GST – Farmasi dan klinik swasta

Baru-baru ini ahli farmasi mencadangkan doktor mendiagnos pesakit dan pesakit mendapatkan ubat-ubatan di farmasi. Sistem ini masih di peringkat perbincangan dan Datuk Sri Dr Subramaniam, Menteri Kesihatan telah mengarahkan jabatan mengadakan dialog bersama pihak yang terlibat seperti doktor dan ahli farmasi.

Ahli farmasi mencadangkan 1 April 2015 untuk melaksanakan sistem ini. Namun, keputusan belum lagi dibuat. Tarikh ini signifikan dengan pelaksanaan GST.

Jika cadangan ini dipersetujui, doktor akan mendiagnos dan memberi rawatan kepada pesakit di klinik, kemudian memberi preskripsi ubat. Kemudian, pesakit boleh mendapatkan ubat di farmasi.

Layanan GST untuk perkhidmatan kesihatan dan farmasi

Perkhidmatan kesihatan adalah perkhidmatan yang dikecualikan cukai. Pengguna yang mendapatkan rawatan dan ubat di klinik swasta atau hospital swasta tidak akan dikenakan cukai. Klinik swasta juga tidak boleh menuntut cukai yang mereka tanggung ke atas kos operasi atau bekalan ubat yang diambil.

Jika klinik swasta fokus kepada rawatan dan khidmat nasihat dan mengurangkan pembekalan ubat, secara tidak langsung kos mereka lebih rendah kerana tidak perlu menanggung cukai ke atas ubat-ubatan yang berkadar standard.

Farmasi membekalkan ubat yang dibenarkan mengikut preskripsi doktor di klinik. Ahli farmasi ialah seorang profesional dan berlesen. Mereka tertakluk kepada undang-undang dan tidak boleh memberi preskripsi yang dilarang.

Farmasi mempunyai lebih banyak bekalan ubat dan sebahagiannya adalah ubat-ubatan nasional yang berkadar sifar. Pesakit yang mendapatkan ubat-ubatan berkadar sifar tidak perlu membayar cukai. Antaranya, ubat demam, ubat batuk dan beberapa jenis vitamin.

Manakala ubat-ubatan lain yang tidak tersenarai dalam Senarai Ubat-ubatan Nasional yang berkadar sifar, akan dikenakan GST pada kadar standard iaitu 6 peratus.

Farmasi yang sudah berdaftar dengan GST boleh mengutip cukai dan menuntut cukai input ke atas kos barangan dan operasi mereka. Farmasi juga biasanya mengambil kuantiti ubat yang lebih tinggi daripada pembekal.

Secara amnya, kos ubat di farmasi lebih rendah daripada di klinik swasta. Dengan pelaksanaan GST, farmasi dapat menawarkan harga yang berpatutan dan lebih banyak pilihan ubat-ubatan.

Amalan semasa

Rakyat Malaysia kini mendapatkan rawatan dan bekalan ubat daripada klinik sekaligus. Hakikatnya, pesakit boleh mendapatkan ubat di farmasi berdekatan dengan kos yang lebih rendah.

Melalui maklumbalas pengguna di laman sosial dan media, ramai menyatakan bahawa mereka memilih untuk mendapatkan ubat di klinik kerana mudah dan cepat. Pesakit tidak perlu pergi ke lokasi berbeza untuk mendapatkan ubat.

Namun begitu, sebahagiannya berpendapat ubat-ubatan di farmasi lebih murah berbanding yang dibekalkan oleh klinik.

Cadangan FOMCA

FOMCA iaitu persatuan pengguna, menyarankan agar pesakit (pengguna) diberi pilihan untuk mendapatkan ubat di klinik swasta sekaligus apabila mendapat rawatan atau pergi ke farmasi dengan preskripsi yang diberikan oleh doktor.

Pengguna berhak memilih mengikut kemampuan dan keselesaan mereka. Dengan cara ini, hak pengguna terpelihara.

Tips kepada pengguna menjelang GST

Kita belum pasti cadangan ‘doctors diagnose, pharmacists dispense’ akan dilaksanakan atau tidak. Namun, sebagai pengguna kita berhak membuat pilihan terbaik berdasarkan kemampuan kita.

1. Kebanyakan pesakit mendapatkan rawatan di klinik untuk kes yang bukan kecemasan seperti demam, batuk dan sakit perut. Dapatkan preskripsi ubat daripada doktor serta harga ubat yang dibekalkan oleh klinik.

2. Pergi ke farmasi berdekatan untuk mendapatkan bekalan ubat. Ubat-ubatan berkadar sifar akan dilabel ‘Z’. Ubat-ubatan ini tidak dikenakan cukai.

3. Untuk kes kecemasan, dapatkan ubat di klinik dahulu untuk dos yang mencukupi hingga anda boleh pergi mendapatkan dos penuh di farmasi. Buat masa ini tidak banyak farmasi dibuka hingga lewat malam atau buka 24 jam.

4. Jika anda tidak ke klinik, dan ingin mendapatkan preskripsi di farmasi sahaja pastikan anda jelaskan dengan betul dan jujur tentang masalah yang anda hadapi. Sakit seperti pening kepala dan batuk yang ringan kadangkala tidak perlu berjumpa doktor.

Cadangan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Apabila ia dilaksanakan, kita akan melihat lebih banyak farmasi dibuka dan masa operasi dilanjutkan. Ahli farmasi profesional dapat menyumbang kepada keperluan ini.

Klinik swasta boleh menumpukan kepada rawatan dan menyediakan bekalan ubat-ubatan untuk kes kecemasan. Doktor boleh fokus kepada rawatan yang lebih ‘advance’ dengan peralatan perubatan yang akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di samping kepakaran mereka sendiri.