Harta pusaka

Faraid – Pembahagian pusaka orang Islam

“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah ditentukan dan diwajibkan.” (An-Nisa’: 7)

Faraid atau pembahagian pusaka telah ditetapkan oleh Allah dalam Islam. Ia adalah sebahagian syariat yang menunjukkan keadilan Maha Pencipta. Hanya Allah SWT jua yang mengetahui hikmah di sebalik penetapan Faraid.

Walau bagaimanapun, kita dapat belajar daripada perkara ini. Hal pembahagian pusaka boleh jadi perkara yang sensitif di kalangan ahli keluarga dan waris. Pengurusan yang bijak dan telus dapat membendung isu perebutan harta dan hak milik waris yang berhak.

Dalam satu ayat lain, disebutkan:

“Keputusanku itu tidak dapat diubah atau diganti dan aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaku.”  (Qaf: 29)

Ulama membicarakan hal harta pusaka ini dengan panjang lebar. Selain Faraid, ia turut berkait dengan wasiat, wakaf, hibah dan perkara-perkara lain. Sesungguhnya kita percaya bahawa harta ini adalah milik Allah SWT dan kita khalifah yang diamanahkan untuk menjaganya di dunia ini. Mampukan kita menunaikan amanah dengan sabar dan takwa apabila diberikan sejumlah harta di bawah jagaan kita?

Hikmah disyariatkan Faraid dapat kita lihat melalui hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqas. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya, itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin, yang akan meminta-minta kepada manusia dan kamu tidak menafkahkan suatu nafkah pun untuk mencari keredhaan Allah SWT, kecuali kamu akan mendapatkan pahala kerana nafkahmu itu, walaupun sesuatu makanan yang kamu masukkan ke mulut isterimu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara tujuan dan hikmah Faraid ialah:

1. Memastikan keadilan terlaksana dan kehidupan keluarga si mati dapat diteruskan seperti biasa dan tidak berlaku kezaliman selepas itu.

2. Dalam keadaan tertentu, waris lelaki menerima lebih daripada waris perempuan disebabkan oleh tanggungjawab mereka dalam memberi nafkah dan lainnya. Hak diberi seiring dengan tanggungjawab. Suami kepada isteri. Bapa kepada anak-anak. Anak lelaki kepada ibu bapa. Datuk kepada cucu. Begitulah peraturan Allah SWT.

3. Selain itu, kaum lelaki iaitu abang bertanggungjawab kepada adik perempuan dan bapa saudara kepada anak saudara perempuannya yang sudah menjadi anak yatim.

4. Hak pusaka wanita adalah untuk dirinya sendiri. Mereka tidak bertanggungjawab untuk menanggung orang lain.

Apabila kita berbalah-balah, ingatlah pesan Allah SWT dalam ayat berikut:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (An-Nisa: 10)

Sekiranya kita memperoleh harta pusaka melalui Faraid, Islam turut menitik beratkan nilai rahmah dan ihsan. Kedua-duanya berpaksikan kepada kasih sayang dan kebajikan semasa manusia terutamanya golongan yang lemah.

“Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka) dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya dan ucapkanlah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (An-Nisa: 8)

Islam menyarankan agar kita prihatin dengan nasib saudara mara yang kurang berkemampuan. Usah pentingkan diri sendiri dan berilah bantuan kepada golongan yang memerlukan. Usah dilupakan bantuan saudara mara kita kepada si mati dan keluarga kita.

Sekali lagi, hak pusaka ini datang dengan tanggungjawab. Harta adalah amanah daripada Allah. Usah mengabaikan keluarga setelah mendapat ‘durian runtuh’ daripada pusaka si mati. Harta pusaka adalah titik peluh si mati. Uruskan harta pusaka dengan sebaiknya seperti mana kita menghormati si mati semasa hidupnya.

Mohon kepada Allah agar harta pusaka ini membawa berkat dalam kehidupan kita. Bukan menjadi beban dan memberi kesukaran dalam menempuh cabaran di dunia.

“Segala hukum yang tersebuut adalah batas syariat Allah dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan baginya azab siksa yang amat menghinakan.” (An-Nisa: 13)

Nota penulis:

Apabila kita memahami hikmah di sebalik Faraid dan sistem pengurusan harta pusaka orang Islam, maka pelbagai isu yang timbul dapat diatasi dengan mudah. Prinsip keadilan, rahmah dan ihsan dalam agama yang sempurna ini adalah tiang kepada perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Allah SWT telah menetapkan bahagian waris masing-masing dalam Faraid. Tetapi Allah mendidik kita agar bersikap ihsan kepada golongan yang kurang mampu. Kemudian, Allah beri ruang kepada kita untuk melakukan kebajikan melalui peruntuan wasiat yang tidak lebih daripada 1/3 harta pusaka si mati.

Sekali lagi Islam mengajar kita supaya menjaga kebajikan orang yang hampir dengan kita iaitu kaum kerabat. Dan jangan dilupakan tanggungjawab yang hadir bersama hak dalam pengurusan harta pusaka.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Dis 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *