Kaitan Faraid dan pentadbiran harta pusaka di Malaysia

Sarah kalut. Pagi tadi abang iparnya datang ke rumah bertanyakan buku akaun Zul, arwah suaminya. Dua minggu lalu kehidupan Sarah berubah. Zul meninggal di pejabat akibat serangan jantung. Zul tempat dia bergantung harap dan berkasih sayang. Sarah tidak bekerja. Selama ini, dia setia mengurus rumah tangga dan kebajikan anak-anaknya, Fatimah dan Abdullah.

“Sarah dah kumpulkan semua buku akaun Zul? Abang nak uruskan hal harta arwah secepat mungkin.”

Sarah hanya mampu memberi pandangan kosong.

“Nanti Sarah cari dulu. Sarah pun tak pasti mana arwah Abang Zul letak,” jawabnya acuh tak acuh.

Padahal dia sudah membelek-belek buku Tabung Haji dan penyata bank suaminya. Dalam diam dia bersyukur.

Zul seorang yang berjimat cermat dan pandai menyimpan. Sarah fikir apa yang ditinggalkan suaminya cukup untuk menampung kehidupannya dan anak-anak untuk suatu tempoh yang panjang.

Namun, dia tidak tahu cara untuk mendapatkan simpanan Zul. Dia keliru. Kenapa abang iparnya beria-ria meminta buku akaun arwah suaminya?

Sarah ada berbincang hal pusaka Zul dengan ibu dan bapa mertuanya. Mereka masih bersedih atas pemergian anak kesayangan. Walaupun begitu, Sarah lega kerana bapa mertua bersifat terbuka.

Bapa mertuanya yang menyarankan Sarah mengumpul semua dokumen berkaitan harta yang ditinggalkan Zul.

——————————
Situasi serupa banyak berlaku dalam masyarakat kita. Hal berkaitan harta pusaka boleh menimbulkan konflik dalam kalangan waris. Persoalan utama dalam pentadbiran pusaka orang Islam adalah siapa waris yang berhak dan berapa bahagian setiap waris mengikut hukum Faraid.

Apakah kaitan pentadbiran pusaka di Malaysia dan hukum Faraid?

Hukum Faraid ialah pembahagian harta pusaka si mati (orang Islam) kepada waris yang berhak mengikut Syarak. Faraid digunakan dalam menentukan siapa waris dan berapakah bahagian masing-masing.

Waris Faraid ditentukan mengikut salah satu daripada sebab mewarisi iaitu hubungan kekeluarga (pertalian darah), pernikahan, wala’ (orang yang membebaskan hambanya) dan hubungan sesama Islam.

Dalam kes Sarah dan Zul, waris Faraid Zul (si mati) ialah ibu, bapa, isteri, anak lelaki dan anak perempuan. Abang kepada Zul iaitu saudara lelaki bukan waris Faraid kerana Zul ada meninggalkan anak lelaki.

Sistem pentadbiran pusaka di Malaysia mengiktiraf Faraid dalam urusan pembahagian pusaka orang Islam. Waris Faraid diberi keutamaan untuk membuat tuntutan pusaka di Mahkamah Tinggi, Pejabat Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad.

Sekiranya ada pihak selain daripada waris Faraid mengemukakan permohonan, pegawai bicara di semua institusi ini berhak mendapatkan persetujuan waris Faraid semasa perbicaraan.

Selain itu, pembahagian Faraid akan digunakan sebagai penyelesaian jika tiada persetujuan dalam kalangan waris. Faraid ialah hak yang ditetapkan oleh Allah kepada setiap waris. Apabila waris bersetuju dengan pembahagian secara muafakat, maka ia tidak menjadi suatu kesalahan kerana pihak yang memegang hak itu secara sukarela memberikan haknya kepada waris lain.

Isu harta pusaka dalam Kes Zul

1. Abang Zul (saudara lelaki) mempunyai tanggapan dia berhak menguruskan pusaka si mati.
2. Sarah tidak tahu cara menguruskan harta pusaka arwah suaminya.
3. Fatimah dan Abdullah masih lagi di bawah umur 18 tahun. Mereka tidak boleh memegang harta secara mutlak.
4. Bapa Zul iaitu bapa mertua Sarah adalah penjaga (harta) kepada Fatimah dan Abdullah. Bapa Zul akan dilantik sebagai pemegang amanah untuk bahagian pusaka Fatimah dan Abdullah.
5. Sarah tidak dapat mengeluarkan sebarang tunai daripada akaun Zul. Kemungkinan besar dia harus menggunakan wang simpanannya sendiri untuk menampung kehidupan mereka bertiga.

Apa yang perlu dilakukan oleh Sarah?

Si mati (Zul) tidak pernah menulis wasiat dan melantik Wasi (orang yang akan menguruskan pentadbiran harta pusaka). Oleh itu, Sarah akan membuat permohonan pentadbiran pusaka si mati tanpa wasiat.

1. Kumpul semua dokumen berkaitan harta pusaka si mati termasuk harta alih dan harta tak alih.
2. Anggarkan nilai harta pusaka si mati. Selepas mengumpul semua dokumen, Sarah mendapati nilai pusaka Zul ialah RM1.8 juta.
3. Dapatkan salinan kad pengenalan waris termasuk bapa dan ibu mertua.
4. Isi Borang A iaitu Borang Permohonan Pentadbiran Pusaka Kecil dengan lengkap dan hantar kepada Pejabat Pusaka yang berdekatan.
5. Dalam situasi Sarah, dia perlu memohon Sijil Faraid daripada Mahkamah Syariah untuk menjelaskan kedudukan waris Faraid kepada saudara yang lain khususnya abang Zul.
6. Jika perlu, buat permohonan Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah. Namun, bahagian Sarah akan ditentukan oleh hakim berdasarkan bukti dan hujah semasa perbicaraan.
7. Berbincang dengan bapa mertua mengenai nafkah anak-anak Zul dan perbelanjaan mereka.
8. Semak akaun yang mempunyai penama seperti KWSP dan Tabung Haji. Jika Zul sudah melantik Sarah sebagai penama, dia boleh memohon pengeluaran terus daripada KWSP dan Tabung Haji. Namun, Sarah adalah pemegang amanah sahaja dan mesti memaklumkan simpanan si mati kepada semua waris. Jumlah ini mesti diambil kira dalam pembahagian pusaka.

Sarah terpaksa melalui semua ini. Harta yang ditinggalkan suaminya penting untuk menyara hidup mereka sekeluarga. Sarah mesti berdikari dan berhadapan dengan konflik yang bakal dihadapi. Sarah tidak boleh mengalah. Dia memilih untuk menguruskan pentadbiran pusaka dengan cara yang betul.

Bagaimana merancang pusaka sebelum kematian?

Zul boleh menulis wasiat untuk memastikan pentadbiran pusaka berjalan lancar. Pewasiat melantik Wasi yang dipercayai untuk menguruskan pentadbiran pusaka selepas kematiannya. Wasi ini diiktiraf oleh Mahkamah Tinggi dan Geran Probet akan dikeluarkan.

Selain itu, Zul boleh melantik penjaga harta kepada anak-anaknya yang masih di bawah umur 18 tahun. Dalam kes ini, Zul boleh melantik Sarah. Mengikut turutan penjaga, bapa si mati bertanggungjawab menjadi penjaga (harta) kepada cucunya berbanding isteri iaitu ibu kepada si anak.

Bapa (Zul) ialah orang yang memberi nafkah dalam keluarga. Maka, apabila bapa meninggal dunia hak penjagaan harta diberikan kepada bapa si mati (datuk).

Namun, penjaga yang dilantik di dalam Wasiat berhak menguruskan memegang amanah anak-anak si mati kerana pewasiat sudah membuat lantikan sebelum kematiannya.

Sarah dan Zul boleh membuat deklarasi Harta Sepencarian semasa hidup. Dokumen ini akan diserahkan kepada Mahkamah Syariah. Pasangan tidak perlu memberi dokumen sokongan lain untuk membuktikan sumbangan kerana deklarasi Harta Sepencarian ialah dokumen persetujuan yang sudah ditandatangani bersama. Harta yang disebut dalam deklarasi Harta Sepencarian tidak akan diagihkan mengikut Faraid.

Emel saya di arnorsaadah@gmail.com untuk khidmat nasihat perancangan harta pusaka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *