Datuk Hj Abdul Rahman Ibrahim – Mata-mata Kini Permata

Nama Datuk Haji Abdul Rahman tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri automobil. Pengasas Kumpulan Rahman Brothers memulakan legasi bisnesnya di Johor Bahru pada tahun 80-an.

Syarikatnya turut terlibat dalam industri hartanah dan pelancongan dan umrah. Sejak remaja, saya mengetahui tentang syarikat Rahman Brothers yang beroperasi di Johor Bahru. Pada masa itu, Datuk Rahman belum membuka cawangan di Kuala Lumpur.

Ibu dan bapa saya pernah menyertai kumpulan umrah dan ziarah yang diuruskan oleh Rahman Travel and Tours. Dan saya sungguh bertuah dapat bertemu dengan beliau buat pertama kalinya tanpa dirancang.

Peribadi seorang usahawan berjaya

Saya dan beberapa orang rakan melancong ke Melbourne. Hari itu kami mengikuti kumpulan ke Phillip Island, lokasi eco pelancongan dan pusat perlindungan Little Penguin yang terkenal di Australia. Beliau menyapa kami dan memperkenalkan dirinya.

Seorang usahawan yang hebat dan tidak sombong. Pertemuan kami tidak berakhir di Melbourne. Saya berpeluang bertemu beliau sekali lagi di bangunan baru Kumpulan Rahman Brothers yang terletak di Shah Alam.

Bilik pameran motor berkuasa besar sudah siap sepenuhnya. Saya bertemu beliau di tingkat atas. Kerja ubahsuai masih dilakukan. Beliau masih ingat pertemuan kami di Melbourne dan terus bertanya perihal kerjaya kami. Saya datang bersama rakan saya, seorang peguam.

“Dalam perniagaan, kita jangan segan,” ujar Datuk Rahman. Ternyata benar sekali dan ini terserlah semasa pertemuan kami dahulu. Beliau dengan bangga menceritakan tentang bisnes di tanah air.

“Sekarang saya banyak bantu usahawan. Siapa yang hendak berniaga, saya beri galakan dan sokongan,” sambungnya lagi.

Beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan usahawan baru asalkan mereka memberi perkhidmatan dan kerja yang berkualiti.

“Pada tahap ini, saya mahu fokus pada ibadah dan kerja amal. Saya tubuhkan Yayasan SEDHAR untuk tujuan kebajikan.”

Pada usia 70 tahun, beliau tetap meneruskan perjuangan namun pada tahap yang berbeza. Setelah mengecapi kejayaan, beliau berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Mata-mata Kini Permata – Biografi

Tidak banyak yang dapat kami bualkan dalam pertemuan yang singkat itu. Namun, saya membaca biografi beliau berjudul Mata-mata Kini Permata terbitan Utusan Publications. Buku ini diterbitkan pada tahun 2013.

Datuk Rahman pernah bertugas sebagai mata-mata (polis) di Singapura sebelum menjalankan bisnes sepenuh masa. Bekerja dengan kerajaan pada zaman itu adalah kerjaya yang membanggakan. Membuka perniagaan bukan sesuatu yang lumrah dalam kalangan orang Melayu.

Namun begitu, bakat berniaga sejak zaman persekolahan tidak terkubur malah kembali subur. Beliau mula menjual pakaian dan barang keperluan kepada rakan sekerja.

Masa di sekolah, beliau dan adiknya pernah menjual ais krim Malaysia (air pelbagai perisa yang dibekukan dalam plastik panjang) di kampung. Apabila jualannya laris, mereka berjualan di bandar pula.

Tanpa modal untuk membeli ais krim daripada seorang tokey Cina, beliau memberanikan diri untuk mendapatkan bekalan ais krim secara berhutang. Strategi ini berjaya. Tokey Cina itu memberi kepercayaan kepada beliau untuk mengambil stok. Setiap petang apabila pulang dari bandar, beliau akan menyerahkan bayaran kepada Tokey itu.

Tidak mendapat sokongan bapa

Datuk Rahman menghadapi cabaran semasa memulakan perniagaannya apabila tidak mendapat sokongan daripada bapanya. Beliau meminta sedikit modal untuk bisnes kereta terpakai yang baru dibuka di Johor Bahru.

Tiga kali beliau pulang ke kampungnya di Kedah untuk memujuk bapanya supaya memberikan pinjaman. Namun gagal.

“Aku bagi duit, nanti kau pergi kahwin,” tegas bapanya.

Semua itu tidak melemahkan semangat beliau. Tidak lama selepas itu beliau mendapat pinjaman sebanyak RM3,000 daripada MARA. Dan beliau tidak menoleh ke belakang lagi.

Nasihat daripada Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri

Tun Mahathir ialah seorang tokoh yang penting kepada Datuk Rahman. Saya melihat hubungan erat mereka semasa menghadiri Majlis Tahunan SAHOCA. SAHOCA ialah Alumni Sultan Abdul Halim Old College.

“Nak bisnes bukan senang, kamu mesti jaga akaun dan kewangan.” Nasihat Tun Mahathir, yang pada masa itu memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan.

Pesanan ini dipegang betul-betul. Datuk Rahman sempat berbual ringkas dengan Tun Mahathir semasa menjalankan tugas sebagai polis. Itulah jawapan Tun semasa beliau meminta pandangan sebelum menceburkan diri dalam perniagaan secara serius.

Tiada duit untuk pulang ke Johor Bahru

Peristiwa ini berlaku semasa beliau dan seorang rakan niaga berbangsa Cina pergi ke Kuala Lumpur. Mereka membawa wang yang cukup-cukup sahaja untuk mengisi petrol dan sewa hotel selama dua hari. Namun, urusan di Kementerian tidak dapat diselesaikan dalam tempoh itu.

Mereka terpaksa menggunakan wang yang ada untuk bermalam sehari lagi. Apabila ingin pulang ke Johor Bahru, wang tidak mencukupi untuk mengisi petrol. Beliau mesti melakukan sesuatu.

Beliau pergi ke Puduraya. Rakannya tertanya-tanya apakah yang akan beliau lakukan. Tanpa menghiraukan perasaan malu atau segan, beliau bertanya kepada orang ramai jika ada yang ingin menumpang kereta untuk ke Johor Bahru. Akhirnya, beliau dapat mengumpulkan wang petrol dan kembali ke selatam tanah air.

Apabila menghadapi kesukaran atau masalah, seorang usahawan harus berfikiran terbuka dan kreatif. Jangan buntu kerana pasti ada jalan keluar dalam situasi yang dialami.

Pernah dikhianati ahli keluarga

Datuk Rahman membuka cawangan di Alor Setar, Kedah selepas melihat kejayaan dan sambutan menggalakkan dalam bisnes kereta yang beliau tubuhkan di Johor Bahru.

Selepas beberapa bulan cawangan baru beroperasi, beliau menyerahkan pengurusan kepada adik-beradik yang dipercayai. Dan beliau fokus kembali kepada bisnes di Johor Bahru.

Tanpa beliau sedari, adik-beradiknya di Kedah membuat aduan yang beliau menjual AP (approved permit) kereta kepada mereka. Maka, pihak kerajaan mengurangkan kuota AP kepada syarikatnya di Johor Bahru.

Suatu kenyataan yang pedih untuk diterima. Bagi dirinya, beliau tidak pernah mengambil kesempatan dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dengan menjual AP kepada orang lain. Walaupun pada masa itu, memang terdapat peniaga yang berbuat demikian.

Beliau berusaha keras untuk membersihkan namanya. Dalam masa yang sama, perniagaan di Alor Setar tidak dapat bertahan lama. Pendapatan daripada hasil yang tidak betul selalunya tidak akan kekal. Itu yang terjadi kepada adik-beradiknya.

Walaupun pahit dikhianati keluarga sendiri, beliau tidak berdendam. Beliau memberi peluang kepada mereka sekali lagi untuk sama-sama berusaha membangunkana Kumpulan Rahman Brothers. Sehingga kini, ahli keluarganya masih bertugas dalam syarikat beliau.

Melihat potensi generasi muda

Kumpulan Rahman Brothers membangunkan ramai eksekutif yang berkualiti. Datuk Rahman memberi peluang generasi muda untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Legasi bisnes yang dibinanya bukan untuk dirinya sendiri. Ia berkembang dan akan terus berkembang untuk generasi seterusnya. Sekarang beliau melatih anak dan ahli keluarga yang berminat untuk bertugas di syarikatnya sebagai kumpulan pelapis. Dan beliau menumpukan perhatian kepada aktiviti CSR.

Bangunan baru syarikatnya iaitu Wisma Rahman Brothers di Shah Alam dirasmikan pada bulan Oktober 2015 oleh Dato’ Sri Mustapha Mohamed.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *