Nota Khutbah

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

“Katakanlah (wahai Muhammad), perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya. Dalam pada itu, segala tanda dan bukti dan segala rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.” (Yunus: 101)

Manusia diciptakan dengan satu kelebihan berbanding makhluk yang lain iatu akal. Kemampuan akal untuk berfikir membawa banyak manfaat kepada manusia sehingga dapat berkembang dengan tamadun dalam zaman-berzaman.

Namun, akal turut dikurniakan kepada manusia untuk memerhatikan segala kejadian di langit dan di bumi. Semua ini adalah  bukti kekuasaan Allah SWT. Manusia tidak akan mampu mencipta benda hidup walaupun seekor lalat sekalipun.

Perhatikan kejadian air. Air adalah unsur terpenting dalam kehidupan. 2/3 daripada bumi ini adalah air. 2/3 daripada badan manusia mengandungi air. Tanpa air manusia akan mati dalam tiga hingga lima hari.

“Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum lalu kami pisahkan antara keduanya? Dan kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Al-Anbiya’: 30)

Sejarah air dan telaga zam-zam di bumi Mekah

Sebelum kedatangan Islam, telaga zam-zam menjadi sumber air yang utama di Mekah. Telaga ini diuruskan oleh datuk Nabi Muhammad SAW iaitu Abdul Mutalib. Selepas kerasulan Nabi dan berkembangnya syiar Islam, fungsi telaga ini semakin meluas dalam memenuhi keperluan minuman, bersuci, berwuduk, perubatan dan sebagainya.

Madinah pula sebuah bandar yang dikuasai Yahudi daripada segi ekonomi termasuk punca airnya. Dua buah telaga di Madinah dimiliki oleh orang Yahudi. Mereka mengenakan syarat tertentu untuk sesiapa yang ingin menggunakan sumber air ini.

Nabi Muhammad SAW menyeru kepada kaum muslimin yang ingin membeli telaga itu dan mewakafkannya kepada umat Islam. Sahabat Nabi iaitu Saidina Usman bin Affan telah membeli telaga berkenaan dan mewakafkannya bagi kegunaan orang Islam.

Peristiwa ini menguatkan persaudaraan dan membuktikan bahawa Islam itu agama yang indah dan menyelamatkan umatnya. Dengan sumber air ini, umat Islam bebas untuk beribadah dan bersuci. Air bukan sahaja menyucikan luaran tetapi turut menyucikan kekotoran ruhani sepertimana fungsi wuduk yang menyucikan diri untuk melakukan ibadah solat.

“Ketika salah seorang daripada kamu bangun dari tidur maka hendaklah menghirup air ke hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya.” (Riwayat Bukhari)

Kepentingan air

“Dan kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan tertentu, serta kami tempatkan akannya di  bumi; dan sesungguhnya kami berkuasa melenyapkannya.” (Al-Mukminun: 18)

Air adalah bukti kekuasaan yang Maha Pencipta. Air amat penting sebagai sumber kehidupan. Air juga boleh merosakkan, sekiranya Allah SWT menghendakinya ia terjadi begitu.

Sebagai peringatan, jagalah sumber air daripada pencemaran. Lindungi hutan hujan dan alam semulajadi yang menjadi sebahagian kejadian langit dan bumi.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; Kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Rum: 41)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Ogos 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial