Inspirasi usahawan

GATES Academy: Membina bisnes masa hadapan dengan pelaburan dalam pembangunan modal insan

Perjalanan dinamik GATES dalam bidang pendidikan teknologi maklumat

“Tahun 2009. GATES bermula sebagai sebuah entiti milikan tunggal. Empat orang pengasas bergabung kepakaran.” Tuan Syafwan berkongsi mengenai latar belakang GATES IT Solutions Sdn Bhd.

Dua orang ahli akademik dan dua orang rakan dalam bidang teknologi maklumat (IT) melihat potensi untuk menawarkan perkhidmatan pembangunan sistem mengikut keperluan pelanggan. Mereka mengeluarkan modal sendiri dan dibantu oleh empat orang staf mengikut projek.

Selepas tiga tahun, mereka mendapati bisnes dalam bidang ini tidak dapat bertahan lama jika hanya bergantung kepada projek kecil-kecilan. Tugas memperkenalkan GATES menjadi lebih sukar tanpa produk IT sendiri.

“GATES melihat kejayaan syarikat IT antarabangsa seperti Oracle dan Adobe. Syarikat seperti ini mempunyai produk sendiri yang dipasarkan ke seluruh dunia. Semua produk mereka memenuhi keperluan pelanggan daripada pelbagai lapisan,” jelas beliau.

GATES mengkaji semula model bisnes dan sistem yang pernah mereka bangunkan. Mereka melakukan inovasi kepada sistem sedia ada dan memperkenalkan produk sendiri iaitu F1-PBT. Sistem ini mengandungi beberapa komponen seperti sistem pengurusan cukai harta, sistem pengeluaran bil dan sistem sewa untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sistem ini berjaya dijual kepada beberapa PBT di negeri Johor. GATES turut menyediakan sistem pengurusan kampus yang dijual kepada universiti tempatan. Tim GATES membuat inovasi berterusan kepada kedua-dua produk ini sehingga ia mencapai tahap matang apabila sistem beroperasi dengan baik dan berkesan.

Kekal relevan dengan menyediakan nilai tambah (value-added) kepada pelanggan

“Kita buat bisnes bukan untuk hari ini. Kita mempunyai matlamat jangka panjang. Apa lagi yang dapat kami tawarkan kepada pelanggan? Bermula peranan saya dalam membangunkan modul latihan di GATES.”

Tuan Syafwan dipelawa oleh En Husni, salah seorang pengasas GATES untuk menyertai mereka pada tahun 2011. Pengalaman dalam bidang latihan digunakan sebaiknya untuk memberi nilai tambah kepada produk sedia ada.

“Pada peringkat awal, GATES tidak mempunyai modul latihan sendiri. Kami cuba memenuhi permintaan pelanggan dengan menawarkan latihan mengikut keperluan mereka. Peranan GATES lebih mirip kepada pengurus acara,” tambah Tuan Syafwan.

Beliau menjelaskan strategi ini tidak dapat bertahan lama kerana persaingan yang tinggi dengan syarikat penyedia latihan di pasaran. Beliau dan tim GATES berbincang mengenai kekuatan sedia ada dalam pembangunan sistem untuk mereka bentuk modul latihan yang selari.

Seawal enam bulan penubuhan, unit latihan di GATES diberi peluang untuk membentang idea program latihan kepada sebuah syarikat perladangan terkemuka di Malaysia. Program ini khusus untuk staf teknikal dan ia berkaitan kemahiran teknikal yang penting dalam tugasan mereka.

GATES fokus dengan idea yang dibentangkan dan menambah baik cadangan berdasarkan maklum balas, keperluan dan nilai tambah kepada pelanggan. Alhamdulilah, GATES berjaya meyakinkan pihak pengurusan klien dan mereka bersetuju memberi kontrak latihan melebihi RM600,000 untuk tempoh 12 bulan.

Bagi GATES yang baharu memulakan bisnes latihan, projek ini adalah satu kejayaan besar dan menjadi titik tolak kepada inovasi berterusan dalam syarikat.

“Sebagai usahawan kita mesti peka dengan keperluan pelanggan. Dengar dengan teliti apa yang disampaikan dalam mesyuarat dan pertemuan dengan wakil syarikat. GATES melihat potensi untuk memberi latihan kepada staf apabila wakil menyatakan staf mereka tidak mempunyai kemahiran mengendalikan sistem. Kami dapat projek sistem dan latihan sekaligus.”

Menurut Tuan Syafwan, nilai tambah dalam perkhidmatan memberi kelebihan kepada GATES berbanding syarikat IT di pasaran. Tim GATES bertungkus lumus merealisasikan projek ini seperti yang sudah dipersetujui oleh pelanggan.

Walaupun sudah mempunyai rangka kerja dan modul, namun kandungan terperinci belum lagi disiapkan. GATES tidak menunggu projek siap terlebih dahulu kerana ia akan memakan masa. Namun, tim percaya cadangan mereka mempunyai kekuatan dan memenuhi keperluan klien.

“Dalam bisnes ini, beri kepada pelanggan apa yang kita janjikan. Berterus terang jika kita tidak dapat memenuhi permintaan mereka dari awal,” sambungnya lagi.

Aspirasi penubuhan GATES Academy

Tuan Syafwan mengkaji syarikat latihan antarabangsa yang mempunyai produk sendiri seperti program Tony Buzan. Bagaimana sebuah syarikat IT ingin menawarkan produk latihan kepada pasaran yang lebih luas?

Modul latihan projek pertama yang diperolehi sebelum ini menjurus kepada keperluan khusus pelanggan. Mereka mesti memikirkan langkah seterusnya supaya modul latihan ini boleh dijadikan asas kepada pembangunan modul latihan yang bersifat generik dan berteraskan industri.

GATES menetapkan golongan sasaran yang baru iaitu pelajar dan belia yang berminat dalam bidang pembangunan sistem dan animasi. Rangka kerja atau framework modul latihan diperincikan.

Framework ini menjadi asas kepada semua pembangunan modul latihan di GATES Academy. Ia mengandungi komponen utama latihan dan hubung kait di antara semua modul. Keberkesanan modul dapat diukur pada setiap peringkat.

Walaupun setiap modul boleh diambil berasingan, tetapi ia bukan matlamat syarikat. Syarikat menggalakkan peserta untuk mengambil modul penuh supaya mencapai hasil yang memberangsangkan.

“Kami percaya pemahaman teknikal secara teori harus dikaitkan dengan aplikasi sebenar dalam kerjaya. Bukan itu sahaja, kemahiran insaniah turut diberi perhatian dalam setiap desain latihan yang kami tawarkan.”

Tuan Syafwan menjelaskan pengalaman sebenar dalam industri digabungkan dengan modul yang berstruktur adalah kelebihan program GATES.

Beliau berkata framework kursus di GATES Academy dapat digunakan sebagai asas dalam pembangunan modul baharu. Hal ini penting supaya syarikat terus berkembang dengan dasar yang sudah dibina pada peringkat awal.

Apakah USP atau unique selling proposition GATES Academy?

Tuan Syafwan menegaskan framework penting untuk kelangsungan bisnes syarikat. Selain itu, GATES mempunyai USP untuk membantu pelanggan mencapai matlamat mereka.

Dua program yang dibangunkan iaitu Program Animasi dan Program Pembangunan Sistem dipasarkan kepada agensi kerajaan yang mempunyai agenda membangunkan belia dan pelajar dalam bidang IT. Antara matlamat pelanggan seperti ini adalah melahirkan usahawan atau pekerja mahir dalam sektor IT.

GATES Academy memastikan peserta di bawah agensi ini mencapai matlamat yang ditetapkan. Program yang sama digunakan untuk mencapai matlamat yang berbeza. Situasi ini tidak menimbulkan konflik kerana program dijalankan tanpa mengubah framework asas dan menyesuaikan kandungan modul dengan keperluan agensi.

Setakat ini GATES Academy sedang melatih 140 peserta selama 6 hingga 12 bulan yang ditaja oleh agensi berlainan iaitu MARA, MDEC dan Majlis Agama Islam Melaka.

Masa depan program latihan GATES

“Ramai usahawan mengadu tidak tahu produk apa yang sepatutnya dijual. Tidak kurang juga yang mencadangkan usahawan baru supaya menjual produk orang lain. Kami memilih untuk menjual produk sendiri. Jenama kita sendiri. Apa yang penting peka dengan keperluan pasaran.” Kata Tuan Syafwan.

Beliau menyatakan empat sungai wang dalam bisnes iaitu makanan, pakaian, kesihatan atau kecantikan dan pendidikan. Setiap hari orang perlu makanan. Pakaian akan rosak atau lusuh dan perlu diganti. Manusia hendak sihat dan suka kepada kecantikan. Manusia juga perlu pendidikan dan ilmu dalam pembangunan diri.

GATES Academy memberi tumpuan kepada sungai wang pendidikan.

“Program yang kami tawarkan mesti berbeza dengan syarikat lain. Program kami boleh digunakan untuk memenuhi keperluan pelanggan tanpa melakukan perubahan yang besar kepada kandungan modul,” sambungnya lagi.

Beliau menyebut kata kunci ‘sustain’ iaitu kelangsungan dalam bisnes dan produk itu sendiri. GATES Academy memastikan pembaharuan dilakukan secara berterusan untuk kekal relevan.

Salah satu daripada kelebihan bidang IT adalah ia dikategorikan sebagai bidang kerjaya berprestasi tinggi dan berpendapatan tinggi.

Pembangunan modal insan

Sebagai seorang usahawan, beliau menekankan pembangunan modal insan atau developing people dalam menjalankan bisnes.

Katanya, “Kami tidak bangunkan bisnes. Kami membangunkan modal insan. Apabila kita membangunkan modal insan, bisnes kita akan sama berkembang. Jika kita bangunkan bisnes sahaja tanpa memberi perhatian kepada modal insan, bisnes tidak boleh pergi jauh.”

Aspek pembangunan modal insan diberi perhatian dalam semua program latihan yang dianjurkan oleh GATES. Ia dimulakan dengan pembangunan bakat staf dalaman terlebih dahulu.

Sasaran GATES Academy adalah menyediakan program yang membina dan mengembangkan potensi diri peserta.

“Buat masa ini, kami fokus kepada pelanggan di dalam negara. Agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi sebagai saluran untuk kami melatih belia atau pelajar yang berminat. Kejayaan peserta memberi impak besar kepada program kami. Testimoni pelajar menjadi word of mouth dalam kalangan mereka dan secara tidak langsung mereka memperkenalkan GATES Academy kepada rakan,” kata Tuan Syafwan.

Selain itu, pembangunan modal insan dalam GATES Academy turut diberi tumpuan. Jurulatih (trainer) melalui proses pengajaran dan pembelajaran khususnya semasa melatih perserta. Kandungan modul, nota latihan dan kajian kes akan dikaji dan ditambah baik berdasarkan maklum balas pelatih dan keperluan kumpulan sasaran.

Memperkenalkan GATES Academy melalui program CSR

GATES Academy bekerjasama dengan universiti untuk menawarkan program percuma. Program seperti ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility).

Strategi ini turut digunakan untuk menguji keberkesanan program baru. Pemerhatian dan maklum balas daripada program CSR digunakan untuk memantapkan kandungan program.

“Bisnes pada zaman sekarang tidak boleh dijalankan secara bersendirian. Kami menjalin kerjasama dengan hampir 20 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia untuk melatih pelajar.”

Beliau menerangkan tentang strategi menang-menang (win-win) bersama pihak universiti. Dengan kerjasama yang terjalin, GATES Academy tidak perlu membuat pemasaran secara intensif. Hubungan yang baik dengan hala tuju yang selari memberi kelebihan kepada GATES Academy untuk memperkenalkan syarikat kepada kumpulan sasaran.

Kesan positif kepada pelajar dalam program CSR memberi keyakinan kepada pihak universiti untuk melantik syarikat dalam program penuh berbayar.

“Kami memperuntukkan 10 hingga 15 peratus daripada pendapatan kami untuk program CSR. Peruntukan ini kami gunakan untuk menganjurkan program percuma dan membiayai pelajar terpilih dalam program GATES Scholars Foundation (GSF) untuk pengajian pasca sisawazah sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PhD).”

Kerjasama dengan pihak universiti memudahkan syarikat untuk mendapatkan peserta bagi program tajaan. Contohnya, Multimedia Development Corporation (MDEC) melantik GATES Academy untuk melatih 70 orang pelajar bagi melahirkan pekerja mahir. Dalam masa kurang sebulan, syarikat berjaya mengumpulkan peserta yang berminat.

Bukan untung hari ini

“Usahawan sebagai pemimpin tidak boleh memikirkan untung untuk hari ini sahaja. Kita mesti fikir sepuluh hingga dua puluh tahun akan datang.”

Beliau menegaskan bisnes dapat bertahan lama apabila kita berfikir untuk masa depan. Bisnes yang dibina adalah sebuah legasi yang dapat diteruskan oleh generasi akan datang dan memberi manfaat kepada orang lain.

Matlamat GATES Academy adalah menjadi pusat akredetasi yang diiktiraf seperti Adobe dan Oracle. Ia akan mengambil masa 5 hingga 6 tahun lagi. Namun, usaha sudah dimulakan sekarang.

Setelah hampir enam tahun penubuhan GATES, syarikat mula memberi tumpuan kepada program berbentuk ‘giving‘ iaitu memberi semula kepada masyarakat.

GATES menubuhkan Pusat Tafaqquh Al-Ghazali sebagai salah satu inisiatif dalam pembangunan bisnes dan pembentukan modal insan komuniti setempat.

Pusat Tafaqquh Al-Ghazali bukan berasaskan keuntungan dan memberi ruang serta peluang kepada komuniti setempat untuk belajar ilmu agama, Al-Quran dan menjalani program latihan asas ICT.

GATES bercita-cita untuk memperkenalkan model bisnes seperti Pusat Tafaqquh ini ke seluruh negeri di Malaysia.

Minat dalam bisnes latihan

Tuan Syafwan berkongsi latar belakang beliau dalam bisnes.

“Penglibatan saya dalam bidang latihan ini berlaku secara tidak sengaja. Saya graduan kejuruteraan elektrik. Kemudian, saya diberi peluang untuk membangunkan satu unit baru di UTM Space. Saya menjalankan tugas dengan minda orang bisnes. Alhamdulilah. Berjaya.”

Pengalaman itu amat berharga dan digunakan sepenuhnya untuk membina kejayaan demi kejayaan dalam GATES Academy. Beliau suka bertemu dan berurusan dengan orang lain.

“Dalam bisnes ini, matlamat kita adalah membantu masyarakat dan membangunkan modal insan untuk kekal relevan dan sustain dalam jangka masa panjang.”

Beliau menyatakan kata kunci sustain dan develop people amat penting dalam membangunkan apa-apa bisnes.

“Fokus kepada matlamat dan perancangan. Jangan ubah-ubah. Jika perlu ubah, apakah sebab berlaku perubahan itu? Mesti faham supaya bisnes boleh berjaya.” Sarannya kepada para usahawan.

Usahawan mesti banyak membaca. Beliau mencadangkan tiga buah buku bisnes yang bagus sebagai rujukan iaitu Delivering Happiness oleh Tony Hsieh, pengasas Zappos, The Personal MBA oleh Josh Kaufman dan Breakout Strategy oleh Sydney Finkelstein, Charles Harvey, Thomas Lawton.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *