjaya melepasi sempadan Vietnam – China. Lega rasanya dan saya boleh tumpukan pada perjalanan di China pula.

Bandar Hekou ini tidak terlalu sibuk. Tapi inilah pertama kali saya masuk ke negara China. Bendera China berkibar di deretan kedai. Tidak sunyi. Ruang pejalan kaki luas dan rata. Mudah juga menarik beg di sini.

Oleh sebab saya dah beli tiket kereta api ke Kunming, saya perlu ke Hekoubei dengan segera. Tidak sempat mahu berjalan-jalan di sekitar kawasan sempadan. Saya naik teksi ke Hekoubei dan bayar tambang 10 yuan.

Keluar dari bangunan Hekou

Tiket Kereta Api ke Kunming

Semasa menyemak tiket kereta api dari Hekou ke Kunming, ada dua pilihan. Pukul 1 lebih dan 5 lebih. Saya tidak mahu ambil risiko dengan menempah tiket awal. Lebih baik beli tiket yang lambat sedikit. Jadi, saya ada cukup masa untuk ke stesen.

Selamat datang ke China.

Deretan kedai berhampiran sempadan.

Tip untuk melepasi sempadan Lao Cai – Hekou (Vietnam – China)

  1. Pastikan Visa China sudah diperolehi.
  2. Bersedia dengan passport dan Visa.
  3. Cetak itinerari di China dan simpan juga dalam telefon pintar anda.
  4. Sediakan juga tempahan penginapan.
  5. Tidak perlu takut. Berdebar-debar tu biasa.
  6. Jawab sahaja soalan yang ditanya.
  7. Jangan tunjukkan wajah yang mencurigakan.
  8. Bertenang sahaja.
  9. Jangan bawa barang yang banyak.

Semoga berjaya. Ini adalah sebahagian pengalaman saya sepanjang travel 18 hari ke Vietnam dan China. Boleh baca itinerari di sini.

Please follow and like us:
Categories
Travel

Travel 18 Hari Ke 6 Bandar, 2 Negara (Hanoi, Sapa, Hekao, Dali, Lijiang dan Kunming)

Perjalanan selama 18 hari berjaya kuselesaikan. Bermula pada minggu akhir bulan Oktober dan kembali ke Kuala Lumpur pada minggu pertama bulan November. Sepanjang tempoh itu juga, saya tak mengemas kini blog ini. Cuma ada update di Facebook serba sedikit tentang bandar yang saya lawati.

Tak pernah travel dalam tempoh lebih 10 hari. Tak pernah travel seorang diri ke negara asing. Dalam episod perjalanan kali ini, empat hari pertama di Hanoi saya berjalan secara berkumpulan. Kemudian, bergerak ke Sapa, Vietnam secara solo sehingga tamat travel yang berakhir di Kunming, China.

Satu lagi pengalaman berharga ialah saya berjaya melepasi sempadan Vietnam – China melalui Lao Cai (Vietnam) dan Hekao (China). Banyak nak cerita. Saya kongsikan dahulu itinerari sepanjang 18 hari. Mungkin ada yang sedang merancang untuk pergi ke salah satu bandar ini atau ke beberapa bandar yang berdekatan.

Hari 1 – Hanoi, Vietnam

Penerbangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi pukul 9.00 pagi. Ambil Grab untuk ke Spoon Hotel di Old Quarter Hanoi. Simpan beg, bilik belum sedia untuk daftar masuk. Kami jalan kaki ke Hoan Kiem Lake. Lepak di Highlands Coffee. Sebelah petang, pergi ke Masjid An-nour dan jalan-jalan di Public Art for Better Space (Vietnam-Korea) Street. Makan malam di DLions Restaurant (Halal).

Public Art for Better Space

Hari 2 – Hanoi, Vietnam

Berkumpul di Opera House Hanoi pukul 8.30 pagi. Naik bas mini ke Ninh Binh mengikuti pakej trip harian. Kami beli baucar di Klook. Dua tempat yang dilawati ialah Bai Dinh dan Trang Anh. Kembali dari trip, singgah sebentar di Hanoi Egg Coffee. Harga baucar RM103.

Bai Dinh
Trang Anh

Hari 3 – Hanoi, Vietnam

Mengikuti kumpulan trip ke Halong Bay. Naik bas mini melalui lebuh raya kira-kira 2 jam. Kemudian, perlu naik bot yang di jeti khas ke Halong Bay. Dua kumpulan bergabung dalam bot. Jumlah penumpang hampir 30 orang. Kami makan tengah hari dalam bot. Kemudian, singgah sekejap di Titop Island. Mendaki ke puncak kira-kira 30 minit. Naik semula ke bot dan dibawa pusing sekitar pulau-pulau Halong Bay. Harga pakej RM190 termasuk pengangkutan bas pergi balik ke bandar, bot, makan tengah hari dan bayaran masuk. Tiba di hotel pukul 8.30 malam.

Pemandangan dari Titop Island

Hari 4 – Hanoi, Vietnam

Makan di Batavia Restaurant, sebuah restoran Indonesia. Pergi ke Dong Xuan Market dengan Grab. Membeli-belah cenderamata dan kopi Vietnam. Bergerak ke Stesen Kereta Api Hanoi untuk naik kereta api malam ke Lao Cai pada pukul 9.30 malam. Tiket kereta api (sleeper berth deluxe) berharga VND822,000.

Tiba di Lao Cai

Hari 5 – Sapa, Vietnam

Tiba di Lao Cai pada pukul 6.30 pagi. Naik bas awam untuk ke Sapa. Lokasi bas tidak jauh dari pintu keluar Stesen Kereta Api Lao Cai. Bayar VND30,000 kepada pemandu bas. Perjalanan ke Sapa ambil masa hampir 2 jam. Turun bas dan jalan kaki ke Sapa Elegance Hotel, tidak jauh dari gereja. Letak beg dan keluar semula untuk ke Cat Cat Village. Bayaran masuk VND70,000. Kembali ke hotel dengan membonceng motosikal orang kampung. Upahnya VND40,000. Daftar masuk hotel dan rehat sebab keletihan. Pada sebelah malam, keluar ke dataran Sapa untuk menyaksikan persembahan nyanyian dan tarian orang tempatan. Selesai persembahan, jalan-jalan di sekitar dataran dan melihat barang yang dijual penduduk.

Salah satu spot Instagram di Cat Cat Village
Dataran Sapa, malam minggu.

Hari 6 – Sapa, Vietnam

Selepas sarapan, pergi ke Sapa Station untuk beli tiket ke Fansipan Mountain. Beli tiket kereta api untuk ke stesen kereta kabel Fansipan. Bayaran masuk VND750,000. Beratur dan naik kereta kabel. Mendaki anak tangga untuk sampai ke bahagian atas. Kabus tebal dan tangga licin. Turun semula menaiki kereta kabel dan kembali ke Sapa Station. Jalan-jalan di sekitar kawasan pusat bandar Sapa. Mahu ke Hamrong Mountain, tapi sudah lewat. Perlu mengemas beg untuk bergerak keesokan hari ke sempadan.

Fansipan Mountain

Hari 7 – Sempadan Vietnam – China (Lao Cai – Hekao)

Keluar dari hotel dan naik bas awam untuk ke Lao Cai pukul 10.00 pagi. Tiba di Lao Cai pukul 11.30 pagi dan ambil Grab untuk ke Lao Cai Administration Centre. 10 minit sahaja sudah sampai. Selesaikan urusan imigresen di sempadan. Keluar dari bangunan dan berjalan kaki merentasi Friendship Bridge. Selamat datang ke China. Masuk bangunan imigresen Hekao. Passport disemak dan beg diimbas. Urusan selesai. Tahan teksi untuk ke Stesen Kereta Api Hekao (Utara) atau Hekaobei. Tukar semua baucar Trip.com dengan tiket kereta api. Naik kereta api laju pukul 6.12 petang dan tiba di Kunming pukul 9.30 malam. Naik subway ke Chunrong Street dan daftar masuk Jiayoulong Boutique Hotel.

Lao Cai Administration Center
Friendship Bridge

Hari 8 – Dali, Yunnan, China

Daftar keluar hotel pukul 6.20 pagi, terus naik subway ke Kunming South Station. Cari platform untuk naik kereta api laju ke Dali. Kereta api bergerak pukul 7.38 pagi dan tiba di Dali pada pukul 10.00 pagi. Jalan kaki kira-kira 2 km dari Stesen Kereta Api Dali ke Jinjiang Inn Select (Dali Erhai Park). Daftar masuk hotel. Kira-kira 1.30 petang, jalan semula ke hentian bas bersebelahan stesen kereta api. Naik bas no 8 untuk ke Dali Ancient Town. Pukul 2.40 tiba di Dali Ancient Town. Jalan-jalan sampai lenguh dan kembali ke hentian bas pada pukul 6.00 petang. Naik bas no 8 dan tiba di bandar pada pukul 6.45 petang. Rehat di hotel.

Dali Ancient Town

Hari 9 – Dali ke Lijiang, Yunnan, China

Pagi berjalan di sekitar kawasan hotel hingga stesen kereta api Dali. Cari makanan halal dan makan mi tarik pedas di sebuah kedai Muslim tidak jauh dari stesen. Balik semula ke hotel untuk daftar keluar pukul 1.30 petang. Jalan kaki ke stesen kereta api. Masuk ke platform dan naik kereta api ke Lijiang. Bergerak pukul 2.38 petang dan tiba di Lijiang pada pukul 5.15 petang. Hari menjelang senja. Naik teksi untuk ke Bayou Youth Hostel berhampiran Lijiang Old Town.

Makan mi tarik di sini.

Hari 10 – Lijiang, Yunnan, China

Pagi jalan kaki ke Black Dragon Pool tidak jauh dari hostel. Bayaran masuk 50 yuan. Cuaca baik dan jalan kaki ke beberapa kawasan menarik di situ. Terus berjalan ke Lijiang Old Town dan luangkan masa sehingga pukul 3 petang sebelum kembali ke hostel. Rehat sebentar sebelum keluar semula untuk makan malam di kedai Muslim tidak jauh dari hostel.

Black Dragon Pool
Haruslah selfie.

Hari 11 – Lijiang, Yunnan, China

Bangun awal dan bersiap untuk ke Jade Dragon Snow Mountain. Naik kereta bersama empat orang lagi pelancong China. Singgah di kedai sewa baju sejuk dan beli botol kecil O2. Masuk ke kawasan Jade Dragon Snow Mountain. Bayaran masuk diuruskan pemandu. Ada penerangan ringkas oleh staf bertugas. Selepas itu pergi ke ruang menunggu untuk naik kereta kabel. Sampai di bahagian atas, perlu naik anak tangga untuk sampai pada ketinggian 4680 meter. Turun semula dan naik bas elektrik untuk pergi ke Blue Moon Valley. Kembali ke hostel kira-kira pukul 6 petang.

Jade Dragon Snow Mountain

Hari 12 – Tiger Leaping Gorge, Shang-ri La, Yunnan, China

Keluar dari hostel pukul 7 pagi dan ambil teksi untuk ke simpang empat Minzu Road. Naik bas untuk ke Tina’s Guesthouse. Bas berhenti di pejabat Shangri-La Scenic Area untuk bayar tiket masuk 45 yuan. Bas teruskan perjalanan ke Tina’s Guesthouse berhampiran Middle Tiger Leaping Gorge. Hubungi staf Tibet Guesthouse untuk pick-up. Daftar masuk Tibet Guesthouse berhampiran Walnut Groove. Jalan kaki untuk ke Middle Tiger Leaping Gorge. Bayar 15 yuan untuk penduduk kampung. Turun anak tangga berbatu hingga ke Middle TLG. Ambil masa 2 jam untuk sampai ke bawah. Selepas berehat dan bergambar, mendaki ke Sandy’s Guesthouse. Jalan yang berbeza. Lebih pendek dan curam. Ambil masa 1 jam untuk tiba di atas.

Middle Tiger Leaping Gorge

Hari 13 – Tiger Leaping Gorge, Shang-ri La, Yunnan, China

Selepas sarapan, jalan kaki ke kampung di bahagian bawah. Kedudukan kampung tidak jauh dari Tibet Guesthouse. Nampak sungai dengan pemandangan yang berbeza. Kemudian, naik semula ke Tibet Guesthouse. Ambil masa kira-kira 3 jam. Petang rehat dan santai-santai sahaja di bilik.

Tibet Guesthouse

Hari 14 – Lijiang ke Kunming, Yunnan, China

Jalan ke Walnut Grove Village. Kira-kira 12 tengah hari kembali ke Tibet Guesthouse untuk bersiap kembali ke Lijiang. Bas bergerak dari Tina’s Guesthouse pukul 3.30 petang. Tiba di Lijiang pukul 5.30 petang. Jalan kaki untuk ke Bayou Youth Hostel melalui Minzu Road. Makan nasi dan sup daging di salah sebuah kedai Muslim. Perlu ambil beg tarik sebelum bergerak ke Stesen Kereta Api Lijiang. Pergi ke platform untuk naik kereta api malam ke Kunming. Bergerak dari Lijiang pada pukul 9.30 malam dan tiba di Kunming pada pukul 6.20 pagi.

Minzu Road

Hari 15 – Kunming, Yunnan, China

Tiba di Stesen Kunming. Naik subway ke stesen Kunming North Railway. Cari Home Inn Hotel tidak jauh dari stesen. Jalan kaki 350 meter. Simpan beg dan keluar semula untuk ke Dragon Gate di Western Hills. Bayaran masuk 30 yuan dan bas ke bahagian atas 25 yuan. Mendaki tangga untuk sampai ke Dragon Gate. Keluar dari Western Hills pukul 12.30 tengah hari. Naik subway ke Dongfeng Square dan makan tengah hari di kedai Muslim. Balik ke hotel dan rehat.

Dragon Gate, Western Hills

Hari 16 – Kunming, Yunnan, China

Keluar pagi untuk ke East Coach Station. Naik bas ekspres ke Shilin Stone Forest. Bayar 34 yuan. Perjalanan kira-kira sejam setengah. Tiba di Shilin pukul 11.30 pagi. Bayaran masuk 130 yuan dan bas elektrik 25 yuan. Jalan-jalan sekitar kawasan Shilin Stone Forest. Keluar pukul 3.30 petang dan naik bas. Bayar 34 yuan untuk bas ekspres ke Kunming. Bas bergerak pukul 4 petang. Tiba di Kunming dan pergi ke Masjid Yongning. Makan malam di restoran dalam kawasan masjid.

Shilin Stone Forest

Hari 17 – Kunming, Yunnan, China

Jalan kaki ke Green Lake dari hotel. Kira-kira 2 km. Pusing sekitar Green Lake sebelum naik bas untuk ke Yunnan Nationalities Village. Bayaran masuk 90 yuan. Beli Flower Cake di salah sebuah kedai Halal. Melawat beberapa rumah etnik Yunnan termasuk etnik Hui yang beragama Islam. Sebuah masjid didirikan. Tidak besar tapi boleh solat di situ. Keluar dari Yunnan Nationalities Village, kami naik bas ke Wuhua. Cari kedai makanan halal di Jinggou Street. Selepas itu, jalan kaki je Nantong Street. Jalan ditutup untuk kenderaan. Kawasan ini terkenal dengan tempat membeli-belah. Berhampiran Nantong Street adalah Kunming Old Street Scenic Area.

Yunnan Nationalities Village

Hari 18 – Kunming ke Kuala Lumpur

Pergi ke Guandu Ancient Town. Naik subway ke Erji Road dan jalan kaki kira-kira 2 km. Sepanjang jalan ke Guandu, jumpa beberapa kedai makan Halal. Sampai di Guandu, masuk pasar pagi yang sedang sibuk dan meriah. Nak tengok suasana di pasar. Ada beberapa gerai daging Halal. Selepas itu jalan sikit ke Guandu Ancient Town. Tiada bayaran masuk. Kawasan tidak besar. Ada pagoda dan kedai menjual cenderamata. Keluar dari Guandu kira-kira pukul 12 tengah hari. Singgah makan di salah sebuah kedai makan Halal di Erji Road. Naik subway untuk ke North Kunming Railway. Keluar dari hotel pukul 2 petang dan naik subway ke Airport Center untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui. Drop off bagasi dan bersedia untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada pukul 5.55 petang.

Tip Memohon Visa China

Permohonan boleh dibuat sendiri atau melalui ejen. Saya buat permohonan sendiri melalui laman web Visa Centre China Malaysia.
1. Isi borang permohonan secara online.
2. Semak semua maklumat sudah dimasukkan dengan betul.
3. Cetak borang permohonan dan kepilkan dua keping gambar. Lihat spesifikasi gambar Visa di laman web.
4. Boleh pilih slot untuk janji temu (appointment) untuk menghantar borang permohonan Visa di Visa Centre, Hampshire Place. Ini akan menjimatkan masa dan tidak perlu beratur panjang.
5. Kepilkan salinan itinerari penerbangan dan tempahan penginapan di China.
6. Hantar borang permohonan terus ke Visa Centre. Borang tidak boleh dihantar secara online.
7. Tunggu permohonan diluluskan. Permohonan biasa selesai dalam tempoh 4 hari bekerja. Jika mahu urgent, bayaran permohonan lebih tinggi. Boleh klik sini untuk jadual bayaran.
8. Ambil sendiri Passport dan Visa di Visa Centre. Bawa slip permohonan dan buat bayaran.
Jika tidak sempat atau sibuk, boleh gunakan khidmat ejen dengan bayaran perkhidmatan. Cuma pastikan masa mencukupi sebelum tarikh travel ke China.

Aplikasi dan sim kad telefon untuk China

Saya download beberapa aplikasi penting untuk digunakan di China. Vietnam tiada masalah. Boleh guna Google Maps dan capaian Internet sangat bagus. Hanya perlu beli sim kad atau guna Wifi Modem. Saya beli sim kad daripada Helo1010. Satu kad Mobifone Vietnam untuk 30 hari, harga RM35. Satu kad ChinaCom China untuk 15 hari, harga RM65.

Sim kad China yang saya beli ini tak perlu guna VPN (Virtual Private Network). Saya boleh akses hampir semua aplikasi seperti Facebook, Instagram dan Gmail. Cuma Google Maps tak berfungsi dengan baik di China.

Jadi, saya muat turun MAPS.ME dan Baidu Maps untuk peta. Aplikasi Translator untuk komunikasi. WeChat untuk komunikasi dengan hotel atau kenalan China. Dalam WeChat boleh translate terus perbualan kita. Kalau boleh, pautkan kad bank dengan WeChat. Nanti boleh cuba buat bayaran menggunakan WeChat. Saya tak buat semasa di Malaysia. Jadi, agak leceh sedikit sebab perlu pasang sim kad Malaysia dan sebagainya.

Selain itu, siapa yang guna Digi lebih senang. Boleh ambil pakej data roaming 3 hari RM25. Jimat juga dan tak perlu beli sim kad asing.

Masuk ke tempat tarikan dan Scenic Area

Saya naik kereta kabel di Fansipan Mountain, Sapa dan Jade Dragon Snow Mountain, Lijiang. Sayangnya, cuaca tak berapa bagus dan saya tak dapat menikmati pemandangan yang cantik. Seeloknya semak dulu cuaca dan jika mendung atau hujan, langit berawan tebal baik tangguhkan dulu dan pergi hari lain. Kos nak masuk itu mahal juga. Kalau dapat biarlah berbaloi. Macam saya sebab tak boleh berlama-lama dan perlu bergerak ke tempat lain, jadi saya masuk juga. Bergantung kepada minat masing-masing.

Kebanyakan Scenic Area di Yunnan, ada bayaran masuk. Boleh semak dan plan perjalanan dan budget. Tempat bersih dan kawasan luas. Jika perlu, boleh bayar tambahan untuk naik bas elektrik. Tambang bas dan subway di Kunming murah dan berbaloi. Beli tiket di mesin automatik, ada menu Bahasa Inggeris.

Sumber: Travel China Guide

Tip travel solo buat kali pertama

  1. Jangan bawa barang banyak sangat atau berat. Tengok kemampuan sendiri. Saya bawa beg tarik sebab tak suka bawa beban beg belakang. Beg tarik saya beratnya dalam 12 kg. Ada satu sling bag dan beg belakang yang sederhana untuk kabin. Cuba jadi minimalist traveller.
  2. Jika travel lama, boleh kurangkan shopping. Saya tak shopping sangat kali ini. Jadi minta maaf la kawan-kawan tiada cenderamata nak beri.
  3. Sentiasa berhubung dengan kawan atau keluarga di tanah air. Tidaklah sunyi sangat. Sebab, bayangkan 14 hari tak bercakap Bahasa Melayu. Kena berkomunikasi guna Translator. Aduhai… memang kuota bercakap jadi sangat minimum.

Ada banyak lagi tip nak kongsi. Nanti saya buat entri blog lain. Happy travelling.

Please follow and like us:
Categories
Blog Travel

Kemahiran yang Saya Mahu Pelajari Tahun ini

Tinggal empat bulan berbaki tahun 2019. Apa yang saya boleh lakukan dalam suku tahun terakhir ini? Sudah pasti kerja penulisan dan penerbitan buku diteruskan, walaupun agak perlahan.

Dalam entri lalu, saya menyebut yang saya mahu belajar fotografi. Ia satu kemahiran. Saya akan cuba juga buat tahun ini. Perlu mengumpul modal untuk membayar yuran ke kelas fotografi. Moga tertunai impian saya.

Selain belajar fotografi, saya juga ingin belajar travel dengan ringkas dan ringan. Selalunya saya akan travel dengan kawan-kawan secara berkumpulan lebih 5 orang. Meriah la juga.

Saya akan melakukan sesuatu yang berbeza sedikit pada bulan Oktober nanti. Saya akan travel dari Hanoi ke Kunming. Travel berdua sahaja. Kami perlu cross-border di sempadan Vietnam-China, satu bandar bernama Lao Cai. Saya perlu memohon visa China dalam masa terdekat ini.

Tempoh perjalanan juga lebih panjang daripada biasa. 18 hari. Oh… bagaimana saya mahu rancang pakaian dan barang yang hendak dibawa? Ini juga satu kemahiran. Saya tak mahu bawa beban yang berat. Tapi, cukup untuk saya berada di negara orang dalam tempoh hampir tiga minggu.

Teman perjalanan saya ini baru sahaja kembali dari Turki. Berada 25 hari di Turki. Lama kan? Jadi saya agak yakin juga dengan prospek perjalanan kami pada bulan Oktober nanti.

Sekarang ini saya memikirkan untuk merakam pengalaman hampir 20 hari itu dalam sebuah buku. Semoga berhasil.

Writing prompt Ogos 2019: Pakaian tradisional
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us: