Perakaunan

Ingin Menjadi Seorang Akauntan?

8% Sahaja Akauntan Bertauliah Bumiputra

Tahukah anda hanya 1,686 daripada 20,039 Akauntan Bertauliah di Malaysia adalah Bumiputera, atau hanya 8% sahaja daripada keseluruhan populasi? Ini adalah berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam akhbar The Star pada 15/8/2017.

Statistik ini menunjukkan ruang untuk golongan Bumiputera meyumbang dalam bidang perakaunan masih luas terbuka. Malah, ia adalah salah satu bidang kritikal untuk mencapai Wawasan 2020. Untuk membantu melahirkan lebih ramai Akauntan Bertauliah di kalangan Bumiputera, Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPac) telah ditubuhkan untuk mencapai sasaran 3,000 Akauntan Bertauliah menjelang tahun 2020. Adakah anda bersedia?

Kerjaya Paling Tua

Mungkin sahaja kerjaya sebagai akauntan adalah antara kerjaya paling tua di dunia. Kerja merekod yang sinonim dengan bidang ini sudah disebutkan dalam Quran apabila Tuhan menyarankan supaya orang yang memberi hutang untuk mencatatkan hutang. Hutang ini mesti pula dicatat oleh orang yang adil.

Sistem simpan kira dan catatan bergu mula diperkenalkan oleh Luca Pacioli pada tahun 1484. Ini bermaksud sistem ini sudah digunakan secara meluas dan berkembang lebih 600 tahun.

Akta Perakaunan 1967

Di Malaysia, di bawah Akta Perakaunan 1967, mana-mana individu tidak dibenarkan menggelarkan dirinya sebagai ‘Akauntan’ sekiranya individu tersebut tidak mendaftar sebagai ahli kepada Institusi Perakaunan Malaysia atau Malaysian Institute of Accountants (MIA).

Jadi, bukan sesiapa saja boleh sewenang-wenangnya boleh bergelar ‘Akauntan’. Kredibiliti ini adalah sangat penting kerana Akauntan mesti menjaga Kod Etika, Professional dan Integriti yang tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya. Sebagai ahli MIA dan berjaya memperolehi Tauliah Professional dari institusi global, seorang Akauntan wajib meningkatkan ilmu dan kemahirannya secara berterusan (Continuous Professional Development “CDP”), untuk memastikan kepakarannya terus relevan dan berkualiti.

TIPS SUKSES KEPADA BAKAL AKAUNTAN BERTAULIAH
1. Sekiranya anda adalah pelajar dalam bidang Perakaunan dari mana-mana universiti di dalam atau luar negeri, jangan berhenti setakat segulung Ijazah sahaja. Ia tidak mencukupi. Teruskan pengajian anda hingga ke peringkat Tauliah Professional dari badan perakaunan antarabangsa seperti CIMA, ACCA, ICAEW, CPA dan sebagainya.

2. Pastikan anda dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana semua ilmu perakaunan adalah di dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya anda tidak faham bahasa ini, tentulah sukar untuk memahami dan menjawab soalan peperiksaan.

3. Untuk bergelar sebagai ‘Akauntan’, pastikan anda mendaftar dengan Malaysian Institute of Accountants (MIA). Barulah anda boleh mendapat pengiktirafan ‘CA (M)’ selepas nama anda.

4. Yuran pengajian untuk peringkat Tauliah Professional global adalah pelaburan yang agak besar, terutamanya kerana faktor mata wang asing. Misalnya, yuran peperiksaan dan keahlian untuk CIMA dan ACCA ialah dalam Pound Sterling. Jadi, anda perlu merancang sumber kewangan dari awal agar tidak kecewa di kemudian hari. Setengah syarikat korporat besar memberi bantuan kewangan khas atau biasiswa kepada pekerja untuk meneruskan pengajian di peringkat professional.

5. Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata negatif, “Perakaunan itu susah, ramai gagal, CIMA/ACCA/ICAEW amat susah, sia-sia” dan sebaginya. Kalau 18,000 bangsa bukan Bumiputera boleh lakukannya, kenapa tidak orang Bumiputera?
Yakin boleh! Anda pasti boleh mencapai impian untuk menjadi Akauntan Bertauliah dan memberi manfaat kepada ramai orang.

InshaAllah, kami akan berkongsi lebih banyak informasi dan tips di masa yang akan datang.

Perkongsian oleh:

Yasmin Mohd Ramzi, CA(M), FCMA, CGMA, Akauntan Bertauliah, ahli kepada Malaysian Institute of Accoutants (MIA) dan Fellow, Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Norsa’adah Ahmad, Penulis Buku Kewangan, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Boleh muat turun artikel di sini. Siri 1 – Ingin Menjadi Akauntan v3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *