Hak perempuan dalam Faraid – pembahagian pusaka orang Islam

Hak datang dengan tanggungjawab. Prinsip keadilan dalam Islam meletakkan sesuatu pada tempatnya dan tidak merujuk kepada satu faktor sahaja seperti kekuatan fizikal atau jantina.

Begitu juga dalam pembahagian harta pusaka. Faraid ialah pembahagian harta pusaka si mati (orang Islam) yang ditetapkan oleh Syariat. Secara umum perempuan mendapat 1/2 daripada apa yang diwarisi oleh lelaki. Namun, ada pecahan yang lebih terperinci bergantung kepada siapa waris si mati yang sah.

Perempuan itu berhak ke atas harta yang diwarisi mengikut Faraid sepenuhnya dan tidak bertanggungjawab daripada segi kewangan untuk menampung anak-anak atau waris yang lain. Sedangkan lelaki bertanggungjawab memberi nafkah dan bertindak sebagai wali kepada waris yang tinggal.

Perempuan sebagai ibu

Tugas perempuan yang bergelar ibu sangat besar di sisi Islam. Kesakitan dan pengorbanan semasa melahirkan anak tidak dapat dibayar dengan harta atau wang yang banyak. Saat-saat melahirkan itu sungguh mengerikan dan seolah-olah berada di ambang maut. Namun, semua ketakutan, kesakitan dan keraguan berganti dengan senyuman saat melihat bayi yang dinanti selamat dilahirkan.

Oleh itu, Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada si ibu. Anak lelaki khususnya mesti mentaati ibu selagi tindakan atau permintaan ibu tidak menyalahi tuntutan agama.

Dalam sistem Faraid, ibu mewarisi 1/3 pusaka si mati sekiranya si mati tidak meninggalkan anak lelaki atau perempuan, atau cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki. Si mati juga tidak meninggalkan saudara lelaki atau saudara perempuan sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.

Ibu mewarisi 1/6 pusaka jika si mati meninggalkan waris-waris yang disebutkan diatas.

Perempuan sebagai isteri

Isteri mewarisi 1/4 pusaka jika suami tidak mempunyai anak atau anak kepada anak lelaki (cucu). Anak ini sama ada anak daripada beliau atau orang lain, sama ada lelaki atau perempuan.

Isteri mewarisi 1/8 pusaka jika suami mempunyai anak atau anak kepada anak lelaki seperti yang disebutkan diatas.

Jika si mati mempunyai lebih daripada seorang isteri, jumlah pusaka 1/4 atau 1/8 hendaklah dibahagikan sama rata kepada semua isteri.

Perempuan sebagai anak

Seorang anak perempuan (tunggal) mewarisi 1/2 daripada pusaka kerana beliau tidak mempunyai saudara lelaki yang menjadikannya asabah. Asabah ialah orang yang mewarisi baki harta.

Jika si mati meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, anak perempuan mendapat satu bahagian dan anak lelaki dua bahagian daripada baki harta pusaka. Dalam situasi ini, anak lelaki menyebabkan anak perempuan menjadi asabah.

Jika si mati meninggalkan dua orang atau lebih anak perempuan dan tiada anak lelaki, maka semua anak perempuan ini mewarisi 2/3 pusaka. Jumlah ini (2/3) akan dibahagikan sama rata kepada semua anak perempuan.

Perempuan sebagai saudara

Saudara perempuan seibu sebapa boleh mewarisi 1/2 pusaka sekiranya si mati tidak mempunyai anak, cucu daripada anak lelaki, tiada bapa atau datuk, beliau ialah waris tunggal dan tiada saudara lelaki yang menjadikannya asabah.

Saudara perempuan sebapa boleh mewarisi 1/2 jika si mati tidak mempunyai saudara seibu sebapa dan memenuhi syarat diatas.

Dua orang atau lebih saudara perempuan seibu sebapa boleh mewarisi 2/3 pusaka sekiranya si mati tidak mempunyai anak, saudara lelaki atau bapa/datuk.

Dua orang atau lebih saudara perempuan sebapa boleh mewarisi 2/3 jika si mati tidak mempunyai saudara seibu sebapa dan memenuhi syarat diatas. 

Ini adalah sebahagian daripada pecahan Faraid yang asas. Biasanya saudara lelaki atau perempuan tidak mempunyai bahagian dalam Faraid sekiranya si mati meninggalkan anak lelaki atau bapa. Anak dan bapa/datuk adalah lebih dekat dengan si mati daripada segi pembahagian Faraid.

Petikan daripada buku Pengurusan Harta Pusaka dalam Fiqh Syafi’i, Dr Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan. Beliau mengambil syair Iman al-Rahabi yang menyebut tujuh waris perempuan:

Perempuan yang mewarisi pusaka ada tujuh,
       Syarak tidak memberi selain daripada tujuh perempuan ini.
Anak perempuan, cucu perempuan dan ibu yang pengasih,
      Isteri, nenek dan wanita yang merdekakan hamba.
Saudara perempuan daripada mana-mana kedudukan,
      Demikian diterangkan bilangan mereka.

Anda boleh menyemak pengiraan faraid secara online di Laman Web Islam USM. Pengiraan di laman web ini hanya sebagai panduan sahaja. Untuk tujuan pentadbiran pusaka, sila mohon Sijil Faraid di Pejabat Agama berhampiran.

2 thoughts on “Hak perempuan dalam Faraid – pembahagian pusaka orang Islam”

  1. As salam.. terima kasih atas info yg berguna. sy ada soalan. boleh terangkan mcm mana kiraan 2/3 jika semua anak si mati adalah perempuan dan lebih dr satu org. contoh : Si mati meninggalkan harta sebanyak rm 800 000 dan mempunyai 3 anak perempuan. Jd pembahagian harta ialan 2/3. boleh tunjukkan cara pengiraan nya?

    1. Salam. Pengiraannya adalah 2/3 x RM800,000 bersamaan RM533,333. Kemudian jumlah ini dibahagikan sama rata kepada 3 orang anak perempuan. Setiap orang akan dapat RM177,777.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *