Flora dan Fauna di Gardens by the Bay, Singapore

Gardens By The Bay, sebuah taman yang dibina indah di Singapura. Lokasinya berhampiran Marina Bay. Rancangan saat akhir untuk ke Singapura hujung tahun ini akhirnya dapat dilaksanakan. Saya dapat masuk ke Gardens by the Bay (GB) pada 26 Disember lalu.

Kami beli tiket secara online daripada laman web GB untuk mendapatkan harga istimewa bagi melihat Christmas Wonderland yang menghiasi kawasan Super Grove. Hiasan ini hanya dibuka sehingga 26 Disember. Jadi ini adalah hari terakhir pameran.

Pada hari lain, pengunjung boleh memasuki kawasan ini secara percuma kerana ia adalah taman luar (outdoor gardens). Kami beli tiket kombo berharga SGD31 untuk masuk ke Cloud Forest dan Flower Dome. Dua taman ini dibina dalam dom yang besar dan mempunyai suhu yang lebih rendah bersesuaian dengan tanaman di dalamnya.

Kami masuk ke Cloud Forest yang mempunyai binaan air terjun setinggi 35 meter. Pengunjung perlu beratur untuk menaiki lif ke tingkat 6. Kemudian, boleh menyusuri laluan dan tangga untuk ke tingkat bawah. Saya berasa gayat semasa turun dari tingkat 6. Saya terpaksa memegang tangan anak saudara saya dan tidak memandang ke bawah.

Suhu dalam Cloud Forest agak dingin dan selesa. Anda boleh melihat air terjun dari atas. Kena juga sedikit tempias air yang sejuk.

Saya teruja melihat pelbagai jenis orkid dan bunga yang indah dalam Cloud Forest. Masa sejam seolah-olah berlalu dengan pantas. Saya dapat mengambil gambar yang cantik kerana cahaya matahari masih ada. Ketika itu kira-kira enam petang.

Selesai di Cloud Forest, kami masuk ke Flower Dome. Hari sudah gelap. Flower Dome menempatkan pelbagai tanaman yang unik seperti pokok baobab dan kaktus. Lebih banyak bunga ros dan pokok renik mediterranean ditanam di sini.

Suasana luar sudah gelap, namun indoor gardens ini diterangi lampu yang dipasang mengikut kesesuaian sudut. Ia membolehkan saya mengambil beberapa shot yang menarik. Saya fikir, sudah tentu gambar yang diambil lebih menyerlah jika saya masuk pada waktu siang. Cahaya semula jadi akan memberikan imbasan yang cukup pada gambar saya.

Sekiranya anda ada banyak masa, saya sarankan datang lebih awal supaya dapat melihat semua tarikan di taman ini. Rasanya tidak cukup kami meluangkan masa sehingga pukul 8.30 malam. Sudah tentu saya ingin pergi lagi.

Outdoor garden dibuka secara percuma kepada pengunjung. Ada beberapa restoran dalam kawasan ini. Jika lapar anda boleh menikmati pelbagai hidangan yang disediakan.

Bagi orang Islam, surau tidak disediakan dalam kawasan ini. Namun, anda boleh mencari tempat yang bersih dan terlindung sedikit untuk menunaikan ibadah solat apabila masuk waktu.

Pengunjung juga boleh menikmati hidangan di 10 buah restoran yang dalam GB. Kami hanya sempat membeli aiskrim di McDonald. Barisan panjang. Cukup untuk mengalas perut sebelum keluar untuk makan malam.

Tip ke Garden By The Bay:
1. Beli tiket online jika pergi semasa musim cuti.
2. Pakai kasut yang selesa kerana anda perlu banyak berjalan. Lebih kurang 5km juga jika nak explore semua tarikan di sini.
3. Masuk ke Cloud Forest dan Flower Dome pada siang hari supaya anda dapat mengambil gambar dengan cahaya semulajadi.
4. Tunggu sehingga malam jika anda ada banyak masa untuk melihat suasana malam dengan lampu berwarna warni.
5. Jangan kelam kabut. Luangkan masa 2-3 jam di sini.

Kira-kira 9 malam, kami keluar dari Gardens by the Bay dan menuju ke Restoran Zam Zam. Ia tidak jauh dari GB. Terletak berhampiran Masjid Sultan dan Arab Street.

Restoran ini mula beroperasi sejak 1908. Sudah lebih 100 tahun dan masih lagi menyediakan hidangan istimewa mereka. Nasi briyani dan martabak. Dikatakan pemilik restoran ini berasal dari Timur Tengah. Saya mencuba Nasi Briyani Kambing, martabak sardin dan martabak ayam.

Rasa Nasi Briyaninya agak berbeza dengan Nasi Briyani kita. Sedap juga. Sekiranya anda datang ke Singapura, cuba hidangan di sini. Harganya bermula SGD6 dan martabak saiz bersar berharga SGD12.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *