Nota Khutbah

Gaya hidup untuk ke syurga

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu menyangka akan dikembalikan kepada kami?” (Al-Mukminun: 115)

Orang yang beriman mempercayai wujudnya syurga dan neraka. Syurga tempat tinggal bagi orang yang berbuat kebaikan dan neraka bagi mereka yang berbuat dosa dan kejahatan.

Kita dijadikan dengan akal untuk berfikir dan melakukan perkara yang berfaedah untuk meraih pahala daripada Allah SWT. Dan kita menahan diri daripada melakukan dosa yang membawa kita ke neraka.

Maka, adakah kita memilih untuk melakukan perkara yang sia-sia? Sedangkan masa adalah kehidupan dunia yang sementara Allah SWT pinjamkan kepada kita.

Manusia yang beruntung ialah mereka yang beramal soleh, melaksanakan hak-hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan yang membawa manfaat kepada masyarakat dan manusia.

Kita diingatkan berkali-kali agar berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kedua-dua perkara ini dilaksanakan bersama-sama. Tidak lengkap iman jika kita bersungguh melakukan kebaikan tetapi tidak menghalang kemungkaran dalam keluarga dan masyarakat kita.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang lelaki telah melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri, lalu dialihkan ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki tersebut dan diberikan keampunan keatasnya.” (Riwayat Bukhari)

Perbuatan lelaki ini sepertinya kecil dan mudah sahaja. Tetapi dia telah melakukan satu kebaikan yang mana akan mengelakkan kecederaan atau mudarat pada orang lain.

Kita inginkan syurga sebagai tempat tinggal abadi dan sama sekali tidak mahu merasakan kerasnya azab neraka. Beginilah saranan menjadi orang yang soleh:

1. Memperbanyakkan amalan soleh dan menjauhi segala bentuk kejahatan dan dosa.

2. Memastikan kehidupan kita sehari-hari tidak bercanggah dengan hak-hak Allah dan hak-hak manusia.

3. Memperbanyakkan kebajikan sesama manusia seperti membantu mengurangkan kesusahan dan mempercepatkan urusan yang melibatkan kepentingan manusia.

4. Memastikan agar kehidupan seharian tidak mencampuradukkan perkara yang halal dan perkara yang haram.

Firman Allah SAW:

“Tidaklah sama ahli neraka dan ahli syurga, ahli syurga merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.” (Al-Hasyr:20)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Ogos 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial