Categories
Puisi Vlog

Terima Kasih 2020

366 hari yang mengesankan
tidak bergerak yang sepertinya kita harapkan
virus yang menyerang buat kita terpinga
memaksa kita terkurung terpenjara
dalam ruang yang sempit
dan masa yang terus berlalu

aku, kau dan kita semua
berusaha melawan
berusaha keluar daripada kekangan
dengan apa jua cara
supaya aku, kau dan kita semua
tidak terus kelemasan
jatuh dan tersungkur

dalam banyak kisah sedih, kecewa dan derita
masih ada yang menikmati bahagia dan cinta
yang menemui makna dan nyala rasa
kerana dunia yang seolah berhenti sejenak
memaksa kita lebih peka
tentang apa dan siapa yang penting dalam hidup kita

terima kasih
suatu hari nanti kita akan menyingkap
jendela memori dua puluh dua puluh
dan cerita tentang saat sukar dan susah
yang pantas kita lalui
dengan berani dan bangkit kembali
dan kita mampu mengatakan
tahniah buat diri
kerana kita berjaya harungi segala kepayahan ini

Selamat Tahun Baru 2021
9.50 malam, 31 Disember 2020
Johor Bahru.

FB Live 31 Disember 2020, 9 malam
Please follow and like us:
Categories
Travel Vlog

Tentang Bendang di Sungai Besar dan Terusan Ban Kenal di Sekinchan

Ikutkan resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Perumpaan Melayu yang mengingatkan kita supaya merendah diri, tidak berlagak pandai dan lebih menghormati orang lain apabila mempunyai ilmu dan kepakaran.

Daripada benih menjadi padi, padi dituai menjadi beras, beras ditanak menjadi nasi. Elok benar orang lama memerhatikan alam dan menjadi panduan untuk kita pula.

Bagaimana rupanya padi yang berisi itu?

Saya membesar di Johor Bahru. Pemandangan bendang dan musim padi sememangnya asing buat saya. Saya lebih mengenali ladang getah, pokok getah yang ditoreh mengeluarkan susunya dan bermain biji getah sewenangnya semasa zaman kanak-kanak.

Peluang singgah ke Sungai Besar atas jemputan kenalan saya digunakan sepenuhnya sementara saya berada di Selangor. Menurut Fatimah, bulan ini paling sesuai untuk melihat sawah padi yang menghijau. Pokok-pokok padi mula meninggi dan cantik sekali pemandangannya untuk ber’OOTD’ (peragaan hari ini).

Saya dan adik memandu ke Sungai Besar dari Cheras. Perjalanan selama 2 jam 30 minit tidak terasa sangat kerana cuaca pun baik. Tidak terlalu panas dan jalan juga tidak sesak. Dalam perjalanan ke Sungai Besar, kami singgah sebentar di Warung Ibu untuk membeli Nasi Ambeng.

Nasi Ambeng ini terkenal sebagai hidangan lengkap masakan orang Jawa. Nasi putih dengan ayam masak kicap, sambal goreng, mi goreng dan serunding. Soto juga turut dijual di sini. Kelihatan ada pelanggan yang makan di sini dan ramai juga yang membeli set nasi untuk dibawa pulang.

Meja disusun berjarak mematuhi SOP.
Set Nasi Ambeng bungkus – RM10 satu bekas.

Tiba sahaja di rumah keluarga Fatimah, kami dijamu dengan makan tengah hari yang enak sekali. Ketam masak cili, sup tulang dan sayur lemak membangkit selera. Segan juga rasanya, tapi kita makan dengan berselera meraikan tuan rumah yang menyediakan hidangan istimewa untuk kami.

Fatimah dan Munir yang baik hati membawa saya dan adik ke petak sawah di Parit 3 1/2 dan Parit 4. Mencari palong (laluan air) di bendang untuk bergambar. Beberapa orang kanak-kanak berkejaran ke tengah bendang. Seronok betul mereka keluar dan bermain-main.

Ketika ini, sawah padi di Sungai Besar sudah menghijau. Belum banyak padi yang berbuah, tapi ada di celah-celahnya padi angin yang menjulang. Padi ini mesti dicabut dan dibuang, supaya tidak mengganggu pokok padi yang lain.

Palong di Sungai Besar.

Kami bergerak ke Sekinchan pula. Tidak jauh dari Sungai Besar, tapi padinya sudah menguning. Rupanya musim padi ini seolah-olah ‘bergerak’ apabila kita berjalan dari Sungai Besar ke arah selatan.

Di Sekinchan, bendangnya sudah berwarna kuning keemasan dengan buah padi penuh berisi. Buah padi berat menunduk dan sedia untuk dituai. Mungkin satu atau dua hari lagi, mesin penuai padi akan menjalankan kerjanya.

Sawah di Sekinchan.

Usai bergambar, kami memulakan perjalanan pulang ke Cheras. Singgah sekejap di Warung Tebu Kampung Sg Dorani dan Pasar Jerami Ban Kenal. Kawasan ini menjadi viral dan tempat yang sesuai untuk bergambar.

Ban Kenal ialah terusan (canal) yang dibina semasa zaman British untuk tujuan pengairan sawah. Sehingga hari ini, terusan ini menjadi punca air utama bagi sawah padi di sekitar kawasan ini.

Pasar Jerami Ban Kenal ini menjadi tumpuan orang yang datang dari luar Sungai Besar dan Sekinchan. Gerai-gerai menjual pelbagai snek dan makanan. Suasana petang yang meriah. Dengan kelonggaran PKPB yang diberikan, orang ramai mula keluar dan mengambil angin di luar Kuala Lumpur.

Kebanyakan homestay di kawasan ini juga penuh pada hujung minggu lalu. Kelihatan juga kumpulan bikers yang singgah di kedai popular seperti restoran yang menyediakan mi udang dan kedai menjual hidangan istimewa mentarang.

‘Jeti’ kecil untuk bergambar di Pasar Jerami Ban Kenal

Terima kasih kepada Fatimah dan keluarga yang sudi melayan kami berjalan-jalan di sekitar kawasan Sungai Besar dan Sekinchan. Seharian rasanya tidak cukup untuk merakam dan menikmati keindahan bendang di kawasan ini.

Insya-Allah kami akan datang lagi dan bermalam. Dan semestinya mahu merakam matahari terbit di ufuk timur dan terbenam di kaki langit. Pasti indah sekali dengan pemandangan sawah padi yang menguning.

Facebook Live, 14 Disember 2020

Boleh ikuti saya di media sosial:
YouTube: Norsa’adah Ahmad
Facebook: Norsa’adah Ahmad
Facebook Page: Norsa’adah Ahmad
Laman web penerbit: Dua Penulis
Facebook Page: Dua Penulis

Please follow and like us:
Categories
Buku Travel Vlog

Bagaimana Saya Menulis Travelog

Buku pertama yang saya dan sahabat saya terbitkan ialah buku travelog Melbourne & Sydney dalam 10 Hari. Buku yang menjadi rakaman kenangan kami ke negara Australia buat kali pertama. Kami menjejakkan kami ke Melbourne pada bulan April 2015.

Sebelum memulakan perjalanan, kami sudah merancang untuk menulis buku travelog. Walaupun ia adalah percubaan pertama, kami melakukan perancangan menulis sebelum bermulanya percutian itu.

Travelog ialah penulisan tentang perjalanan. Selain itu, video atau filem yang menceritakan sebuah perjalanan juga disebut sebagai travelog.

Dalam video ini saya berkongsi tip menulis travelog sebelum, semasa dan selepas perjalanan anda. Sehingga kini saya telah menulis tiga judul travelog dan sedang menyiapkan buku Hanoi ke Kunming, sebuah catatan perjalanan secara solo.

Tonton video ini untuk perkongsian lebih lanjut tentang bagaimana saya menulis travelog.

FB Live 7 Disember 2020

Boleh ikuti saya di media sosial:
YouTube: Norsa’adah Ahmad
Facebook: Norsa’adah Ahmad
Facebook Page: Norsa’adah Ahmad
Laman web penerbit: Dua Penulis
Facebook Page: Dua Penulis

Please follow and like us:
Categories
Travel Vlog

Mengapa Saya Travel Secara Solo

Saya terpaksa travel solo. Perkara yang saya tak pernah fikirkan secara serius walaupun berkawan dengan ramai kenalan yang pernah travel secara solo. Tahun lalu, sebelum bermulanya pandemik COVID-19, saya berpeluang ke Vietnam dan China selama 18 hari.

Tempoh perjalanan yang panjang daripada kebiasaan saya. Selalunya saya bersama sekumpulan rakan pergi melancong selama 8 atau 10 hari seperti yang saya lakukan semasa ke Melbourne dan Sydney dan Tokyo dan Osaka.

Malahan semasa trip Campervan di New Zealand juga, saya pergi bersama beberapa orang rakan lain. Maka, pengalaman travel secara solo adalah cabaran besar bagi saya.

Keadaan ini berlaku apabila teman perjalanan saya tak dapat bersama pada saat akhir atas tuntutan kerja. Saya terpaksa merancang perjalanan sendirian dengan bantuan kenalan rapat. Pada ketika saya hampir mengalah dan mahu membatalkan perjalanan ke Sapa hingga Kunming, mereka ini yang memberi dorongan kuat untuk saya meneruskan kembara sendirian.

Syukur saya berjaya melakukan travel secara solo dan merentasi sempadan Vietnam dan China melalui jalan darat di Hekao.

Dalam video ini saya berkongsi beberapa perkara yang saya pelajari selepas melakukan perjalanan solo ini, antaranya:
1. Sentiasa bersedia dan mencari maklumat tentang tempat dan laluan sepanjang tempoh kembara.
2. Menyesuaikan diri dengan tuntutan masa dan jadual perjalanan
3. Berani menyapa orang asing supaya tidak sesat
4. Jangan berharap pada orang lain. Berani membuat keputusan.
5. Menjaga kesihatan diri.

Facebook Live pada 3 Disember 2020.

Boleh ikuti saya di media sosial:
YouTube: Norsa’adah Ahmad
Facebook: Norsa’adah Ahmad
Facebook Page: Norsa’adah Ahmad
Laman web penerbit: Dua Penulis
Facebook Page: Dua Penulis

Please follow and like us:
Categories
Gaya Hidup Vlog

Bagaimana Saya Menurunkan Berat Badan

Saya gembira apabila berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 9kg dalam tempoh lebih setahun. Pada mulanya saya merasakan penurunan berat badan saya sangat perlahan dan hampir putus asa. Ketika berat saya mencecah BMI obesiti, saya tekad untuk melakukan sesuatu supaya berat saya tidak terus bertambah.

Saya mencuba intermittent fasting, bermula dengan 14:10; iaitu 14 jam puasa dan 10 jam untuk tempoh makan. Intermittent fasting ialah kaedah berpuasa atau tidak makan tapi masih boleh minum air kosong dalam tempoh beberapa jam. Kita boleh menyesuaikan diri dengan waktu makan. Contohnya, melambatkan waktu mengambil sarapan pada pukul 10 pagi dan masa terakhir makan ialah pada pukul 8 malam.

Saya tidak melakukan IF secara berdisiplin. Maka, penurunan berat saya agak perlahan. Kemudian, saya mula berjoging 5km sehari sebagai satu usaha untuk menurunkan berat badan. Saya jadikan aktiviti ini rutin baharu bermula pada bulan Julai 2020.

Satu perkara yang mendorong saya untuk mengamalkan gaya hidup sihat ialah panggilan untuk menunaikan haji pada tahun ini. Walaupun tidak dapat pergi kerana pandemik, saya sedar yang saya perlu membina stamina dan penting untuk mencapai berat yang ideal. Ini akan memudahkan saya melakukan ibadah Haji apabila tiba masanya.

Selain daripada itu, saya mula mengambil cuka epal setiap hari dengan sukatan satu sudu besar + segelas air sejuk setiap pagi. Kesannya baik untuk tubuh saya apabila saya tidak rasa lapar pada awal pagi. Dengan cara ini, saya boleh makan lewat sedikit atau terus makan tengah hari.

Dalam video ini, saya kongsikan pengalaman menurunkan berat badan. Bagi anda yang mahu mengurangkan berat badan, jangan putus asa. Walaupun dengan penurunan yang sedikit tapi anda konsisten dengan cara pemakanan yang lebih sihat, anda akan berjaya mencapai berat yang ideal.

Buat masa ini, BMI saya masih lagi dalam lingkungan overweight. Saya perlu turun 3kg-5kg lagi untuk mencapai BMI normal. Semoga berjaya.

Facebook Live pada 2 Disember 2020

Boleh ikuti saya di media sosial:
YouTube: Norsa’adah Ahmad
Facebook: Norsa’adah Ahmad
Facebook Page: Norsa’adah Ahmad
Laman web penerbit: Dua Penulis
Facebook Page: Dua Penulis

Please follow and like us: