Nota Khutbah

Kebenaran azab kubur

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka berkatalah ia ‘Wahai Tuhanku kembalikan daku (hidup semula di dunia)’ supaya aku mengerjakan amal-amal soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.’ ‘Tidak! Sesekali tidak.’ Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan seual (pada hari kiamat).” (Al-Mukminun: 99-100)

Sebagai umat Islam kita percaya bahawa ada kehidupan yang abadi selepas kematian. Apa jua yang kita lakukan semasa hidup di dunia ini adalah bekalan untuk hari Akhirat. Hal berkaitan hidup selepas mati dan hari Akhirat adalah perkara ghaib yang tidak mampu kita fikirkan secara logik.

Maka, iman dan takwa mengambil alih peranan akal manusia yang terbatas. Dalam dakwah, akidah yang berkait dengan iman kepada Allah didahulukan sebelum diajarkan tentang hukum hakam dalam Islam. Apabila iman telah mengukuh di dalam hati, maka apa jua tuntutan Syariah dapat dilaksanakan tanpa mempersoalkan hukum Allah.

Secara umumnya, istilah kubur difahami sebagai tempat jasad bersemadi. Sedangkan ada jasad yang tidak berkubur. Jasad yang hancur di awangan akibat kapal terbang yang terhempas seperti tragedi MH17. Jasad yang tidak dapat ditemukan manusia seperti mangsa kehilangan misteri MH370. Jasad yang tenggelam di dasar lautan.

Namun, istilah kubur dalam fahaman kita adalah suatu alam persinggahan atau alam barzakh sebelum bertemu di hari Akhirat. Suatu alam sementara sebelum semua manusia dibangkitkan di padang mahsyar.

Rasululllah SAW mengajarkan kita doa berikut:

“Wahai Tuhanku sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.” (Riwayat Muslim)

Sabda Nabi lagi:

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Riwayat Tirmidzi)

Terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan hidup selepas mati seperti di alam akhirat dan alam barzakh. Kita mengakui bahawa akal kita tidak dapat memikirkan keadaan itu. Hanya kepercayaan yang jitu kepada ayat-ayat Allah SWT dan pesanan Rasulullah SAW.

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Ali-Imran: 16)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Dis 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial