EPF: Kekal caruman 11 peratus atau pilih 8 peratus mulai Mac 2016?

Kekal 11 peratus atau pilih turunkan kepada 8 peratus?

Tahun 2009.
Pencarum diberi pilihan untuk mengurangkan potongan (pekerja) daripada 11 peratus kepada 8 peratus untuk tempoh dua tahun mulai Jan 2009.

Tahun 2016.
Sekali lagi pencarum diberi pilihan serupa mulai Mac 2016 hingga Disember 2017. Pencarum yang ingin mengekalkan potongan 11 peratus perlu mengisi borang.

Selepas pengurangan caruman sebanyak 3 peratus, pekerja akan mempunyai lebihan pendapatan bawa pulang. Jumlah ini boleh digunakan untuk menampung keperluan belanja.

Kekal 11 peratus.
Jumlah potongan EPF bagi pekerja dengan pendapatan RM5,000 ialah RM550. Kos hidup sememangnya meningkat. Apa yang boleh dilakukan ialah kurangkan perbelanjaan lain, khususnya yang bukan keperluan.

Contoh: Kurangkan bil telefon atau broadband dan saluran TV kabel.

Tabung persaraan anda bertambah dengan jumlah RM550 x 22 = RM12,100. Ini tidak termasuk dividen yang diberikan oleh EPF.

Daripada aspek cukai, maksima pengecualian yang diberikan ialah RM6,000 setahun untuk simpanan EPF dan insurans hayat. Tiada perbezaan ketara kepada jumlah pendapatan bercukai sekiranya pendapatan kekal sama dan tiada pengecualian tambahan (contoh: tambahan tanggungan – anak atau belanja perubatan).

Pilih 8 peratus.
Pekerja dengan pendapatan RM5,000 kini ada lebihan RM150. Tabung persaraan akan berkurang sebanyak RM3,300 (tempoh 22 bulan).

Daripada segi cukai, maksima pengecualian ialah RM6,000. Jumlah potongan EPF bagi tahun 2016 ialah RM5,100 (RM550x2 + RM400x10). Namun, jika individu ini mencarum insurans hayat jumlah pengecualian dimaksimakan kepada RM6,000.

Adakah anda memerlukan lebihan wang ini? Jika ya, untuk tujuan apa?

Jumlah lebihan menjadi lebih rendah bagi mereka yang berpendapatan kecil. Contoh: Lebihan RM60 untuk pekerja dengan pendapatan RM2,000.

Situasi kewangan setiap individu berbeza. Mungkin dengan tambahan RM60 dapat mengurangkan beban kewangan bulanan.

Namun, usah gunakan wang lebihan ini untuk berbelanja di luar kemampuan. Contoh: Beli barang secara ansuran yang banyak ditawarkan oleh TV Shop.

Pengurangan potongan EPF memberi kesan kepada tabung persaraan.

Adakah anda ada membuat simpanan lain selain EPF? Jika ya, mungkin anda tidak perlukan lebihan wang daripada pengurangan potongan EPF untuk menampung perbelanjaan.

Berhemah dalam belanja dan urus wang dengan baik dalam situasi yang tidak menentu sekarang. Berjimat dan beringat.

Pengurangan kadar EPF tidak memberi kesan penambahan cukai pendapatan secara langsung kerana terdapat komponen lain dalam pengiraan cukai selain gaji dan potongan EPF.

Nota:
Bagi tahun taksiran 2015, tambahan pelepasan cukai RM2000 diberikan bagi golongan berpendapatan bawah RM8000 sebulan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *