Blog,  Buku

Hujan

Saya hampir putus asa. Hujan lebat menderu-deru semasa kami hendak keluar dari Tesco. Jarak pandang hadapan terganggu. Perlu berhati-hati. Kecewa sebab barang yang dicari tiada. Jurujual mencadangkan kami pergi ke Giant. Sepelaung sahaja dari Tesco. (Kira-kira 3 minit memandu.)

Yan mengajak saya ke sana. Mahu selesaikan tujuan kami. Mencari kain yang sepadan warna biru muda. Sebelum itu, kami singgah di rumah seorang teman. Saya memesan kain corak batik daripadanya. Sebenarnya sudah lebih 2 tahun tidak bertemu. Syukur pintu rumah terbuka. Dapat makin karipap dan teh ‘O’ sambil berborak hal kain dan jahit-menjahit.

Eh, yang menjahit tu bukan saya. Yan, tukang jahit. Jahit baju Myra dan Zikr, si buah hati. Bagus kan dapat jahit sendiri baju untuk anak-anak. Untuk mak. Untuk adik-beradik. Untuk kawan-kawan tu bayar upah menjahit la ya.

Saya pernah menjahit baju kurung. Untuk dipakai sendiri. Mak yang ajarkan. Mak suka menjahitkan kami baju kurung, khususnya untuk Hari Raya. Masa saya sekolah menengah berasrama, mak jahitkan beberapa pasang baju untuk dipakai di sekolah. Baju sekolah juga mak yang jahitkan.

Selepas beberapa lama, saya semakin malas menjahit baju sendiri. Apabila bekerja, ada duit sikit beli sahaja baju kurung siap yang banyak dijual. Ah… bagi tukang jahit seperti Yan, katanya lebih selesa pakai baju yang dijahit mengikut ukuran badan.

Memang betul. Beberapa kali juga saya menempah baju kurung dengan tukang jahit di Muar. Tukang jahit teman serumah semasa di Shah Alam. Cantik betul jahitannya. Wanita Cina ini sudah lama menjahit. Upahnya tidak murah. Saya ingat upahnya lebih untuk baju pasang yang perlu ada lapis (lining) kerana kainnya jarang. Lebih RM100 rasanya.

Sebenarnya nilai upah ini bergantung kemahiran. Baju yang dia jahit saya masih simpan sampai sekarang. Masih elok dipakai. Baju yang saya beli siap, banyak yang sudah diberi kepada orang lain atau dihantar untuk recycle.

Saya dan Yan masih lagi bercakap-cakap tentang fesyen baju yang akan dihasilkan. Kagum betul dengan tukang jahit. Macam-macam ideanya. Entahlah… adakah saya akan menjahit semula? Mana tahu nak mencuba hobi yang lain. Memasak saya boleh. Yang mudah-mudah sahaja. Tapi menjahit ini perlu kesabaran dan ketelitian yang tinggi. Minat pun mesti ada.

Hujan dan menjahit. Tiada kena mengena. Tapi inilah cerita hujan saya dengan si tukang jahit.

Hujan biasa dikaitkan dengan kesedihan, kekecewaan, suram dan takut. Ya, takut hujan yang lebat menjadi bah. Tapi hujan juga mendatangkan kegembiraan. Saya suka hujan. Saya suka bunyi air hujan. Gerimis, rintik-rintik dan lebat.

Hujan beri kenyamanan yang kita mahukan. Cuaca panas di Malaysia ini, kalau tanpa hujan boleh menyebabkan gelisah. Nak buat kerja pun rasa tak seronok. Hujan dapatlah membersihkan udara kita ini.

Moga gas beracun yang mengapung di ruang udara Pasir Gudang hilang dan digantikan dengan udara segar. Saya fikir itu aturan alam supaya dunia seimbang. Tapi manusia selalu lupa dan menyebabkan kehancuran di muka bumi.

Sebuah novel yang saya suka berjudul Hujan, nukilan Tere Liye. Novel ini mengangkat isu pemanasan global. Karya yang menyentuh hati. Mungkin saya patut mengulang baca novel ini.

Selamat menghargai hujan dan momen pabila hujan turun.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNama, Surat

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial