Blog,  Buku

Hari Ini Dalam Sejarah

Pada hari ini saya pergi ke Perpustakaan Awam Johor di Jalan Yahaya Awal. Saya menyerahkan 60 buah buku Projek Lavender 2 sebagai koleksi perpustakaan. Sudah sampai ke sini, saya mendaftar sebagai ahli di kaunter masuk. Isi borang dan terima kad keahlian. Sah untuk setahun.

Perpustakaan ini ada tiga tingkat. Tingkat 1 (bawah) untuk kanak-kanak, Tingkat 2 untuk remaja dan dewasa, Tingkat 3 pula pejabat. Saya naik ke Tingkat 2. Mahu melihat-lihat buku di rak. Mana tahu ada judul menarik yang saya boleh pinjam dan bawa balik. Ahli boleh meminjam sehingga 15 buah buku untuk tempoh 2 minggu. Lumayan. Bulan lepas saya meminjam 3 buku daripada Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam (PPAS). Ahli PPAS boleh meminjam 10 buah buku untuk tempoh 3 minggu dan boleh dipanjangkan untuk 7 hari lagi. Jadi, maksimum 4 minggu.

Jika dibanding dua buah perpustakaan ini (PPAJ dan PPAS), tentulah berbeza. PPAS lebih besar dan ada empat tingkat dengan koleksi buku yang lebih banyak. PPAJ ini sederhana sahaja tapi selesa.

Saya pergi ke rak-rak yang menempatkan buku pelbagai kategori. Novel dewasa dan kanak-kanak, biografi dan sejarah, ekonomi dan perdagangan, psikologi, perubatan dan lain-lain. Saya terjumpa buku travel yang kami tulis, Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari. Buku travel kawan-kawan penulis yang lain seperti Normi Nas, Meor Farid Asyradi, Mohd Hilmi dan Siti Noridah AR. Berbunga juga hati ini. Saya menyelak halaman akhir yang ditampal dengan kertas untuk tarikh pemulangan. Setakat ini belum ada yang meminjam buku saya dan sahabat saya Noor Hayati Yasmin untuk dibawa pulang. Mungkin hanya dibaca di Perpustakaan.

Sehingga saya sampai pada rak bahagian belakang. Tetulang buku yang berwarna kuning menarik perhatian. Ada beberapa buah jilid nampaknya. Saya ambil dan ini bukunya: Hari Ini Dalam Sejarah.

Masih ingat lagi siaran radio yang dimulakan dengan ‘Pada hari ini dalam tahun … ‘ ? Tidak jauh bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Facebook yang akan memunculkan ‘kenangan anda pada hari ini’ bagi tahun-tahun lalu.

Baru-baru ini saya ada mendengar slot ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ dalam salah satu saluran radio. Saya teruja. Semua skrip yang digunakan dalam slot ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ sudah dijilidkan.

Hari Ini Dalam Sejarah, 1980. Diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia.

Saya membaca pengenalan dalam Jilid 1 oleh Puan Zakiah Hanum, Ketua Pengarah Akrib Negara Malaysia. Buku ini dihasilkan lanjutan daripada populariti rancangan Hari Ini Dalam Sejarah. Program itu dimulakan pada 1 Januari 1980. Oleh sebab sambutan yang bagus, timbul idea untuk mengumpulkan semua peristiwa sejarah yang diambil menjadi skrip program. Ulasan yang padat disediakan dan dibaca untuk tempoh 1 hingga 3 minit sahaja.

Objektif program ialah:
i. Mengenang kembali segala peristiwa yang bersejarah yang telah berlaku di tanahair kita.
ii. Memupuk semangat cinta kepada tanahair.
iii. Menimbulkan kesedaran kebangsaan di kalangan rakyat Malaysia.
iv. Memberi kesedaran dan pengetahuan kepada semua golongan dan peringkat masyarakat.

Peristiwa penting ini dipilih daripada kejadian yang berlaku sejak 1400 meliputi aspek ekonomi, politik dan sosial tanahair. Ia diambil daripada sumber asal. Ada juga yang diambil daripada sumber kedua kerana sukar mendapat sumber asal.

Apakah yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1930?
Saya taip semula teksnya di sini.

Pengumuman Dasar Disentralisasi Negeri-negeri Melayu Bersekutu

Pada hari ini dalam tahun 1931 Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Cecil Clementi telah mengumumkan dasar disentralisasi pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam sidang Durbar yang kedua di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Sebelumnya, pada bulan Disember 1925, Sir Lawrence Guillemard, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada waktu itu telah terlebih dahulu mengumumkan dasar disentralisasi ini untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi yang diakibarkan oleh kemerosotan ekonomi dunia pada tahun-tahun 1920an dan awal 1930an. Bagaimanapun Sir Lawrence Guillemard terpaksa memendamkan rancangan-rancangannya memandangkan bantahan yang telah diterima, terutamanya dari pegawai-pegawai kerajaan. Pengganti Guillemard, Hugh Clifford tidak berminat untuk menyelesaikan masalah disentralisasi ini. Masalah ini terbiar sehingga pengganti beliau Sir Cecil Clementi mengambil alih jawatan Pesuruhjaya Tinggi pada bulan Februari 1930.

Dalam pengumuman beliau di Sidang Durbar 1931 itu, Sir Cecil Clementi telah menggariskan rancangan disentralisasi yang bertujuan untuk memberikan otonomi yang lebih pada tiap-tiap negeri mengenai hal ehwal negeri masing-masing.

Hal ini akan dilakukan dengan merombah struktur serta menguatkan majlis-majlis negeri untuk membolehkan mereka memikul tanggungjawab yang lebih akibat pemindahan beberapa perkhidmatan awam kepada majlis negeri. Jabatan-jabatan yang tidak dapat dipindahkan akan diletakkan di bawah jagaan Pesuruhjaya Tinggi sendiri. Sir Cecil Clementi juga telah mencadangkan untuk menyusun semula jentera kerajaan Negeri dan Persekutuan yang ada supaya kedudukan ekonomi mereka lebih teguh. Beliau juga bercadang untuk menghapuskan jawatan Ketua Setiausaha memandangkan peranan Sekretariat menyarankan satu dasar untuk menyatukan jabatan-jabatan tertentu iaitu meletakkan jabatan-jabatan ini di bawah satu Lembaga Pusat, misalnya keretapi akan diletakkan di bawah Lembaga Keretapi, Jabatan Pos, Telegraf dan Telefon akan disatukan di bawah Lembaga Pos.

Cadangan-cadangan disentralisasi Clementi ini telah mendapat bantahan yang hebat, terutamanya dalam hal-hal penghapusan jawatan Ketua Setiausaha, peraturan kewangan di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan, pengagihan dengan serta merta Jabatan Perubatan dan Kerjaraya, dan kekhuatiran bahawa pemusatan akan berlaku di Singapura pula. Golongan-golongan yang membantah kuat cadangan disentralisasi Cecil Clementi ini ialah dari golongan perniagaan, pengusaha-pengusaha ladang dan lombong, peguam, pegawai awam, bekas pegawai awam British dan ahli Majlis Negeri dan Persekutuan. Mereka berpendapat sebarang perubahan yang mengancam kestabilan dan kekuatan kewangan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan memberi kesan tidak baik ke atas kedudukan ekonomi yang semakin lemah akibat berlaku kemelesetan ekonomi dunia. Sir Cecil Clementi dan pegawai-pegawai yang menyokong beliau pula berpendapat bahawa dasar ini adalah bertujuan untuk mempertahankan kehormatan kerajaan British di dalam urusannya dengan negeri-negeri Melayu seluruhnya.

Akhirnya dasar disentralisasi yang diumumkan oleh Sir Cecil Clementi ini telah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna bukan saja disebabkan oleh tentangan golongan elit Melayu dan masyarakat bukan Melayum termasuk pegawai British tetapi juga kerana kekaburan seluruh dasar itu sendiri. Dasar Clementi ini telah mengakibatkan percanggahan dalam hal-hal kepentingan dan keperluan perdagangan serta ekonomi imperialis. Bagaimanapun beliau telah mendapat persetujuan daripada Pegawai Pejabat Tanah Jajahan di London untuk melaksanakan dasar ini. Salah faham timbul di antara Pegawai Pejabat Jajahan itu dengan beliau sendiri sebagai Pesuruhjaya Tinggi.

Sir Cecil Clementi. Sumber: Buku Hari Ini Dalam Sejarah

Saya melihat-lihat beberapa halaman dalam jilid yang sama (bulan Julai-Ogos). Sudah tentu saya mahu lihat ulasan untuk tarikh 31 Ogos 1957. Hari Kemerdekaan Tanah Melayu. Sejarah penjajahan Tanah Melayu bermula lebih 170 tahun sebelumnya apabila Francis Light mengambil Pulau Pinang pada 17 Ogos 1786 dengan cara yang licik sekali. (Jika saya rajin, saya akan taipkan dua teks berkenaan.)

Ada beberapa lagi peristiwa menarik yang sempat saya baca:
– Serangan Pertama Portugis Ke Atas Melaka pada 25 Julai 1511
– Bunga Raya Diisytiharkan Sebagai Bunga Kebangsaan pada 28 Julai 1960
– Pinjaman Untuk Biayai Rancangan Pembangunan Lima Tahun Yang Pertama pada 7 Ogos 1957
– Bahasa Melayu Diisytiharkan Sebagai Bahasa Rasmi Negara pada 1 September 1967

Buku Hari Ini Dalam Sejarah buku yang sangat penting dan saya gembira dapat membaca beberapa peristiwa penting yang dicatatkan. Dalam masa yang sama menimbulkan pelbagai perasaan lain yang bercampur-aduk antara sayu, sedih, gembira, marah dan benci. Sejarah sudah tercipta, tapi hari-hari depan kita yang akan melaluinya.

Buku ini boleh menjadi rujukan yang hebat buat penulis fiksyen dan bukan fiksyen.

Writing prompt Ogos 2019: Gambar dalam telefon anda
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial