Blog

Fotoblog – Jalan dan Orang yang Tidak Dikenali

Cabaran bulan ini ialah ambil gambar dan tulis entri di blog. Dua kemahiran digabungkan iaitu fotografi dan menulis. Kita namakan cabaran ini cabaran Fotoblog.

Sekarang ini mudah sahaja dengan adanya fungsi kamera di telefon. Hanya perlu snap gambar mengikut prompt yang diberikan. Nak menulis di blog pun senang. Muat turun aplikasi WordPress atau Blogspot di telefon pintar anda. Tulis on-the-go.

Cabaran kali ini dicadangkan oleh rakan blogger, En Sharulnizam yang mempunyai minat dalam bidang fotografi. Lihat sahaja gambar yang beliau ambil seperti gambar Tambi dan daun yang cantik. Jeles. Suatu hari nanti saya mahu belajar fotografi. (Dah berapa kali ulang ni 🙂

Baiklah. Untuk entri pertama dalam cabaran fotoblog saya memilih ‘jalan’ dan ‘orang yang tidak dikenali’.

Semalam saya pergi ke Perpustakaan Awam Johor di Jalan Yahya Awal untuk memulangkan buku. Pejabat kerajaan dan sekolah sudah mula dibuka dan tiada cuti ganti untuk Awal Muharram seperti negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

Perpustakaan ini bersebelahan dengan Sekolah Agama Bandar Jalan Yahya Awal. Beberapa kali saya datang ke sini, memang saya perhatikan ramai anak-anak yang ‘lepak’ dengan kawan-kawan mereka di perpustakaan. Bagus betul lokasinya. Perpustakaan ini pula ada ruang khas untuk kanak-kanak. Satu budaya yang baik membiasakan anak-anak dengan buku. Mungkin sahaja anak-anak ini hanya mahu mengisi masa lapang sementara menunggu masa pulang ke rumah. Tentulah lebih baik berada di perpustakaan berbanding berpeleseran di tempat lain.

Duduk dalam perpustakaan ini lebih selamat. Sekolah dan perpustakaan terletak di Jalan Yahya Awal yang boleh tahan sibuk juga apabila tiba waktu makan tengah hari dan petang.

Gambar ini saya ambil dari tempat letak kereta. Saya hendak pulang dan mengenangkan tugasan fotoblog ini, saya buka fungsi kamera dan ambil beberapa keping gambar.

Sebenarnya saya terdengar adik berbaju hijau itu teresak-esak. Oleh sebab saya hanya melihat dari belakang, saya tidak pasti adakah dia betul-betul menangis. Ah… budak pun ada masalah. Bukan orang dewasa sahaja. Entah siapa yang menyakitkan hatinya atau apa yang membuatkan dia sedih sehingga menangis. Itu yang terdetik dalam hati saya.

Saya harap ada kawan yang akan memujuk dirinya. Jika tidak, kau harus kuat dik. Dalam dunia ini, panjang lagi perjalanan kau. Yang penting kau harus belajar mengenali kawan dan lawan. Bijak mengawal emosi. Mungkin hari ini kau menangis hal-hal yang pada pandangan mu besar, ketahuilah pada masa depan nanti kau akan melalui hal-hal yang lebih besar. Semoga kau temui ketenangan dalam perpustakaan ini (walaupun buat sementara).

Prompt: Jalan dan Orang yang Tidak Dikenali
Boleh baca cabaran Fotoblog September dan entri lain dalam cabaran menulis di blog.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial