Buku

How to Become an Intelligent Reader

Tahniah diucapkan kepada Sasterawan Negara yang diberi pengiktirafan. Mereka akan mula menerima elaun sebanyak RM5,000 setiap bulan sebagai menghargai sumbangan yang diberikan dalam penghasilan karya sastera. Satu langkah yang baik.

Karya sastera memberi satu kepuasan yang berbeza kepada pembaca. Membaca karya sastera memberi kesan positif dalam hubungan kemanusiaan. Pembacaan yang mendalam menguatkan rasa empati dalam diri. Sasterawan negara kita menulis karya yang hebat. Sudah tiba masanya karya mereka diedarkan secara meluas dan digunakan dalam pendidikan.

Saya masih mengingati pengalaman membaca Salina oleh SN A.Samad Said ketika berusia belasan tahun. Novel itu tebal tapi saya bersungguh-sungguh untuk menamatkan pembacaan. Saya mengambil masa yang lama. Lagi pula tabiat saya bukan membaca dengan pantas. Saya suka membaca satu persatu perkataan dan ayat jika novel itu menarik minat saya.

Saya pernah membaca Seorang Tua di Kaki Gunung oleh Azizi Haji Abdullah dan Saga oleh Abdul Talib Mohd Hassan. Kemudian, saya mula membaca karya Faisal Tehrani seperti Manikam Kalbu dan Bedar Sukma Bisu. Saya turut membaca novel Waja oleh Lamia Aimal. Saya dapat mengingati tajuk novel dan penulisnya kerana saya rasakan buku-buku ini ditulis dengan hebat dan bagus. Saya juga pernah membaca novel cinta pop yang saya tak ingat lagi judulnya. Selain fiksyen, saya turut membaca buku bukan fiksyen.

Membaca adalah hobi dan keperluan. Bacaan yang ringan dan santai untuk memenuhi masa lapang. Buku yang serius dan sarat maklumat untuk memenuhi keperluan kajian, kerjaya mahupun penulisan. Kajian oleh Mindlab menyatakan membaca dengan tekun selama 6 minit dapat mengurangkan stres sebanyak 6o peratus.

Kini, bahan bacaan dihidangkan dalam pelbagai bentuk seperti ebook dan audiobook. Malahan, setiap hari mungkin juga setiap masa kita membaca banyak status Facebook, Twitter dan media sosial. Namun, kandungan media sosial ini tidak akan sama dengan sebuah buku yang lengkap.

Dalam tahun kebelakangan, penerbit berlumba-lumba menerbitkan status media sosial yang dikumpulkan menjadi buku. Saya juga pernah membeli dan membaca buku seperti ini. Namun, saya akui kepuasaannya berbeza berbanding buku yang kandungannya tidak pernah disiarkan di media sosial. Sudah tentu ada kelebihan apabila sebahagian kandungan pernah dikongsi kepada umum. Tapi saya akan mengulas hal ini dalam entri yang lain.

Sebagai pembaca, kita berhak untuk mendapatkan bacaan yang berkualiti. Lambakan buku dan maklumat kadang kala menyukarkan kita untuk membuat pilihan yang bijak. Apabila memilih buku, sudah tentu kita akan pilih buku yang kita suka. Mungkin kita suka penulisnya atau kandungan buku atau kulit buku.

Jadi, bagaimana menjadi pembaca yang bijak? Kita ada 24 jam sehari, mungkin hanya ada beberapa jam atau minit untuk membaca. Dengan pilihan buku yang bagus kita dapat memaksimakan manfaat daripada tabiat membaca.

1 – Cuba baca buku sastera.

Mungkin anda menganggap buku sastera ini susah. Sedangkan banyak buku sastera yang nipis. Tidak semestinya buku sastera bahasa Melayu. Buku Sweet Bean Paste oleh Durian Sukegawa misalnya membuatkan saya rasa sedih dan terharu apabila cuba mendalami hubungan seorang wanita tua dengan penjual dorayaki.

Buku Faisal Tehrani yang berjudul Manikam Kalbu membawa tema busana Melayu yang agung dan Bedar Sukma Bisu memberi maklumat tentang perkapalan dan ekonomi. Kita mendapat maklumat yang segar apabila membaca buku seperti ini.

2 – Baca buku yang mengandungi maklumat dan sokongan penyelidikan.

Buku The Obesity Code ialah contoh yang bagus. Sudah lama saya tidak membaca buku seperti ini. Saya kagum dengan Dr Jason Fung yang berjaya menulis buku berdasarkan banyak kajian dan pengalaman beliau sebagai pakar.

Buku ini memberi maklumat yang segar dan kukuh. Ia memberi kefahaman yang baru berbanding pengetahuan saya sebelum ini.

3 – Dapatkan cadangan buku oleh rakan.

Anda kenal siapa yang suka membaca dan bahan bacaan yang mereka selalu baca. Jadi, boleh dapatkan buku yang sama. Saya selalu melihat buku yang dibaca oleh sahabat dan rakan-rakan di media sosial. Saya akan cuba dapatkan buku itu jika ia dalam genre pilihan saya.

4 – Buku yang popular tak semestinya bagus dan sesuai untuk kita.

Banyak kali juga saya menyesal apabila membeli buku yang popular. Rupanya indah ‘khabar’ daripada ‘rupa’. Apabila ini terjadi, persepsi saya kepada penulis itu merudum. Bukanlah bermaksud saya tidak akan membaca karyanya yang lain. Tapi saya menjadi lebih cerewet.

Karya popular ini kadang kala ‘meletup’ sebab personaliti penulis yang popular di media sosial. Itu yang berlaku sekarang ini. Satu kelebihan kerana penulis dapat menyebarkan penulisannya dengan meluas. Namun, jika anda pembaca yang mengharapkan sesuatu yang ‘lebih’, saya takut anda kecewa. Tidak salah pun jika anda memang meminati personaliti ini. Anda boleh dapatkan karya personaliti yang anda sayangi.

Saya juga tidak akan membaca buku yang ditulis berdasarkan spekulasi. Dua buku yang saya belum berminat untuk membacanya sehingga kini ialah Billion Dollar Whale dan Sarawak Report. Saya berpendapat penulis buku dan penerbit buku sebegini mengaut keuntungan yang berlebihan.

Saya menghargai semua usaha penulis. Saya sendiri sudah menulis beberapa buah buku. Ia tidak sempurna namun mencapai objektif buku itu diterbitkan. Oleh sebab itu, saya mesti jadi pembaca yang bijak dan memilih buku yang bagus supaya saya dapat menulis buku yang bagus juga.

Apakah judul buku yang anda ingati sehingga sekarang? Apakah buku yang memberi kesan dalam hidup anda?

Please follow and like us:

One Comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial