Hutang yang baik – Qard al-hasan

Islam membenarkan hutang. Malah dalam al-Quran kita diingatkan agar hutang dicatitkan oleh orang yang adil. (Rujuk al-Baqarah, 2:282)
Hutang dibenarkan apabila tiada unsur riba’ atau faedah. Ini dinamakan Qard al-hasan (pinjaman yang baik).
Orang yang berhutang boleh membayar lebih dari jumlah hutang atas kemahuan sendiri tanpa adanya kontrak mengatakan dia perlu membayar tambahan RMxxx selain jumlah asal hutang.

Hutang atau pembiayaan oleh institusi kewangan seperti bank-bank Islam mempunyai struktur yang telah dikaji. Penasihat syariah menghalusi terma dan kontrak perjanjian pembiayaan sebelum memberi kelulusan. Pelbagai proses dan prosedur perlu dipatuhi oleh bank apabila ingin menawarkan produk patuh syariah di pasaran.

Selain hutang secara formal dengan institusi, hutang-hutang berbentuk peribadi adalah tidak salah dan biasa kita dengar hutang diantara individu. Apabila kedua-dua pihak bersetuju, maka hutang dibolehkan dengan syarat tiada unsur riba’.

Terkini, ada sebuah syarikat mempromosi hutang dengan iklan yang mengelirukan khalayak di laman Facebook. Apakah yang diwar-warkan dalam iklan itu?

Pengiklan menggunakan perkataan TUNAI syariah. Saya agak ragu-ragu dengan iklan ini:
– sasaran: blacklisted, surirumah, pelajar
– jadi ahli pertubuhan amal (bayar yuran RM100)
– rekomen 3-4 orang lagi jadi ahli
– bila cukup ahli 12-13 orang, jumlah pinjaman akan diserah kepada ketua kumpulan
– ahli kumpulan rekomen juga 3-4 orang
– bila buat bayaran pinjaman, tambah sumbangan RM100 untuk pinjaman RM1000
Iklan sebegini sangat mudah mempengaruhi orang ramai. Jumlah komen sahaja yang menyatakan minat sudah lebih 800.

Hutang sebegini selain tidak patuh syariah, ia hanya akan membawa penghutang kepada masalah kewangan yang lebih serius. Belanja dalam kadar kemampuan dan elakkan hutang yang tidak penting.

Iklan ini juga meminta mereka yang berminat untuk menjadi ahli. Ada ciri-ciri spam dalam promosi ini. Berhati-hatilah dalam membuat keputusan. Selidik dahulu dan jangan terburu-buru. Elakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *