“Hampir RM100 untuk buffet sahaja! Saya rasa bersalah.”

Kami menginap di hotel untuk menghadiri satu program di lokasi berhampiran. Kononnya ingin mencuba buffet Ramadhan di restoran hotel.

“RM105 seorang.” Jawab pegawai di lobi hotel apabila kami bertanya kadar bufet yang ditawarkan.

“Kita buka kat tempat lain, dua orang pun tak sampai RM100. Berapa banyak yang boleh kita makan.” Gumam Yati.

Sudahnya, kami berbuka di salah sebuah restoran dalam kompleks. RM35 untuk dua orang.

Saya teringat kata-kata seorang kenalan, “Saya rasa bersalah jika makan buffet yang mahal. Hampir RM100, ada juga yang lebih. Bagaimana dengan golongan yang kurang mampu. Makan seadanya. Secukupnya saja.”

Ya. Saya bersalah juga.

Dahulu, saya menyertai jemputan syarikat ke majlis berbuka puasa dan majlis hari raya di hotel. Semuanya ditaja.

Kadang-kadang sukar menolak jemputan. Lagi pula majlis sebegini peluang yang baik untuk berhubungan atau membina jalinan (networking).

Bagaimana jika kita buat sesuatu yang berbeza dengan tujuan yang sama?

Tujuannya untuk berbuka bersama. Raikan kegembiraan berbuka puasa dengan hidangan yang sederhana.

Tidak semestinya di hotel. Mungkin di masjid. Kongsi sekali dengan jemaah yang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *