Inspirasi usahawan

Dari dapur rumah ke anjung istana

faridatul azna - gambar

Bemula sebagai aktiviti masa lapang

Siapa sangka hobi di dapur membawa seorang suri rumah ke tahap yang membanggakan pada hari ini. Puan Farida Ismail pada mulanya membuat kek cawan comel dan beberapa jenis kek asas untuk dijamu kepada jiran dan keluarga. Selepas tiga tahun berhenti kerja untuk menumpukan perhatian pada si cilik, beliau memulakan bisnes bakeri secara kecil-kecilan.

Membakar kek pisang dan menghias kek comel dengan krim atau disebut sebagai ‘frosting’ adalah sesuatu yang baru padanya. Beliau membawa kek yang disediakan ke majlis kenduri. Kenalan dan jiran tetangga memberi maklumbalas yang baik. Salah seorang jirannya memberi keyakinan dan menjadi pelanggan pertama dengan menempah kek.

Sejak dari itu, beliau semakin sibuk memenuhi permintaan pelanggan. Pada masa itu, pelanggan mengenali beliau melalui hebahan mulut ke mulut. Tiada media sosial atau blog untuk mengiklankan produk yang dihasilkan.

Beliau mendaftarkan Planet Cakes untuk memudahkan urusan perniagaan. Pada masa itu, ia hanyalah aktiviti sampingan untuk menjana pendapatan dari rumah. Mereka yang pernah mencuba kek dan manisan yang disediakan oleh Planet Cakes mengakui keenakannya. Ada rakan yang meminta beliau untuk mengajar resepi dan cara penyediaan kek yang popular.

Kemunculan ramai ‘home bakers’ sedikit sebanyak mempopularkan permintaan kek yang ditempah khas. Bagaimana ingin tampil berbeza? Beliau belajar membuat kek perkahwinan dengan rekaan yang moden dan kontemporari. Kreativiti dan kesungguhan menjadi rencah utama dalam menghias dan mereka kek perkahwinan.

Dengan kemahiran yang ada, beliau mula berkongsi ilmu dengan ‘home bakers’ yang lain. Dapur di rumah menjadi medan menghasilkan kek yang menawan dan mengajar peserta pelbagai resepi dan rekaan kek. Beliau juga seringkali dijemput oleh akademi bakeri di Bangi untuk mengajar teknik yang betul dalam menghias kek.

Tempahan dari Istana

“Kalau ada tempahan yang you tak boleh buat, jangan tolak. Beritahu I. Kita usahakan.” Puan Farida menyatakan kesanggupannya pada seorang rakan yang mengusahakan bisnes yang sama.

Keyakinan dan debaran silih berganti apabila rakan beliau menghubunginya untuk menghasilkan kek sembilan tingkat untuk Majlis Ulangtahun ke-62 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2010. Mereka turut menyediakan 24 biji kek lain untuk dihidangkan kepada 1,000 orang tetamu pada majlis itu.

Pada hari sambutan, mereka bertolak ke Istana Seri Menanti sebelum subuh. Kek mesti siap sedia di meja utama sebelum jam 8 pagi. Membawa kek ke istana bukan kerja yang mudah. Kek mesti disusun dengan elok dalam kenderaan. Kemudian, kenderanan dipandu berhati-hati agar kek tidak rosak atau cela semasa dalam perjalanan. Jarak dari Shah Alam hingga ke Seremban terasa amat jauh sekali.

Apabila tiba di istana, kerja-kerja susunan kek dimulakan dengan segera. Segala penat lelah sejak berhari-hari yang lalu amat berbaloi setelah melihat sendiri kek yang tersusun elok dan cantik. Kek ini sungguh istimewa dan ia dipamerkan di dewan utama majlis untuk para tetamu. Dalam majlis yang gilang gemilang, kek ulangtahun ini umpama hasil seni yang menggamit perhatian tetamu. Kenangan manis yang kekal segar dalam ingatan. Pihak media turut membuat liputan tentang majlis berkenaan. Dan semestinya kek tersebut antara yang disebut-sebut oleh para wartawan.

Keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru adalah resepi kejayaan Puan Faridatul Azna. Dengan izin Allah, kita akan mendapat apa yang kita minta. Dalam kisah yang dikongsikan ini, beliau berani menyuarakan hasrat kepada rakannya untuk menerima cabaran menyediakan tempahan yang sukar. Hasilnya, beliau mula dikenali apabila media membuat liputan tentang hasil kerjanya bersama rakan.

Pergi ke kota London

Selepas menghasilkan tempahan daripada istana, beliau melihat potensi yang besar dalam bidang ini. Beliau mula memikirkan bagaimana ingin mengembangkan bakat dan menjana pendapatan secara serius dengan kemahiran yang dimiliki. Tiada jalan singkat melainkan belajar lagi untuk menjadi pakar.

Matlamat ini dikongsikan dengan pemilik akademi di Bangi. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal apabila beliau mendapat peluang menjalani Diploma Profesional PME dalam menghias kek. Kursus ini dianjurkan oleh sebuah akademi bakeri yang berpusat di Surrey, United Kingdom. Semua yuran kursus akan ditanggung oleh rakannya di Bangi. Kos perjalanan, penginapan dan makanan adalah tanggungan sendiri.

Gembira bercampur baur dengan kekalutan kerana beliau hanya diberi masa satu jam sahaja untuk membuat keputusan. Ya atau tidak. Jika beliau menolak, peluang ini akan diberikan kepada orang lain. Rakannya mesti menghubungi akademi berkenaan sebelum waktu pejabat di sana berakhir. Sesungguhnya beliau tidak boleh melepaskan peluang ini. Beliau cuba menghubungi suami untuk meminta kebenaran tetapi gagal. Akhirnya keputusan dibuat untuk pergi ke kota London. Suaminya ternyata memberi sokongan padu apabila mengetahui tentang tawaran tersebut.

Tahun 2010 mencatat sejarah yang amat bermakna. Setelah berjaya membuat tempahan bernilai lima angka, beliau ke kota London untuk belajar terus daripada pakar. Beliau berada di sana selama tiga minggu. Selain kursus PME, beliau memanfaatkan masa yang ada untuk menghadiri beberapa kelas menghias kek yang lain.

Perjalanan secara solo di kota yang sibuk pada musim bunga adalah pengalaman yang amat bernilai. Ini pertama kali beliau ke sana bersendirian. Agak mencabar untuk mencari lokasi kursus yang terletak di luar London. Tetapi semua halangan ini tidak melunturkan semangat beliau untuk belajar.

Diploma profesional ini dihadiri peserta daripada pelbagai negara. Beliau berkenalan dengan ramai usahawan daripada negara lain seperti Nigeria dan Jerman. Mereka mempunyai kedai sendiri dan ada yang memiliki akademi bakeri di tanahair mereka.

Wujud perasaan rendah diri apabila dibandingkan dirinya dengan peserta yang lain. Beliau hanya menjalankan perniagaan dari rumah. Namun, semua perasaan negatif itu ditepis dan memberi tumpuan kepada kursus yang dihadiri.

Melihat pencapaian peserta lain dalam bidang ini menyedarkan beliau bahawa peluang sangat luas dan memberi inspirasi kepadanya untuk mengembangkan bisnes sedia ada. Pulang sahaja dari London, beliau mula sibuk dengan mengajar kemahiran menghias kek seperti teknik ‘royal icing’ dan ‘sugarflowers’. Dalam tahun 2010 juga beliau berpindah rumah daripada Seremban ke Lembah Klang.

Berpindah ke premis komersial

Sejak itu, Puan Farida lebih dikenali dalam penyediaan kek yang rumit dan memerlukan kreativiti yang tinggi. Detik itu membawa beliau keluar dari zon selesa dan menubuhkan The Dessert Table. Beliau memindahkan operasi daripada rumah ke premis komersial di Mutiara Damansara pada tahun 2011. Dari dapur rumah ke anjung istana hingga kini beroperasi di premis yang terletak di kawasan pelanggan elit.

Syarikat memerlukan lebih banyak tempahan berbanding dahulu. Sekurang-kurangnya tiga kali ganda jualan untuk menampung kos tambahan seperti sewa premis, utiliti dan gaji pekerja. Beliau mula belajar teknik pemasaran seperti menulis iklan di Facebook dan berkongsi maklumat yang bermanfaat.

Kemahiran dan minat sahaja tidak mencukupi. Seorang usahawan mesti berupaya memasarkan perkhidmatan dan produknya. Tanpa aktiviti pemasaran, sasaran jualan sukar dicapai. Sebelum berhenti kerja, Puan Farida pernah terlibat dalam aktiviti jualan. Namun, ia begitu berbeza dengan apa yang beliau lakukan sekarang.

Beliau menghadiri kursus dan seminar tentang pemasaran. Kemudian menggunakan media sosial untuk memperkenalkan The Dessert Table. Beliau turut memanfaatkan penulisan di blog dan berkongsi cerita dengan pembaca dan pelanggan. Pencapaian dan hasil kerja diterbitkan dalam entri blog supaya pembaca dapat menilai sendiri karyanya.

Pemasaran konten menarik minat golongan sasaran untuk mengikuti perkembangan TDT dan bengkel yang dianjurkan. Tips dan teknik mudah dalam menghias kek diberikan secara percuma melalui entri di blog dan Facebook. Mereka yang berminat untuk belajar secara berkumpulan atau hands-on boleh mendaftar ke bengkel.

Blog digunakan untuk memaklumkan jadual bengkel kek dan kemahiran menghias seperti teknik Royal Icing dan Sugarflowers. Hanya dua peserta mendaftar pada peringkat awal kelas dibuka. Bengkel dan kelas anjuran beliau mula popular di kalangan home bakers. Penyertaan penuh sehingga 50 orang dalam satu-satu bengkel menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Kerjasama dengan chef terkemuka ternyata berbaloi apabila Puan Farida menjemput mereka mengajar di premis The Dessert Table. Selain itu, pengiktirafan daripada sekolah bakeri antarabangsa memberi kelebihan kepada beliau sebagai tenaga pengajar. Peserta yang mempunyai minat dalam bidang ini percaya dengan beliau kerana Puan Farida belajar terus daripada pereka hias kek antarabangsa yang terkenal.

Beliau juga menjalin kerjasama dengan chef yang popular seperti Chef Amir yang terkenal dalam pembuatan coklat dan Chef Fatima yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang dekorasi kek. Dalam tempoh satu tahun, beratus-ratus orang peserta telah menghadiri bengkel yang dianjurkan oleh TDT.

Sasaran RM1 juta jualan

Puan Farida melalui pelbagai cabaran dan kejayaan dalam tempoh sepuluh tahun. Setiap cabaran dihadapi dengan kecekalan. Setiap kejayaan diraikan bersama dengan insan yang penting dalam perniagaannya termasuk keluarga dan staf.

Selepas dikenali sebagai pereka dan penghias kek, beliau ingin memasuki pasaran baru. Beliau bereksperimen dengan resepi brownies dan pembungkusan yang sesuai untuk dijual secara runcit. Pada peringkat permulaan, cadangan beliau kepada sebuah cafe ditiru bulat-bulat. Beliau agak kecewa tetapi tidak berhenti setakat itu.

Beliau memasarkan produk ini dengan sokongan ejen yang berdaftar. Permintaan sangat menggalakkan sehingga berpuluh ribu bekas dijual di seluruh negara. Selain itu, brownies dengan jenama Brimm Brounee turut diedarkan di lebih 70 stesen Petronas sekitar Lembah Klang. Beliau sendiri dan beberapa orang staf pergi ke setiap stesen Petronas untuk memperkenalkan produk ini. Produk tersebut diterima baik oleh pengurus dan pemilik stesen.

Urusan dengan pihak ketiga, sebagai contoh ejen dan pemilik stesen Petronas menjadi lebih mudah apabila kita yakin dengan produk yang dihasilkan. Kualiti dan standard yang memenuhi kehendak pelanggan amat penting agar produk dapat dipasarkan secara meluas.

Tetapi permintaan menurun bila tiba musim perayaan. Pelanggan mula beralih kepada produk lain seperti biskut raya dan kek bersaiz besar. Sekali lagi, beliau menukar strategi dengan mengeluarkan biskut raya.

 

Berhubungan dengan mentor

“Jika serius dalam perniagaan, cari mentor. Saya ada beberapa orang mentor.” Ini adalah satu saranan beliau kepada usahawan baru. Salah seorang mentor beliau ialah pereka hias kek yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dan seorang lagi mentor ialah wanita yang membangunkan produk minuman kesihatan dengan jualan melebihi RM15 juta setahun. Mereka telah melalui onak dan duri dalam bidang masing-masing.

Pada setiap peringkat ini, beliau tidak keseorangan. Beliau berhubungan dengan mentor yang sentiasa bersedia untuk memberi panduan, atau menjadi pendengar setia tentang apa yang berlaku dalam perniagaannya.

Peranan mentor amat penting agar seseorang usahawan itu tidak terburu-buru membuat keputusan. Malahan, mentor yang bagus akan memberi panduan agar anda tidak tersasar daripada landasan. Pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh mentor adalah ‘jalan singkat’ untuk mengelakkan anda mengalami kerugian yang besar.

Mentor tidak memberi modal wang, tetapi nasihat dan panduan daripada mereka tidak ternilai harganya. Adakalanya mentor dapat mengesan lebih awal masalah yang dihadapinya. Seorang mentor yang jujur akan berterus terang dalam memberi pandangan. Walaupun pahit, pasti ada kebenaran di sebalik saranan mereka.

Dorongan untuk terus berjuang dalam bidang ini

“Apakah yang membuatkan Puan masih terus dalam bidang ini?”

Soalan penulis dijawab dengan falsafah makanan dan kepimpinan.

“Minat yang mendalam. Setiap hari apabila bangun pagi, saya sentiasa berfikir apa yang akan saya lakukan hari ini. Idea baru dan eksperimen bahan mencabar kreativiti dan kemampuan saya dalam bidang ini.”

Sambungnya lagi, “Saya mesti berusaha sehabis baik untuk menyediakan makanan yang berkualiti. Makanan yang kita beri makan pada anak-anak ini yang menjadi darah daging. Anak-anak ini bakal pemimpin di masa hadapan. Amat penting mereka mendapat makanan dengan nutrisi dan sumber yang halal serta berkualiti. Seperti memberi makan kepada anak sendiri. Mungkin anak saya tidak menjadi pemimpin yang besar. Tetapi anak-anak pelanggan saya tentu tidak mustahil menjadi orang yang berpengaruh.”

Benarlah ungkapan “kita adalah apa yang kita makan”. Falsafah makanan dan kepimpinan yang beliau kongsikan menjadi titik tolak kepada perjuangan beliau dalam bisnes bakeri. Matlamat beliau adalah menyajikan makanan sihat dari sumber yang halal dan berkualiti.

Laman web: The Dessert Table

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *