Umum

In The Time of Loss

Kepada sahabat yang menghadapi ujian pemergian orang yang disayangi,

Saya menulis entri ini kerana mengingati orang yang telah pergi. Hari ini saya melihat laman sosial Instagram dan Facebook yang dihujani ucapan takziah kepada keluarga arwah Datuk A. Rahman Hassan dan adik kepada Afdlin Shauki. Saya melihat ig thefamily.uk yang berkongsi situasi adik Fatimah dan abangnya dalam menghadapi pemergian Mamajee atau Chef Adam Didam pada Ramadan yang lalu. Malahan beberapa kenalan saya juga menghadapi ujian kematian dalam keluarga mereka di bulan Ramadan dan Syawal yang mulia ini.

Sesungguhnya, hari ini saya merasai kesedihan itu. Saya mengingati kembali detik-detik akhir bersama ibu bapa saya. Ia membuat hati saya pilu. Saya anggap perasaan ini sebagai satu anugerah walaupun terasa pedihnya. Adakah saya melebih-lebih dalam keadaan ini?

Setiap orang melalui peristiwa kehilangan dengan cara yang berbeza. Pernah sekali seorang rakan menegur saya supaya ‘usah meratap’ orang yang telah pergi. Saya berkecil hati. Buktinya sehingga kini saya tidak dapat melupakan teguran ini. Menceritakan tentang mereka yang dijemput Ilahi, insan yang rapat dengan kita, ahli keluarga kita bukan menunjukkan yang kita lemah atau bersikap negatif. Kita berhak menghadapi kesedihan itu. Bukankah Nabi Muhammad SAW turut mengalami situasi yang sama apabila Saiditina Khadijah dan bapa saudaranya meninggal dunia?

Kita manusia biasa. Dakapi kesedihan itu dengan caramu.

Pernah seorang kenalan lain, merasa sebak apabila menceritakan tentang arwah isterinya. Pada ketika itu saya dan beberapa sahabat yang berada bersama di meja makan hanya mampu mendiamkan diri. Saya sendiri menyimpan rasa kerana tidak mampu mengeluarkan kata-kata yang sesuai kepadanya. Saya minta maaf. Saya tidak bermaksud untuk membiarkan dia larut dalam kesedihan. Sebenarnya, saya takut saya akan mengalirkan air mata.

Dalam keadaan yang lain, seorang sahabat saya mengatakan apakah yang akan berlaku pada hubungannya dengan bapanya? Sedangkan saya dan seorang lagi rakan sudah tiada bapa yang selama ini kita dapat lihat dan bersalam dengannya. Ia membuatkan saya sedih sekali lagi. Dan saya masih tidak dapat memberi kata-kata yang dapat memujuk dirinya.

Seorang sahabat saya yang lain, sempat menziarahi ke rumah semasa orang tua saya meninggal dunia. Dia mengatakan kepada saya, “Allah ada jaganya.” Ia meredakan perasaan saya ketika itu. Oleh sebab itu, saya sering kali menggunakan ungkapan yang sama kepada orang lain pula. Khususnya kepada kenalan yang rapat. Saya harap kata-kata ini dapat memujuknya sebagaimana ia memujuk hati saya sebelum ini.

Saya sama sekali tidak berhak mengatakan yang saya dapat memahami perasaan orang yang kehilangan insan tersayang. Walaupun saya sudah melaluinya apabila ibu dan bapa saya meninggal dunia beberapa tahun lalu. Bagaimana mungkin? Setiap kejadian dan peristiwa yang berlaku antara kita adalah berbeza sama sekali. Saat-saat akhir yang kita lalui dengan orang yang telah pergi unik bagi setiap orang. Nilai dan hubungan antara dua orang juga berbeza.

Kehilangan orang tua, pasangan, anak, sahabat dan ketua memberi kesan yang berbeza. Ia bergantung kepada hubungan antara dua insan ini. Biasa kita berfikir tentang rasa kasih sayang yang erat semestinya memberi kesan kesedihan yang mendalam. Bagaimana pula orang yang mempunyai rasa kebencian? Saya tidak pandai menelahnya.

Sekiranya ada sahabat saya yang mengalami kehilangan, dakapi dirimu dan usah rasa gusar jika engkau bersedih. Ia sama sekali tidak menunjukkan dirimu lemah. Ambil masa yang secukupnya untuk kau menjadi reda dengan kehilangan ini. Cari kerabat dan sahabat yang dapat mendengar luahan perasaanmu. Orang yang kau percayai. Kemudian, apabila kau rasakan lebih tenang, maka jalani hidupmu mengikut acuan yang kau tetapkan. Usah terikut-ikut dengan pandangan orang lain. Kau lebih mengetahui apa yang patut dilakukan.

Saya mendoakan semua orang yang menghadapi situasi sukar ini akan dapat melaluinya dengan tabah. Orang yang kita sayang itu tetap akan berada dalam hati kita sampai bila-bila. Hargai kenangan bersamanya dan sisipkan nama mereka dalam doa yang kita panjatkan. Semoga kau menemui ketenangan dan reda yang dicari. Insya-Allah.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial