Nota Khutbah

Kelahiran insan istimewa satu anugerah

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal: 28)

Ibu bapa yang dikurniakan anak yang istimewa berpeluang meraih pahala yang besar di sisi Allah SWT. Tidak seperti anak sempurna yang lain, insan yang dilahirkan dengan keistimewaan perlu penjagaan yang rapi dan mungkin ada keperluan lain yang seharusnya diberi perhatian oleh ibu bapa.

Amat besar ganjaran bagi pasangan yang sabar dan redha dengan ketentuan Ilahi. Kelahiran anak yang secara fizikal atau mental tidak sempurna di mata manusia, namun ia tetap kurniaan daripada Allah SWT. Sabar dan kesungguhan dalam membesarkan dan mendidik anak-anak seperti ini akan menambahkan lagi keimanan dan ketakwaan seseorang.

Jiran, sahabat mahupun masyarakat dapat belajar bahawa kita yang dilahirkan sempurna tidak mempunyai alasan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Sedangkan mereka yang kurang sempurna di mata kita mungkin lebih sempurna di hadapan Allah SWT kerana iman dan takwanya.

Dalam satu riwayat, seorang yang buta bernama Ummu Maktum telah datang bertemu Rasulullah SAW. Pada masa itu, baginda sedang sibuk melayani pemuka-pemuka Quraisy dan berdakwah tentang agama Islam.

Apabila Abdullah Ummu Maktum datang, baginda memalingkan muka kepada pemuka-pemuka Quraisy untuk menumpukan perhatian kepada dakwahnya. Allah SWT telah menegur Nabi dengan turunnya ayat berikut:

“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling, kerana seorang buta telah datang kepadanya, dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa) atau dia (ingin) mendapat pengajaran yang memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy), maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya, padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan dirinya (beriman) dan adapun orang yang datang kepadamu dengan segera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia (takut Allah), engkau (Muhammad) mengabaikan, sekali-kali jangan (begitu)! (Ajaran-ajaran) Allah itu suatu peringatan.” (Abasa: 1-11)

Beri layanan yang baik kepada golongan ini. Usah sekali-kali memandang rendah kepada keadaan dirinya yang sepertinya tidak sempurna. Bersikap prihatin dengan keperluan mereka dan berhati terbuka untuk memberi bantuan mengikut kemampuan. Mudahkan segala urusan mereka. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita pula.

“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Al-Kahfi: 46)

Anak-anak yang sempurna berusahalah menjadi anak yang soleh agar menjadi bekalan buat ibu bapa kita di Akhirat.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Nov 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial